Sifat alam semulajadi yang diciptakan oleh Allah SWT telah
memberikan banyak manfaatnya kepada berbagai kehidupan yang melata di muka bumi
ini. Eko-sistem alam yang sungguh indah yang juga membuktikan akan
kebijaksanaan Tuhan dalam mentadbirnya, telah mendatangkan banyak kebaikannya
dan memainkan peranan terpenting bagi menjaga sistem rantaian makanan manusia
dan binatang. Aliran air sungai yang bersih, pokok-pokok yang menghijau juga
habitat binatang yang terpelihara akan membuatkan hidup ini lebih lestari dan
terjamin kesejahteraannya.
Namun begitu, manusia yang sememangnya diangkat martabatnya sebagai
sebaik-baik ciptaan dikalangan para makhluk Nya, dikurniakan akal yang tidak
diberikan kepada makhluk selainnya, telah bersikap melampaui batas dengan
menjadikan alam ini sebagai tempat melakukan kerosakan, mengabaikan
tanggungjawab terhadap alam sekitar malah ada yang masih memandang remeh dalam
soal memelihara dan memuliharanya. Walhal, alam semulajadi yang kita sedang
diami ini tiada tujuan yang lebih penting melainkan menjana sumber tenaga,
makanan dan sumber kehidupan yang lain.
Akibat daripada sikap yang tidak mempedulikan alam ini, kita telah
dan sedang berhadapan dengan ancaman mikroplastik dalam makanan. Perkataan "Mikroplastik"
adalah merujuk kepada maksud partikel halus plastik yang berada di ruang udara.
Realitinya hari ini, penduduk di Malaysia antara yang paling banyak
mikroplastik yang juga hasil dari tindakan kita yang tidak mengambil peduli
lagi tentang alam anugerah ilahi ini. Dalam satu dapatan kajian baharu di
Amerika Syarikat, mendapati bahawa penduduk di Malaysia telah memakan kira-kira
15 gram mikroplastik dalam sebulan. Dalam kajian tersebut yang juga telah
diterbitkan oleh Environmental Science & Technology, turut
menyatakan bahawa negara jiran kita, Indonesia menduduki tempat kedua dengan
mendapati penduduk Indonesia makan sekitar 13 gram mikroplastik dalam sebulan.
Secara umum, mikroplastik adalah merupakan kepingan halus yang
terhasil daripada bahan api fosil. Sebenarnya, kita tidak boleh menafikan
bahawa penciptaan plastik telah mengubah cara hidup kita. Ini kerana penggunaan
plastik yang lebih ringan, kalis air malah mudah dihasilkannya serta tidak
memberikan risiko yang lebih besar seperti mudah pecah dan seumpamanya.
Keistimewaan ini telah banyak memudahkan urusan kita tetapi pada masa yang sama
juga telah banyak membebankan ekosistem alam. Hal ini kerana kajian menjelaskan
bahwa plastik boleh dikatakan hampir kekal abadi kerana pelupusannya memakan
masa beratus ribu tahun untuk terurai. Keadaan ini tentunya mendatangkan
masalah bagi umat dunia sekarang.
Dalam satu rekod yang dicatatkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa
Pepejal Dan Pengurusan Awam (SWCorp), menjelaskan bahawa sejumlah 101, 949 tan
atau 13 peratus daripada sampah yang dihasilkan oleh penduduk di Kuala Lumpur
dan Putrajaya pada tahun 2021 adalah plastik. Statistik ini telah menunjukkan
betapa masih rendahnya kesedaran awam berkaitan sikap kita terhadap alam
sekitar. Hasilnya, sisa plastik yang semakin tinggi ini akan terurai dengan
mengambil lebih banyak masa dan akan menghasilkan mikroplastik atau disebutkan
sebagai kepingan plastik yang berterbangan di ruang udara kita. Keadaan ini
tentunya akan menyumbang kepada ketidakstabilan alam semulajadi ini seterusnya
akan mengancam keselamatan makanan umat manusia.
Umat dunia secara keseluruhannya, tidak dapat menafikan bahawa
hidup sangat bergantung kepada penggunaan plastik. Buktinya, dalam satu kajian
yang dibuat mendapati bahawa beg plastik yang digunakan oleh masyarakat dunia
kira-kira 500 bilion unit setiap tahun. Ini juga bermakna lebih satu juta beg
plastik yang digunakan bagi setiap satu minit. Statistik angka ini sudah
memadai bagi kita semua bermuhasabah dan beriltizam untuk bertindak dengan
lebih bijak terutamanya dalam soal penggunaan plastik. Angkara sikap kita yang
tidak bertanggungjawab, suka membuang plastik tanpa displin, yang akhirnya
plastik yang dibuang tersebut akan hanyut ke lautan dan tidak terurai dengan
baik. Kesannya juga akan turut mengancam habitat kehidupan di dalam lautan.
Oleh itu sebagai masyarakat yang mahu mempedulikan alam ini,
pertamanya harus diingatkan akan amaran Allah SWT tentang mereka yang suka
melakukan onar mencemarkan alam semulajadi ini. Ini sebagaimana firman Nya di
dalam surah al-A'raf ayat 56 yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah
menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya
dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan
terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat
kepada orang yang memperbaiki amalannya.”
Dalam surah lain, Allah SWT menzahirkan ketegasan Nya tentang
balasan buruk bagi mereka yang melakukan kerosakan alam. Sepertimana firman Nya
dalam surah al-Rum ayat 41 yang bermaksud :
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan
lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya
yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan
perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali
(insaf dan bertaubat).”
Berdasarkan ayat ini, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, Tafsir
al-Munir, beliau menjelaskan bahawa ujian dan bencana yang melanda umat
manusia adalah disebabkan perbuatan manusia yang bersikap kufur, syirik,
melampaui batas, melakukan maksiat, meninggalkan perintah Nya di samping
melanggar hak dan juga mengambil hak orang lain. Demikian apa yang dinyatakan.
Sesungguhnya perbuatan tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah di merata
tempat adalah diketahui umum ianya bukanlah tabiat yang terpuji. Maka, soalnya
bukanlah seputar tentang tahu atau tidak, tetapi masalah utamanya ialah
perasaan bertanggungjawab untuk memelihara dan memulihara alam semulajadi ini.
Ini kerana sebahagian masyarakat berpandangan urusan menjaga alam sekitar ini
bukan urusan dan tanggungjawabnya. Perasaan tidak merasai tanggungjawab
tersebut adalah suatu malapetaka besar dalam membina ketamadunan manusia.
Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Sa'id al-Khudri
RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya dunia ini manis lagi menghijau dan sesungguhnya Allah
SWT menyerahkan urusan dunia ini kepada kamu semua. Lalu Dia akan melihat
bagaimana kamu melakukannya. Berhati-hatilah dengan dunia dan juga wanita.
Sesungguhnya ujian pertama yang berlaku ke atas Bani Israel adalah berkaitan
wanita.”
Berdasarkan pemahaman hadith ini, Syeikh Fuad ‘Abd al-Baqi ketika
mengulasnya, beliau menyatakan bahawa Allah SWT menjadikan umat manusia sebagai
khalifah atau pentadbir atas muka bumi ini, dan Dia juga memerhatikan umat-Nya
adakah mereka mentadbirnya mengikut arahan-Nya atau dengan kemaksiatan
terhadap-Nya. Demikian ulasannya. Ini bermakna persoalan mengenai tanggungjawab
memelihara dan memulihara alam semulajadi ini adalah tanggungjawab kita sebagai
manusia yang juga telah diamanahkan sebagai khalifah diatas muka bumi Allah
ini. Oleh yang demikian, kita adalah apa yang telah kita lakukan. Jika kita
melakukan perkara yang baik, maka baiklah pulangan atau hasil yang kita akan
perolehi. Namun sebaliknya jika keburukan yang kita kerjakan, maka tentu sekali
hasilnya juga buruk. Untuk itu, marilah bersama kita beriltizam untuk bertindak
menjadi warga yang lebih prihatin terhadap bumi dan alam semulajadi ini. Semoga
Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan