Keilmuan merupakan lambang kepada maju atau mundurnya sesebuah
ketamadunan. Harus diakui tanpa ragu, khazanah keilmuan di dunia ini telah
banyak melakarkan perubahan ketamadunan umat manusia yang asalnya bersifat
tidak tahu dan jahil, kini dengan ilmu yang ada dunia berubah menjadi semakin
pantas bergerak. Namun begitu, khazanah keilmuan sahaja tidak mencukupi jika
tidak di angkat melalui dasar-dasar yang dibuat oleh pemerintah. Sejarah dunia
Islam telah memperlihatkan bagaimana proaktifnya kerajaan dibawah era
pemerintahan Khalifah al-Ma'mun di Baghdad sehingga tertubuhnya Baitul Hikmah,
sebuah institusi keilmuan teragung suatu ketika dahulu. Kejayaan ini telah
membuktikan keberkesanan kombinasi terpenting antara ulama dan umara'.
Ungkapan "Ulama" berasal dari bahasa Arab
yang berbentuk plural (kata banyak). Perkataan ulama terbina diatas kata
dasarnya iaitu alim. Alim ialah kata tunggal yang merujuk kepada maksud orang
yang mengetahui atau orang yang mempunyai pengetahuan. Ini bermakna, secara
literalnya, ungkapan ulama membawa maksud para ilmuan yang menunjukkan kepada
banyaknya orang yang berpengetahuan. Pada sudut istilah, perkataan ulama
seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya, I'lam
al-Muwaqqi'in 'An Rab al-'Alamin, ulama adalah golongan fuqaha Islam dimana
fatwa-fatwa seringkali dikeluarkan menerusi kata-kata dan pendapat mereka.
Mereka berkeahlian dalam mengeluarkan hukum dan memelihara dengan tegas
kaedah-kaedah halal dan haram.
Selain itu, Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya menjelaskan
bahawa ulama ialah seorang yang takut kekuasaan Allah dan yakin Allah berkuasa
membalas atas maksiat yang dilakukan. Menurut Ibn Abbas, ulama ialah yang
mengetahui tentang Tuhannya yang Rahman dan tidak syirik kepada Allah dan
menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah serta memelihara peringatan Allah.
Demikian pula menurut Imam Ibn Kathir, beliau menyebutkan bahawa tidak lain
orang yang merasa takut kepada Allah itu hanyalah ulama’ yang telah mencapai
matlamat ma’rifat, iaitu mengenali Tuhan menilik hasil kekusaanNya dan
kebesaranNya. Maha Besar, Maha Kuasa, yang Maha Berilmu yang mempunyai sifat
kesempurnaan dan yang mempunyai Asma’ al-Husna. Apabila makrifat bertambah
sempurna dan ilmu terhadapnya bertambah matang, ketakutan kepadanya bertambah
besar dan bertambah banyak.
Jika kita mengamati lagi makna perkataan ulama, kita akan dapati bahawa
makna pada ungkapan ulama tidak dapat lari daripada dua sifat utama iaitu
berilmu dan takutkan Allah. Ini juga sepertimana yang ditegaskan oleh Syed Qutb
melalui penulisannya, beliau menjelaskan bahawa ulama ialah orang yang
mengetahui sifat Allah dan kebesaranNya. Siapa yang bertambah ilmunya maka ia
bertambah takut kepada Allah. Begitu juga yang dinyatakan oleh Imam
al-Zamakhsyari, beliau menyebutkan bahawa ulama ialah mereka yang mengetahui
mengenai sifat Allah, keadilan Nya,ketauhidan Nya, sifat yang harus dan yang
tidak harus keatas Nya, maka mereka membesarkan Nya, membesarkan kekuasaan Nya.
Orang yang ilmunya bertambah maka bertambah takut ia kepada Allah SWT.
Pemaknaan ini juga adalah selari dengan firman Allah SWT dalam surah Fatir ayat
28 yang bermaksud :
"Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang
yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan
warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah
dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun".
Berdasarkan ayat ini, Syeikh Dr. Muhammad Sulaiman Al Asyqar dalam Zubdatut
Tafsir Min Fathil Qadir, beliau menjelaskan bahawa orang yang takut kepada
Allah dengan ghaib hanyalah orang-orang yang mengetahui Nya serta mengetahui
sifat-sifat dan perbuatan Allah yang sesuai dengan keagungan Nya. Maka
barangsiapa yang lebih mengetahui Allah maka ia akan semakin takut kepada Nya,
dan barangsiapa yang tidak takut kepada Allah maka ia bukanlah orang yang
mengetahui Nya. Demikian apa yang telah dinyatakan. Oleh itu, apa yang boleh
kita fahami daripada ungkapan ulama ini ialah perkaitan antara dua sifat
terpenting iaitu ilmu yang bermanfaat dan sifat takutnya kepada Allah. Selain itu,
perkataan ulama juga membawa makna ilmu yang sangat luas, tidak terhad kepada
ilmu agama semata-mata. Namun untuk dikatakan dirinya sebagai ulama mestilah
ilmu tersebut menjadikan dirinya semakin taat dan patuh kepada Allah.
Ungkapan "Umara'" juga berasal dari bahasa
Arab. Perkataan Umara' merupakan perkataan plural (kata banyak) yang terbina
diatas kata dasar Amir dengan membawa maksud penguasa, pemerintah dan pemimpin.
Juga sama maknanya dengan perkataan Ulil Amri. Kerana itu kita dapat lihat
bagaimana khalifah Umar al-Khattab digelar sebagai Amirul Mukminin yang membawa
maksud pemimpin atau ketua orang-orang beriman. Di dalam al-Quran, Allah SWT
telah menggunakan ungkapan Ulil Amri bagi merujuk kepada makna pemimpin dan
pemerintah. Istilah Umara' telah diguna pakai selepas era zaman pemerintahan
khalifah ar-Rasyidin. Hal ini kerana pemerintahan pada zaman selepas era
tersebut telah menjadi bentuk perwarisan takhta kerajaan dan tidak lagi dilihat
tentang kelayakan keilmuan. Oleh itu, timbul lah dua golongan yang perlu
digandingkan bersama bagi mewujudkan kesejahteraan hidup bernegara.
Golongan umara' seperti juga para ulama, mereka mempunyai kedudukan
yang tinggi dan dimuliakan oleh Islam. Islam sangat menekankan tentang
kepentingan mentaati golongan umara' meskipun ada yang kita tidak bersependapat
dengannya. Pemimpin atau juga disebutkan sebagai umara' merupakan perisai bagi
orang yang dipimpin. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW
dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Pemimpin itu adalah perisai. Orang akan berperang di belakang nya
dan berselindung di sebaliknya.”
Selain itu, Allah SWT turut memuliakan dan mengasihi golongan
umara' yang bersikap adil dalam pemerintahannya. Beruntunglah golongan umara'
yang menjalankan amanahnya memimpin urusan umat dengan penuh adil kerana Allah
akan mengasihi mereka ini. Ini sepertimana yang dikhabarkan oleh baginda Nabi
SAW dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Manusia yang paling dikasihi Allah dan diberi tempat yang terdekat
sekali dengan Nya pada hari kiamat nanti ialah pemerintah yang adil. Sementara
manusia yang paling dibenci Allah dan diletakkan di tempat yang paling jauh
sekali dengan-Nya pada hari kiamat nanti ialah pemerintah yang zalim.”
Dalam ajaran Islam, kerjasama antara golongan ulama dan umara'
merupakan suatu yang dituntut di dalam Islam bertujuan demi untuk kebaikan
bersama. Bahkan melalui firman Allah di dalam al-Quran, Allah menyuruh para
hamba Nya untuk saling tolong-menolong dalam kebaikan dan melarang
tolong-menolong dalam urusan kemaksiatan. Hakikatnya, kombinasi dua golongan
terpenting ini sangat diperlukan dalam membina ketamadunan hidup manusia. Ulama
dan umara' perlu lah bergerak seiring dalam mewarnai kehidupan hidup bernegara
ini. Gandingan mantap ini jika dibina diatas dasar keikhlasan kepada Allah,
pastinya membawa berkat serta rahmat dalam kehidupan ini. Ulama sebagai
penasihat kepada umara' dan umara' pula perlu mendengar dan mengambil penting
saranan ulama selain bersikap terbuka menerima kritikan dan saling menasihati
antara satu sama lain. Kerana Islam juga agama yang saling menasihati,
mengingatkan kepada yang lupa dan alpa. Oleh kerana tiada golongan yang maksum,
baik ulama mahupun umara', kedua-duanya saling penting untuk tolong-menolong
antara satu sama lain. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan