Lumrah
bagi mana-mana pasangan di dunia ini, yang mendirikan rumahtangga berharap agar
mahligai kasih yang dibina akan kekal utuh nan damai bersulam kasih sayang
bertakhtakan cinta sehingga ke syurga kelak. Tidak ada mana-mana pasangan pun
yang berkahwin secara serius dan berazam untuk bercerai suatu hari kelak.
Malah, sangat pelik apabila berkahwin namun bercita-cita untuk bercerai pula.
Tujuan
sesebuah rumahtangga itu dibina adalah berlandaskan perasaan cinta, kasih dan
sayang. Hal ini sepertimana yang terdapat di dalam al Quran, menerusi surah al
Rum ayat 21, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Dan
diantara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri
dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan
dijadikan Nya diantaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu
benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir"
Mendirikan
sebuah perkahwinan juga merupakan suatu ibadah yang dituntut. Dalam sebuah
hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Benarkah
kalian telah berkata begini dan begitu, sungguh demi Allah, sesungguhnya akulah
yang paling takut dan taqwa di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan aku
berbuka, aku solat dan aku juga tidur dan aku juga mengahwini perempuan. Maka
barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka ia tidak termasuk
golonganku"
Namun
begitu, apabila tujuan asal berumahtangga tidak dapat diterjemahkan, hidup
menjadi tertekan dan parah, sudah tidak ada lagi keamanan dan ketenteraman
dalam berumahtangga, maka Islam telah memberi jalan keluar kepada masalah itu
dengan jalan berpisah yakni bercerai. Dengan itu, Islam mensyariatkan talak
dengan beberapa kaedah lain seperti khulu' dan fasakh bagi membolehkan seseorang
keluar dari neraka kehidupan berumahtangga serta mencapai makna sebuah
kedamaian.
Malangnya,
sebahagian besar pemikiran masyarakat kita memandang bahawa penceraian adalah
sesuatu yang buruk dan keji. Malah, tidak kurang juga ada yang beranggapan
bercerai ibarat telah melakukan dosa besar dan tidak ada keampunan bagi mereka.
Pandangan dan anggapan sebegini adalah tidak benar. Allah tidak pernah
mensyariatkan sesuatu yang buruk seperti talak. Apabila hidup berumahtangga
tidak dapat lagi menggapai tujuan asalnya iaitu ketenangan, ketenteraman dan
kasih sayang, maka bercerai adalah solusi yang baik bagi umat manusia.
Firman
Allah Azza Wa Jalla dalam surah al Baqarah ayat 231 yang bermaksud :
"Dan
apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis
tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik
atau lepaskan mereka dengan cara yang baik, dan janganlah kamu pegang mereka
(rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan
kezaliman (terhadap mereka) ; dan sesiapa yang melakukan demikian maka
sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri..."
Maka
berdasarkan ayat ini, jelas lagi bersuluh kepada kita bahawa syariat penceraian
bukanlah sesuatu yang buruk dan keji bahkan sebaliknya hal itu menjadikan kita
lebih mulia dan terselamat daripada melakukan kezaliman terhadap pasangan dan
kepada diri kita sendiri. Adapun sebahagian masyarakat yang membaca sebuah
hadith yang bermaksud :
"Berkahwinlah
dan janganlah kamu bercerai. Maka sesungguhnya talak (bercerai) itu akan
menggegarkan arasy"
Berkenaan
hadith ini, sebahagian besar ulama seperti Imam Ibnu al Jauzi, Imam al Sakhawi
dan juga Imam al Suyuthi, mereka telah menyatakan bahawa hadith tersebut adalah
tidak sahih, palsu serta sanad hadithnya dhaif. Mana mungkin hal itu boleh
terjadi sedangkan baginda Nabi SAW juga pernah menceraikan isteri baginda Nabi
SAW. Adalah sangat tidak masuk akal apabila hal itu berlaku. Dalam kerahmatan
Islam, Allah tidak pernah memaksa kita untuk hidup diatas kezaliman pasangan.
Seandainya benar-benar kenikmatan hidup berumahtangga sudah hilang arah dan
tujuan, maka apa lagi yang boleh didambakan melainkan berpisah demi kebaikan
bersama.
Meskipun
Islam memperuntukkan kuasa talak kepada pihak lelaki, Islam yang merupakan
sebuah agama yang penuh kerahmatan, memberikan pilihan kepada kaum wanita bagi
menuntut perpisahan bagi tujuan keluar daripada belenggu masalah rumahtangga.
Dalam kitab al - Mughni, Imam Ibn Qudamah al Maqdisi menyatakan bahawa :
"Sesungguhnya
wanita apabila membenci suaminya disebabkan akhlak atau rupa paras atau agama
atau usianya yang tua atau lemah atau seumpamanya dan dia takut tidak dapat
menunaikan perintah Allah dalam mentaati suami, maka harus baginya khulu'
(tebus talak) dengan bayaran gantian untuk dirinya"
Kata
Imam Ibnu Qudamah al Maqdisi ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al
Baqarah ayat 229, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Jika
kamu takut keduanya (suami isteri) tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum
Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang
diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya"
Keadaan
ini terpakai pada realiti pada masa ini. Misalnya sebahagian kes, terdapat
seorang suami penagih dadah, dan sudah tentu hal ini boleh mengundang mudarat
kepada anak isterinya. Juga barangkali suaminya seorang kaki pukul, kaki botol,
kaki judi yang semuanya itu boleh mengundang masalah sosial dalam
berumahtangga. Oleh kerana itu, Islam mensyariatkan penceraian bagi kebaikan
mereka yang tertindas. Begitu juga bagi kaum wanita, dibolehkan bagi mereka
untuk menuntut fasakh (berpisah) dengan alasan yang munasabah di sisi syarak.
Dalam
kitab al Mufassal fi Ahkam al Mar'ah, Dr. Abdul Karim Zaidan ketika
berbicara soal tafriq (memisahkan) suami isteri, beliau menyatakan bahawa
terdapat dua jenis sebab menjadi mudarat yang membolehkan isteri menuntut
fasakh. Pertamanya, mudarat dari segi fizikal seperti suami memukul atau
seumpama perbuatan yang boleh mendatangkan kecederaan. Keduanya, mudarat dari
segi jiwa atau psikologi. Misalnya seperti suami memakinya atau tidak mahu
bersetubuh dengannya. Keadaan tersebut membolehkan para isteri memohon fasakh
(berpisah).
Oleh
yang demikian, jelas kepada kita bahawa sesuatu pensyariatan adalah bertujuan
membawa kebaikan dan kerahmatan dalam kehidupan manusia. Penceraian adalah
jalan terakhir bagi sesebuah perhubungan. Perpisahan tersebut bukanlah suatu
langkah buruk dan keji tetapi secara tidak langsung, memberikan kehidupan yang
lebih baik daripada sebelum ini dan Islam memberikan solusi sebaiknya selari
dengan tuntutan fitrah dan naluri sebagai seorang manusia. Semoga Allah
mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan