Jumaat, 1 April 2022

MEMAKNAI MAKSUD IMAN SEBENAR

 

Islam akan terbina kukuh di dalam hati manusia apabila dirinya merasai nikmat keimanan. Tanpa hadirnya iman, ibadah lain seperti solat, berpuasa dan sebagainya seakan terkaku keras, dilaksana tanpa dirasainya. Oleh yang demikian, apabila kita berbicara soal keimanan, ianya sangat berkait rapat dengan akidah, yang juga merupakan tunjang dalam kehidupan seseorang muslim. Tanpa akidah yang sahih maka dirinya akan terdedah dengan kepesongan dan kesesatan dalam beragama.

Bagi memahamai makna iman sebenar, kita akan mendapati beberapa definisi iman yang dilontarkan dan dibahaskan oleh sebahagian golongan seperti kumpulan Murji'ah, Khawarij dan sebagainya. Kita akan mendapati definisi iman adalah berbeza-beza mengikut pandangan kumpulan masing-masing. Namun sebagai penyelesaian kepada perbezaan ini, kita di tuntut untuk bersikap sederhana (wasatiyyah) dalam memaknai iman dan inilah juga pegangan golongan Ahli sunnah wal jamaah.




Bagi golongan Murji'ah, iaitu sebuah kumpulan yang berpendapat bahawa pembuat dosa besar adalah masih sempurna iman mereka, berpandangan bahawa kedudukan iman itu bertempat di hati dan di lidah semata-mata. Maka bagi mereka, cukuplah bagi seseorang itu apabila mengaku beriman kepada Allah di dalam hati dan diungkap dengan lidah, maka dia sudah sempurna imannya dan tidak ada seorang pun yang boleh mempertikaikanya walaupun setelah mereka melakukan hal-hal yang boleh membatalkan iman. Ini bermakna, sekiranya seseorang itu meminum arak, berzina dan sebagainya, orang tersebut masih dikira beriman meski melakukan maksiat.

Sebaliknya, berlawanan dengan Murji'ah, golongan Khawarij pula, iaitu sebuah kumpulan yang mendakwa mereka yang melakukan dosa besar adalah kafir berpandangan bahawa iman itu terletak pada amal perbuatan seseorang. Ini bermakna apabila seseorang itu telah melakukan dosa besar maka orang tersebut telah terpesong dari landasan keimanan dan ianya menjadi kafir. Bagi golongan ini, si pelaku dosa besar terus menjadi kafir dan dihukum neraka selama-lamanya. Walaupun pada zahir dirinya kelihatan beriman, setelah melakukan dosa besar, maka gugurlah imannya dan menjadi kafir.

Jika dilihat daripada dua kerangka definisi ini, dapat kita simpulkan bahawa golongan Murji'ah adalah terlalu longgar dan bermudah dalam soal keimanan. Cukup dengan dizahirkan keimanannya melalui hati dan diungkap dengan lidah. Sebaliknya, golongan Khawarij pula diihat terlalu keras dan zalim dalam memberi maksud iman dengan mendakwa amal perbuatan penentu kepada segalanya. Kedua-dua pandangan golongan tersebut jika difahami akan mengundang masalah kepada masyarakat.




Berdasarkan definisi iman di sisi golongan Murji'ah, ianya akan merosakkan pemahaman dan pemikiran masyarakat. Akibat daripada pemahaman yang salah ini, akan menyebabkan masyarakat menyangka tidak berdosa sekiranya tidak solat, tidak berpuasa, minum arak dan lain-lain. Kerana bagi mereka cukup iman itu kedudukannya di hati dan dizahir dengan lidah. Seolah-olah perbuatan maksiat yang dilakukan tidak merosakan diri kerana imannya di hati dan terungkap di mulut.

Manakala berdasarkan definisi iman di sisi golongan Khawarij pula, hal ini turut akan mengundang kerosakan beragama. Ini kerana masyarakat akan menyangka bahawa amalan hati dan perakuan lidah tidak akan diambil kira selagimana orang itu melakukan dosa besar seperti berzina, berbohong, minum arak dan sebagainya. Pemahaman ini akan membentuk pemikiran masyarakat yang agresif, ekstremisme dan ganas. Sekaligus dengan mudah akan membudayakan kafir-mengkafir sesama umat Islam.

Oleh yang demikian, bagi memahami kerangka definisi iman yang sebenar, Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitab al Aqidah Riwayah Abi Bakr al Khallal berkata :

"Iman itu ucapan dengan lisan, beramal dengan anggota badan dan iktikad dengan hati, ia bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan, menjadi kuat dengan ilmu dan menjadi lemah dengan kejahilan, dengan hidayah Allah seseorang boleh mencapai iman, bahawa iman itu kata nama yang merangkumi perkara-perkara yang dinamakan banyak, yang terdiri daripada perbuatan dan perkataan".

Menambah kuat lagi definisi tersebut, dalam kitab Fathul Bari menerusi riwayat Al Hakim dalam Manaaqib As-Syafii', Imam al Syafi'i menyatakan bahawa :

"Iman itu perkataan dan amalan, dan ianya bertambah dan berkurang. Bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan maksiat".




Berdasarkan definisi tersebut, dapat kita simpulkan bahawa bagi Ahli Sunnah Wal Jamaah, amal perbuatan juga termasuk dalam hakikat sebuah keimanan yang tidak dapat dipisahkan. Malah, sesuatu amalan itu tidak sempurna melainkan dengan keimanan kepada Allah SWT. Perkara ini sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al Baqarah ayat 177 yang bermaksud :

"Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala kitab, dan sekalian nabi ; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi ; dan yang mengerjakan sembahyang serta mengeluarkan zakat ; dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila membuat perjanjian ; dan ketabahan orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. Orang yang demikian, mereka itulah orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) ; dan mereka itulah juga orang yang bertakwa".

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT mengiktiraf orang yang beriman adalah mereka yang mengakui akan keimanan mereka kepada Allah, para malaikat, para nabi, dan mereka yang melaksanakan perintah Allah seperti mendirikan solat, menunaikan zakat dan mendermakan sebahagian daripada hartanya yang disayangi. Ini bermakna, keimanan tidak cukup dengan mengungkap di lidah dan tertanam di dalam hati, bahkan ianya mesti disempurnakan dengan melakukan ketaatan pada Nya.

Demikian definisi iman sebenar berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pendekatan sebegini lebih sederhana dan tidak melampau, berbanding dengan kumpulan Murji'ah dan Khawarij. Bagi mencapai makna iman yang sebenar, dalam kitab al-Iman wal Hayah, Dr. Yusuf al Qaradawi berkata walau bagaimana sekalipun perselisihan para ulama kalam dalam membahaskan berkaitan iman dengan amal perbuatan, sama ada perbuatan itu sebahagian daripada erti iman atau syaratnya atau hasil daripada hasilan iman, kesemua mereka bersepakat bahawa amal perbuatan adalah bahagian yang tidak terpisah daripada iman yang sempurna. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan