Ahad, 22 Mei 2022

DERMA DARAH, USAHA KECIL YANG MEMBAWA GANJARAN YANG BESAR

Darah merupakan salah satu keajaiban ciptaan Tuhan yang Allah SWT kurniakan untuk kelangsungan kehidupan kita semua. Oleh kerana itu, darah merupakan komponen terpenting dalam sistem tubuh badan manusia yang normal. Darah juga bukan sahaja terpenting malah tanpanya juga, hidup akan terhenti untuk selamanya. Bermula ciptaan manusia itu dari segumpal darah, akhirnya menghasilkan ciptaan yang sempurna. Firman Allah SWT dalam surah al Alaq ayat 1-2 yang bermaksud :

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah"

Sesungguhnya penciptaan manusia yang sempurna ini adalah bermula dari segumpal darah. Daripada segumpal tersebut, maka berkembang lah diri manusia hingga menjadi insan yang sebaik-baik ciptaan. Oleh kerana itu, tanpa kestabilan aliran darah dalam tubuh badan manusia, akibatnya akan mengundang pelbagai komplikasi kesihatan yang bakal dihadapi. Sebaliknya, keadaan aliran darah yang stabil pula, akan menjadikan tubuh manusia lebih baik dan sihat sejahtera.




Menginsafi akan hakikat kepentingan tersebut, kita seharusnya sedar bahawa aktiviti menderma darah bukan sekadar sebuah kempen biasa namun ianya merupakan suatu usaha yang sangat mulia dan terpuji. Ianya juga merupakan manifestasi firman Allah berkenaan bab tolong-menolong dalam perkara kebaikan. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al Maidah ayat 2, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa"

Dalam kitab Tafsir al-Maraghi, Syeikh al-Maraghi menyatakan bahawa manusia antara satu sama lain wajib memberi pertolongan dalam urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan itu sama ada antara individu atau pun masyarakat, dalam soal kehidupan dunia atau kehidupan akhirat. Oleh itu, berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh beliau ini, menderma darah bukanlah suatu amalan duniawi semata-mata bahkan ianya menjadi sebuah tuntutan umum dalam hidup beragama.

Hakikatnya yang harus kita akui, amalan menderma darah merupakan usaha mulia dan baik untuk menghilangkan kesusahan orang lain yang lebih memerlukan darah. Tambahan pula, dikala waktu-waktu getir pesakit yang memerlukan darah, ada ketikanya sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa andai tiada bekalan darah, secara tidak langsung kita telah menghilangkan derita tersebut dengan menderma darah tanpa kita tahu pun siapa yang bakal menerimanya.

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Siapa yang meringankan salah satu daripada kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan meringankan salah satu daripada kesusahannya di hari Kiamat. Siapa yang memudahkan (urusan) orang yang berada dalam kesulitan (dalam masalah hutang), maka Allah memudahkan baginya (dari kesulitan) di dunia dan akhirat. Barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah akan menutup (aib) nya di dunia dan akhirat. Allah menolong seorang hamba sslagi hamba itu menolong saudaranya"




Menurut sarjana Islam, Imam al-Nawawi dan Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab al-Kafi Syarah Hadith 40, ujian Allah terhadap manusia adalah sebagai ujian untuk kita semua. Bagaimana sikap kita untuk menolong saudara-saudara kita sehingga dalam hadith ini menyebut dua ibarat sama ada menolong dan juga memudahkan saudara-saudara kita yang lain. Inilah sifat muslim sejati yang sentiasa menolong saudara-saudaranya yang lain sama ada dengan harta, tubuh badan, tenaga, buah fikiran dan lain-lain.

Menurut Pusat Derma Darah Negara, sebanyak 15, 000 hingga 17, 000 beg darah diperlukan dalam tempoh sebulan bagi tujuan menampung keperluan bekalan darah bagi merawat pesakit yang memerlukan. Untuk itu, bagi menggalakkan masyarakat lebih ramai tampil ke depan bagi tujuan menderma, beberapa kemudahan disediakan untuk penderma di seluruh negara. Antaranya, para penderma akan mendapat akses kemudahan parkir khas. Tidak perlu berebut parkir dengan orang lain. Pada masa sama juga, fasiliti pendermaan darah yang mesra pengguna dan kondusif. Langkah-langkah ini tidak lain bertujuan menggalakan lagi warga prihatin rakyat Malaysia untuk menderma darah.

Barangkali kita beranggapan menderma darah adalah suatu hal yang remeh dan dipandang enteng oleh masyarakat. Tanggapan ini harus diperbetulkan mengikut neraca syariat Islam. Memaknai makna ibadah itu sendiri, menderma darah juga merupakan suatu ibadah mulia di sisi Islam. Selain ibadah khas seperti solat, puasa, menunaikan haji dan sebagainya, menderma darah turut menjadi sebahagian ibadah kerana yang demikian itu menjadi intipati seruan di dalam Islam.

Dengan menderma darah, secara tidak langsung kita mampu menyelamatkan 3 nyawa mereka yang memerlukan bekalan darah. Menurut World Health Organization (WHO), satu beg darah yang terkumpul mampu menghasilkan sel darah merah, plasma dan platlet yang merupakan asas keperluan dalam sistem tubuh badan manusia. Dalam hal ini, Allah SWT memuji bagi para hamba Nya yang telah menyelamatkan orang lain. Firman Allah SWT dalam surah al Maidah ayat 32, Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya".




Di samping kita memberikan darah, sebenarnya kita juga akan menerima kembali beberapa kelebihan dari sudut kesihatan. Dalam kajian yang dilakukan dan juga berdasarkan taburan fakta, amalan menderma darah akan mengurangkan risiko penyakit jantung. Hal ini berdasarkan penelitian kajian yang dilakukan mendapati bagi mereka yang menderma darah, kandungan besi dalam darah akan berada pada tahap optimum. Keadaan ini dapat mengurangkan risiko penyakit jantung.

Selain itu, menderma darah juga secara tidak langsung dapat membakar kalori dalam badan. Bersesuaian dengan cara hidup sihat, satu pain darah iaitu kira-kira 450 ml apabila di dermakan dapat membakar sebanyak 650 kalori dalam badan penderma. Bahkan, setelah kita menderma darah, ianya akan menggantikan sel-sel darah yang baru dan ini menyumbang juga tubuh badan yang lebih sihat, segar dan awet muda. Para penderma juga akan mendapat keistimewaan tertentu seperti kemudahan perubatan percuma, rawatan percuma wad kelas 1 dan 2 dan lain-lain berdasarkan Surat Pekeliling Kementerian Kesihatan Malaysia bil. (23) bertarikh 15 Julai 1996.

Kesedaran menderma darah harus dipupuk dikalangan masyarakat kita yang sangat disegani dengan sifat pemurah dan penyayang. Alangkah ruginya jika kita tidak bertindak untuk menderma. Sebagai orang Islam, disamping kita mendapat kebaikan dan keistimewaan di dunia, Allah Azza Wa Jalla juga turut menjanjikan kelebihan dan keistimewaan diatas sikap pemurahnya kita dalam usaha membantu orang yang lebih memerlukan. Ayuh rakyat Malaysia, tanpa mengira agama dan bangsa, darah tidak pernah bersikap rasis perkauman. Ingatlah, bekalan darah juga tidak pernah bercuti. Setiap masa dan walau dimana saja, bekalan darah memerlukan sumbangan kita bersama. Semoga Allah merahmati kita semua.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan