Khamis, 26 Mei 2022

MENDEPANI CABARAN KESIHATAN MENTAL

 

Secara sedar atau tidak, negara kita selain berdepan dengan krisis makanan, kita juga sedang mendepani krisis kesihatan mental yang semakin membimbangkan. Barangkali topik "Kesihatan Mental" ini jarang disentuh atau dikupas secara formal, namun sejak negara kita dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, statistik menunjukkan berlaku peningkatan terhadap masalah kesihatan mental.

Menurut World Health Organization (WHO), kesihatan mental adalah situasi dimana seorang individu menyedari potensinya boleh berdaya tindak terhadap stres kehidupan, boleh bekerja dengan produktif dan boleh menyumbang kepada masyarakat. Oleh yang demikian, sekiranya kita gagal untuk mengawal stres kehidupan kita, bermakna kita sedang berdepan dengan masalah kesihatan mental. Selain itu, kesihatan mental juga boleh kita fahami sebagai suatu cara kita berfikir, bertindak, cara menghadapi masalah dan mengatasinya.




Umumnya, masalah kesihatan mental boleh terjadi dalam beberapa bentuk dan keadaan seperti kemurungan (depression), keresahan (anxiety), kecelaruan bipolar (bipolar disorder) dan kecelaruan fikiran dan perasaan (skizofrenia) dan gangguan tidur (insomnia). Malangnya, sebahagian masyarakat mengambil ringan dan bermudah dengan penyakit mental seperti ini beranggapan bukan suatu masalah besar dan tidak memberi mudarat. Stigma atau tanggapan sebegini harus diperbetulkan agar kita dapat memberikan pertolongan yang sewajarnya apabila kita mendapati ada perubahan sikap orang di sekeliling kita.

Dalam sebuah dapatan kajian mengenai tahap kesedaran orang awam berkenaan masalah kesihatan mental, yang telah dijalankan oleh para penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) keatas 30 responden, data yang diperolehi menunjukkan sebanyak 25 orang (83.3%) kurang pengetahuan mengenainya dan hanya 5 orang (16.7%) yang mempunyai tahap pengetahuan yang bagus berkenaan masalah kesihatan mental. Ini menunjukkan tahap kesedaran dan ambil peduli tentang kesihatan mental masih kurang dan rendah.

Menurut statistik tinjauan kesihatan dan morbiditi Malaysia, pada tahun 2019 telah dianggarkan seramai 424, 000 kanak-kanak di negara ini bergelut dengan masalah kesihatan mental. Dalam satu kajian data lain, WHO menyatakan bahawa 20 peratus kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakannya tidak dikesan dan tidak menerima rawatan. Bahkan, lebih membimbangkan lagi, sebanyak 50 peratus masalah kesihatan mental adalah bermula sebelum mereka berumur 14 tahun dan 75 peratus bermula pada umur 20-an.




Ianya bukanlah suatu angka kecil untuk kita bermudah-mudah dalam menangani masalah. Menjadi cabaran masa kini, kanak-kanak di zaman kemajuan teknologi ini semakin jauh daripada berkomunikasi dengan keluarga. Tambahan pula, kesibukan ibubapa bekerja, turut menyumbang kepada keadaan semakin parah kerana kurangnya komunikasi sihat dalam keluarga. Ada ketikanya, bagi meluahkan perasaan ada beranggapan hal tersebut remeh dan tidak perlu diceritakan. Akhirnya, mereka terpaksa memendam keseorangan dan inilah yang membuatkan mereka tidak dapat berfikir dengan waras akibat tekanan memendam.

Terdapat beberapa faktor yang boleh mengundang masalah kesihatan mental ini antaranya disebabkan oleh kesunyian, kesepian dan hidup terasing. Pengalaman buruk semasa kecil juga turut menjadi faktor seperti trauma atau penderaan. Penyalahgunaan dadah, faktor masalah kesihatan kronik yang berpanjangan dan sebagainya. Masalah kesihatan mental tidak terhad di rumah sahaja malah di tempat kerja juga berisiko akibat kegagalan kita mengawal kestabilan emosi.

Bagi menangani masalah ini, terlebih dahulu kita sebagai masyarakat prihatin perlu mengubah stigma kita berkenaan penyakit mental. Kita harus fahami bahawa penyakit mental tidak semestinya gila atau tidak waras. Malah, dalam keadaan tertentu mereka kelihatan normal dan ceria. Namun apabila berkeseorangan, maka serangan mental boleh mengubah segalanya. Sebab daripada itu, masyarakat yang prihatin bukan sekadar ambil tahu tetapi perlu bertindak membantu mereka agar tidak menjadi lebih parah.




Islam mendatangkan solusi kepada masalah ini dengan berbalik kepada soal kekuatan hati. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :

"Kebaikan adalah akhlak yang baik, dan dosa adalah apa yang terasa menganggu jiwamu dan engkau tidak suka jika diketahui manusia".

Dalam satu hadith yang lain, riwayat Ahmad, dari Wabishah bin Ma'bad dia berkata :

"Saya mendatangi Rasulullah SAW lalu beliau bersabda : "Engkau datang untuk bertanya tentang kebaikan ?", saya menjawab : "Ya". Baginda bersabda : "Mintalah pendapat dari hatimu, kebaikan adalah apa yang jiwa dan hati tenang kerananya, dan dosa adalah apa yang terasa menganggu jiwa dan menimbulkan keraguan dalam dada, meskipun orang-orang memberi fatwa kepadamu dan mereka membenarkannya".

Berdasarkan keterangan dari hadith tersebut, kita fahami bahawa kekuatan hati dan jiwa dengan mendekatkan diri kepada Allah merupakan salah satu kaedah mengeluarkan manusia daripada kebingungan ini. Beristighfar, memohon ampun kepada Allah, nescaya Allah sangat sayang terhadap hamba Nya yang berusaha mendekatkan diri pada Nya. Dalam sebuah hadith qudsi riwayat Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Aku adalah sesuai dengan sangkaam hamba Ku, dan aku akan selalu bersamanya. Selama dia mengingat-Ku maka Aku akan mengingatinya di dalam diri Ku, Dan apabila dia mengingat Ku dengan begitu banyaknya, maka Aku akan mengingatinya lebih banyak darinya. Dan apabila dia mendekati Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Dan apabila dia mendekati Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia mendatangi Ku dengan berjalan, Aku akan mendekatinya dengan berlari".

Bersikap ambil peduli dan cepat bertindak akan dapat menyelamatkan mereka yang terjerumus dalam masalah ini. Biarpun apa-apa labelan di lontarkan kepada golongan ini, kita perlu sentiasa bertanggungjawab memastikan kesihatan mental diri kita dan orang sekeliling berada dalam keadaan stabil. Kita seharusnya berada di zaman serba mencabar. Persoalan yang lebih besar dari itu, bagaimana untuk kita menanganinya dengan bijak, membantu bukan membuntu. Menasihat, bukan mencuba menjadi malaikat. Semoga Allah SWT mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan