Kalau kita diberi pilihan, antara yang
manis atau yang pahit, kebanyakan dari kalangan kita sudah tentu akan cenderung
untuk memilih yang manis. Kerana manis itu menyedapkan rasa, menyenangkan hati
dan memikat jiwa. Sebaliknya, yang pahit itu memotong rasa, menyakitkan hati
dan menimbulkan kecewa.
Andai hidup boleh diatur dengan kehendak
kita, sudah tentu kita akan memilih perkara yang manis-manis sahaja. Tidak mahu
yang pahit bahkan meminta tidak ada yang pahit berlaku. Ini semua kerana mata
kita yang menghukum bahawa manis itu bahagia, pahit itu derita. Angkara mata
yang menilai, hati boleh tertipu dengannya.
Rupa-rupanya, disebalik sifat pahit yang
sukar di telan itu, terselit beribu macam falsafah, tersimpan beribu macam
hikmah. Yang manis pula, terzahir seribu satu pendustaan dan tercipta seribu
satu ancaman. Kalau dalam soal makanan, gula ibarat racun. Luarannya rasa manis
tetapi dalamannya membawa racun. Pahit pula ibarat ubat, luarannya rasa kelat
tetapi dalamannya menjadi pengubat.
Demikian kitaran hidup yang serba macam
seribu satu cerita. Ada yang manis, ada yang pahit dan ada juga yang sudah
hilang jiwa dan raganya. Kerana kecewa, pahit manis bukan lagi masalahnya.
Tetapi perlu membina semula jiwa raganya agar dapat kembali merasai detik pahit
manisnya hidup. Logik akal akan berkata, kenapa perlu yang pahit sedangkan yang
manis lebih enak.
Tetapi falsafah hidup berbicara, yang
pahit kadang lebih bermakna, lebih jujur, lebih realistik walau kelat rasanya.
Berbanding yang manis, sangat berbahaya. Bicaranya manis, tetapi hati belum
tentu mengiyakan. Senyumannya manis, tetapi jiwa belum tentu sempurna. Untuk
mengenali erti hidup, kadang kala kita perlu belajar dari kejatuhan. Belajar
untuk bangkit dan bukannya untuk mengungkit. Belajar untuk bangun dan bukan
sekadar terpegun.
Benarlah kata orang dahulu, pahit itu
ubat dan manis itu racun. Kepahitan akan mengajar kita erti pengorbanan
perasaan, mengajar kita erti ketabahan diri dan mengukuhkan keyakinan jiwa.
Jangan tertipu dengan kemanisan, kelak badan binasa dan hati kecewa. Jangan
memandang hina pada yang pahit, kelak menjadi penawar luka dan pengubat jiwa.
Semoga Allah menjauhi kita daripada helah tipu daya iblis dan syaitan dalam
usaha kita mentaati perintah Nya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan