Rabu, 7 Oktober 2020

MUHASABAH BUAT YANG MEMIMPIN & YANG DIPIMPIN

 

Seringkali kita yang memimpin, menunggang kalimah-kalimah mulia seperti "demi rakyat", "untuk rakyat", dan "dari rakyat kepada rakyat", akhirnya hanya mencerminkan sebuah slogan yang tidak bermaya. Slogan-slogan ini seringkali berkumandang untuk menutup kesalahan, membela yang salah dan menghalalkan bagi apa yang haram bagi rakyat.

Namun rakyat bukan lah pekak untuk mendengar, rakyat bukanlah buta untuk melihat dan rakyat bukanlah bisu untuk bercakap. Semuanya kelihatan seperti tidak adil dan berat sebelah. Bermula daripada episod YB Menteri tidak kuarantin, kemudian episod PRK Sabah, maka leburlah rekod Malaysia yang hampir semua negeri berada di zon hijau dan terkawal.



Pemimpin seronok bergasak merebut kerusi, perkataan "majoriti" menjadi impian, sedangkan rakyat setiap hari berhempas pulas membanting tulang mencari rezeki, bimbang dan gusar melihat gelombang terkini. Mengamuk Covid 19 menghukum leka. Tetapi rakyat juga yang dipersalah. Barangkali kita asyik bergaduh bercakaran sesama, sehingga lupa Tuhan sedang menghukum kita.

Allah Azza Wa Jalla menerusi firman Nya di dalam surah As Shura ayat 30 yang bermaksud :

"Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu".

Demikian firman Allah untuk kita jadikan muhasabah dan bertadabbur dengan peringatan ini supaya kita kekal tenang, rasional dan waras ketika negara berada di medan perang Covid 19. Apa yang menimpa kita pada hari ini adalah kerana tindakan perbuatan kita juga yang masih leka dan alpa, masih suka bercakaran sesama walau ujian datang membawa ruang untuk muhasabah.



Sorotan daripada kes Covid 19 yang membimbangkan, gencatan senjata ahli politik harus dilaksanakan, tumpuan pada rakyat harus diutamakan dan rakyat juga harus membantu negara dengan sentiasa patuhi SOP walau kita tidak selesa dan suka. Hayatilah firman Allah Azza Wa Jalla di dalam surah Al Baqarah ayat 216 yang bermaksud :

" Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak ketahui".

Bersabar lah dengan ujian ini dan teruskan berdoa pada Tuhan yang tidak pernah tidur dan lena. Kepada yang memimpin, berhentilah daripada terus bernafsu serakah merebut kuasa, tunaikan hak kepada yang berhak, kelak Tuhan akan persoalkan. Kuasa boleh jadi kemuliaan diatas amanah menjalankan tugas. Namun, kuasa juga boleh menjadi penghinaan diatas kecuaian, tidak amanah dan tidak bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan. Semoga Allah berikan kita semua petunjuk serta taufik Nya untuk mengharungi hidup yang fana ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan