Agama atau apa-apa kepercayaan yang
dipegang atau dianuti oleh mana-mana kumpulan manusia adalah merupakan suatu
yang bersifat fitrah bagi manusia. Sudah tentu kita sebagai manusia yang lemah
memerlukan tempat kebergantungan pada sesuatu kuasa yang dipercayai dan
diyakininya. Oleh itu, bagi mereka yang tidak mempercayai kebenaran agama
disebutkan sebagai agnoistik yang bermaksd ragu-ragu atau keliru dengan agama.
Agnostik merujuk kepada mereka yang
menyokong fahaman agnoistisme. Agnostitisme merupakan sebuah fahaman yang
mendakwa tidak ada kebenaran yang mutlak yang dapat dicapai oleh mana-mana
agama. Bahkan manusia juga tidak akan dapat mencari kebenaran sesuatu beragama.
Antara agenda mereka ialah menuntut hak berfikir, mengkritik dan menolak
mana-mana ajaran agama yang dilihat seperti tidak sesuai dan tidak kena pada
masyarakat moden hari ini.
Puncanya adalah kegagalan mereka untuk
memahami fungsi beragama sebenar. Sesetengah masyarakat melihat agama akan
berfungsi dalam keadaan tertentu. Misalnya urusan berkaitan kematian, urusan
ibadah di masjid, urusan pernikahan dan sebagainya. Selain dari itu, menjadi
hak eksklusif mereka untuk bertindak biarpun tidak kena dengan perintah agama.
Perkembangan kelajuan internet, kecanggihan teknologi dan kemajuan pesat juga
menyumbangkan kepada kewujudan fahaman ini.
Juga kita tidak menolak kemungkinan,
kekecewaan mereka dengan sikap sebahagian agamawan yang menggunakan agama untuk
kepentingan diri sendiri juga merupakan faktor wujud nya fahaman agnoistik ini.
Walhal, apa yang dilakukan oleh sebahagian orang muslim tidaklah mencerminkan
ajaran islam yang sebenar. Keganasan rumahtangga, pembunuhan diatas nama agama
dan pelbagai lagi jenayah turut ditentang dan di tegah oleh Allah SWT.
Islam diturunkan adalah bertujuan
menyelamatkan manusia bukan sahaja untuk akhirat kelak, bahkan untuk di dunia
juga. Risalah Islam yang dibawa oleh baginda Nabi SAW adalah bertujuan untuk
memberikan berita gembira pada mereka yang beriman dan membawa amaran pada mereka
yang tidak beriman. Firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 119 yang
bermaksud :
" Sesungguhnya Kami telah
mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran (serta menjadi) pembawa
berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada
orang-orang yang ingkar)...."
Demikian Allah telah menghantar para
Rasul dan Nabi Nya untuk berulang-ulang kali memberika khabar gembira bagi yang
beriman dan memberi amaran atau ancaman bagi yang ingkar. Malah, perkataan
ISLAM itu sendiri memberi makna selamat, sejahtera dan damai. Islam tidaklah
datang untuk menghukum orang, membebankan manusia apatah lagi untuk menzalimi
manusia. Islam datang dengan membawa cahaya kebenaran mengeluarkan manusia
daripada perhambaan sesama manusia menuju perhambaan yang selayaknya kepada
Allah.
Ada pun sebahagian mereka yang melihat
Islam itu menyusahkan terutama dalam beberapa hal seperti urusan nikah cerai
adalah melibatkan masalah sistem pengurusan pentadbiran dan bukannya disebabkan
kongkongan hukum hakam di dalam Islam. Dalam sebuah hadis riwayat al Bukhari,
baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Sesungguhnya agama itu mudah,
janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu)
melainkan kamu akan tewas"
Kata Imam Ibnu Hajar al Asqalani hadith
ini menunjukkan agama melarang kita melampau dalam sesuatu urusan sehingga
menyusahkan orang lain dan juga agama melarang kita melakukan ketaatan kepada
Allah secara sambil lewa. Bersikap melampau atau berlebihan dilarang, malah
bersikap sambil lewa juga dilarang oleh Islam.
Begitulah kedatangan Islam bertujuan
untuk memainkan fungsi perhambaan, menegakkan keadilan bermasyarakat,
mengimbangi antara keperluan dan kehendak disamping meraikan fitrah manusia
yang mahukan keseronokan yang tidak melampau. Islam datang untuk membimbing ke
arah jalan yang lurus. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan