Setiap hari 5 kali kita akan mendengar
laungan azan berkumandang di corong-corong masjid dan surau. Bermula dari awal
pagi di waktu subuh sehingga lah pada kegelapan malam yang pekat iaitu pada
waktu isyak. Bagi muslim, laungan azan ini merupakan syiar bagi kita untuk
menyahut seruan Nya mengabdikan diri kepada Tuhan.
Ada pun bagi mereka yang bukan muslim,
seringkali tertanya-tanya apakah yang diungkapkan sehingga 5 kali sehari. Tidak
kurang juga ada yang menyangka orang Islam akan berkaroke atau menyanyi 5 kali
sehari. Dakwaan atas sangkaan ini merupakan suatu ruang bagi orang muslim memperbetulkan
salah tanggapan ini.
Pertamanya, azan merupakan syiar di dalam
Islam. Tujuannya adalah untuk menyeru, memanggil serta mengajak orang muslim
untuk menunaikan solat dan menuju kejayaan. Syiar azan juga merupakan petanda
bahawa telah masuk waktu untuk orang muslim menunaikan solat. Maka sebahagian
besar orang muslim akan menyahut seruan, ajakan serta panggilan ini dengan
segera bergerak ke masjid untuk menunaikan solat.
Dalam lafaz azan, terkandung ayat-ayat
yang membesarkan serta mengagungkan Tuhan yakni Allah Azza Wa Jalla seperti
lafaz "الله أكبر"
(Allahuakhbar) yang membawa maksud Allah Maha Besar. Selain itu, azan juga
mengandungi lafaz perkataan yang mengiktiraf Nabi Muhammad sebagai utusan
Allah. Lafaz itu juga nerupakan akidah umat Islam. Disebutkan juga dua kalimah
syahadah. Malah dalam seruan azan juga mengandungi seruan mengajak manusia
menuju kejayaan dengan cara mentaati segala perintah Nya dan menjauhi segala
larangan Nya.
Laungan azan yang berkumandang di mana
sahaja kita dengar, dari arah utara mahupun arah selatan, sekalipun di timur
ataupun di barat, azan berkumandang dengan tujuan untuk memanggil, mengajak dan
menyeru manusia tunduk patuh dan sembah hanya pada Allah Azza Wa Jalla. Kerana
itu kita akan kerap kali mendengar lafaz yang sama dilaungkan 5 kali setiap
hari bagi menandakan masuknya waktu solat.
Walaupun begitu, apabila telah masuknya
waktu solat dan azan berkumandang, umat Islam boleh di mana-mana sahaja untuk
menunaikan solat. Tetapi adalah lebih baik tempatnya di masjid dan surau. Namun begitu, orang
Islam diberi pilihan untuk menunaikan solat di mana sahaja asalkan ianya tidak
menzalimi atau menganggu hak awam yang lain, tempat tersebut mestilah bersih
dan suci dan juga mestilah tempat tersebut adalah selamat dan aman.
Ada pun sebahagian masjid dan surau yang
mengadakan bacaan al quran sebelum masuk waktu subuh dengan menggunakan
pembesar suara, ianya bukanlah tuntutan dalam Islam. Malah Islam sangat
melarang umatnya untuk menganggu atau menzalimi hak berjiran. Perkara ini harus
kita perbetulkan. Ianya bukanlah syiar seperti laungan azan. Mudah-mudahan kita
semua yang berbilang bangsa dan agama saling memahami dan menghormati antara
satu sama lain. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan