Khamis, 14 April 2022

BUDAYA BURUK BERMAIN MERCUN PADA KACAMATA ISLAM

 

Telah menjadi adat dan tradisi sejak zaman dahulu lagi, apabila menjelang ketibaan hari perayaan kaum dan agama di Malaysia, acapkali kita mendengar dentuman bunyi mercun sana-sini gegak gempita bagai berada di medan pertempuran. Biarpun zaman berubah selari dengan kemajuan dunia global, budaya bermain mercun sudah sebati sebagai hiburan di dalam jiwa sebahagian kecil masyarakat kita tanpa mengira usia dan kaum.

Islam adalah suatu agama yang tidak menyekat fitrah penganutnya untuk berhibur menzahirkan rasa gembira dan seronok dalam menyambut sesuatu perkara. Tambahan pula, umat Islam sememangnya disyariatkan untuk bergembira pada dua hari raya iaitu Aidil fitri dan Aidil adha. Pun begitu, Dr. Yusuf al Qaradhawi dalam kitabnya al Halal Wa al Haram Fi al Islam, telah menghuraikan dengan panjang lebar mengenai hiburan dalam Islam dengan menggariskan batasan syarak diatas maslahah (kebaikan) umum dan mengelak mafsadah (kerosakan) daripada berlaku.




Umum mengetahui bahawa mercun yang merupakan bahan letupan yang boleh mengundang kepada bahaya dan kebinasaan. Tanpa perlu kita lihat pun, mendengar bunyi nya sahaja pun boleh mengejutkan anak kecil yang sedang tidur. Apatah lagi bagi mereka yang bermain mercun, lebih-lebih lagi berisiko mengundang bahaya. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al Baqarah ayat 195 yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan"

Berdasarkan ayat tersebut, tidaklah sukar untuk kita memahami bahawa agama telah melarang kita daripada melakukan perbuatan yang boleh menjuruskan diri ke lembah bahaya dan kebinasaan. Termasuk dalam hal ini adalah dengan bermain mercun. Perbuatan bermain mercun adalah sangat bahaya bukan sahaja pada diri sendiri bahkan boleh mengundang bahaya kepada jiran tetangga dan komuniti masyarakat sekeliling. Lebih besar daripada itu, boleh menyebabkan kebakaran akibat kecuaian bermain mercun.

Dalam sebuah hadith riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan"

Secara tidak langsung, budaya bermain mercun ini mengundang bahaya dan boleh memberikan mudarat kepada diri dan orang lain, dan hal itu ditegah dan dilarang oleh Islam. Kita barangkali tidak berasa "berdosa" bermain mercun membuat bising sana-sini, tetapi sedarkah kita bahawa junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW sangat melarang umatnya membuat kemudaratan. Andai pun kita tidak takut dengan undang-undang negara namun patuhilah larangan ini yang disebutkan oleh insan yang paling agung dan yang kita semua muliakan.




Pada masa sama, dalam keadaan tidak sedar, budaya bermain mercun ini juga telah membawa kita kepada pembaziran wang dan masa. Tidak keterlaluan untuk kita katakan mereka yang membeli mercun merbahaya umpama membakar wang ringgit mereka sendiri. Ini kerana perbuatan bermain mercun tersebut tidaklah sedikit pun memberikan manfaat bahkan mengundang mudarat pula. Ingatlah kita akan firman Allah SWT dalam surah al Isra' ayat 27 yang bermaksud :

"Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan"

Dalam Tafsir Ibn Kathir, Ibn Mas'ud RA dan juga Ibn Abbas RA telah berkata :

"Tabzir atau pembaziran adalah membelanjakan (infaq) sesuatu bukan pada jalan yang sebenar. Imam Qatadah pula berpandangan yang dinamakan pembaziran adalah mengeluarkan nafkah dalam bentuk maksiat kepada Allah, pada jalan yang salah dan pada jalan untuk berbuat kerosakan"

Kita juga perlu ingat akan sebuah hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah mengharamkan keatas kamu menderhaka ibubapa, membunuh anak perempuan, menegah daripada banyak karenah, benci bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta"

Berdasarkan pemahaman firman Allah dan hadith tersebut, Islam sangat melarang keras dan menegah dengan ketegasan pada umatnya supaya kita tidak melakukan pembaziran dalam kehidupan. Termasuk dalam hal ini adala membuat pembaziran dengan membelanjakan wang ringgit untuk membeli mercun, langsung tidak memberi faedah dan manfaat walaupun pada sekecil-kecil kebaikan. Kita juga boleh memahami bahawa budaya membazir bukanlah suatu kesalahan yang kecil dan remeh. Ini kerana, mereka yang melakukan perbuatan membazir itu diiktiraf oleh Allah SWT sebagai saudara syaitan. Seburuk-buruk dan sehina-hina teman adalah bersaudara dengan syaitan.




Akibat budaya bermain mercun juga akan menganggu gugat ketenteraman dan keharmonian hidup berjiran. Bunyian dentuman mercun gegak gempita ini kadang kala mengejutkan anak-anak kecil yang sedang enak tidur. Ada kalanya juga menganggu gugat kerehatan jiran ketika berada di rumah. Hal ini tidaklah baik dan berdosa diatas perbuatan tersebut. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya".

Islam mewajibkan kita untuk memuliakan jiran tetangga dengan tidak menganggu dan melakukan perkara-perkara yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian hidup berjiran. Seandainya kita berada dalam keadaan jiran mengganggu kita, sudah pasti kita tidak selesa dan suka dengan keadaan itu. Demikian juga kita perlu berwaspada dan menjaga tingkah laku kita agar tidak melakukan perkara yang sedemikian.

Sifat orang muslim itu, hendaklah tidak melakukan perkara yang boleh mengundang kemarahan dan kesakitan kepada saudara semuslimnya. Malah, perkataan "Islam" itu sendiri membawa makna sejahtera, aman dan damai. Maka logikkah kita membudayakan bermain mercun berbahaya sedangkan sifat orang Islam itu sendiri mesti bersifat selamat dan sejahtera. Selamatkah kita dengan perbuatan bermain mercun tersebut.

Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Orang Islam itu adalah orang Islam yang lain selamat dari lidahnya dan tangannya".

Ibnu Battal RA dalam Syarah Sahih al Bukhari, ketika menghuraikan hadith ini menyatakan bahawa :

"Maksud dengan hadith ini adalah dorongan agar seorang Islam tidak menyakiti orang Islam yang lain dengan lisan, tangan dan seluruh bentuk yang membawa kepada menyakiti orang lain"

Demikianlah beberapa sudut pandang Islam berkenaan budaya buruk dan tidak bertamadun ini, bermain mercun membakar wang ringgit, menggangu kejiranan dan yang lebih teruk melakukan perbuatan membazir yang dianggap sebagai saudara syaitan. Seharusnya para ibubapa hendaklah mendidik anak-anak agar tidak bermain mercun berbahaya ini yang padanya tiada langsung kebaikan. Para pemimpin masyarakat juga seharusnya memainkan peranan penting bagi memastikan hak kejiranan rukun tetangga terjaga dan terpelihara. Semoga Allah ampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan