Rabu, 6 April 2022

IBADAH SAHUR ; DISEBALIK KEBERKATAN & KEISTIMEWAANNYA

 

Bulan Ramadan merupakan bulan dimana seluruh umat Islam menjalani ibadah puasa. Seperti umat yang terdahulu, umat Islam diwajibkan berpuasa bermula daripada terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. Pada namanya Ramadan itu, terkandung rahsia Allah SWT untuk para hamba Nya termasuklah bagi sesiapa yang melakukan ibadah sahur.

Ibadah sahur merujuk kepada makna perbuatan makan dan minum pada awal pagi sebelum waktu fajar dengan niat berpuasa. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas Bin Malik RA, beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan".

Menurut Imam al Azhari dalam kitab Tahdzib al Lughah, sahur membawa maksud apa yang disahurkan dengannya pada waktu sahur daripada makanan atau susu atau apa-apa jenis makanan yang dimakan pada ketika itu. Berdasarkan pentakrifan ini, dapatlah kita fahami bahawa sahur merupakan suatu ibadah yang dilaksanakan oleh mereka yang berniat untuk berpuasa. Adapun makan dan minum di awal pagi tanpa berniat untuk berpuasa, maka ianya tidak disebutkan sebagai sahur.




Ibadah sahur merupakan sunnah yang paling besar dan tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi SAW dan para sahabat Baginda. Ini bermakna, sekiranya kita tidak bersahur, maka kita telah meninggalkan sunnah yang paling besar. Disebalik ibadah sahur ini, terdapat beberapa kelebihan dan keistimewaan yang dinyatakan oleh Allah dan Rasul Nya. Antaranya sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dan puasa ahli kitab terletak pada makan sahur"

Imam al Nawawi dalam kitab Syarh al Nawawi 'ala Sahih Muslim, berkata ketika menjelaskan hadth ini :

"Maknanya, perbezaan yang paling ketara antara puasa kita dan puasa mereka (ahli kitab) adalah bersahur, sesungguhnya mereka tidak bersahur dan kita disunatkan untuk bersahur"

Realitinya, setiap agama yang wujud di dunia ini memerintahkan penganutnya untuk berpuasa dengan mengikut cara suruhan agama masing-masing. Umumnya, ibadah puasa itu sendiri memberi makna menahan diri daripada lapar dan dahaga. Maka, bagi membezakan puasa umat Islam dengan puasa agama lain, adalah dengan kita melaksanakan ibadah sahur. Inilah fokus besar yang membezakan puasa orang Islam dan puasa agama-agama lain. Oleh itu, dengan bersahur, kita telah dapat memisahkan ibadah puasa kita dengan puasa agama lain.

Adalah menjadi kelebihan dan keistimewaan juga bagi mereka yang melakukan ibadah sahur ini adalah Allah dan para malaikat mendoakan orang-orang yang bersahur. Hal ini terdapat dalam sebuah hadith riwayat Imam Ahmad yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah dan malaikat Nya mendoakan buat mereka yang bagun sahur"

Ini menjelaskan kepada kita betapa besar dan hebatnya ibadah sahur itu sendiri. Meskipun kita tidak lalu untuk menjamah makanan, tetapi sekurang-kurangnya bangunlah untuk bersahur walau dengan sebiji tamar. Ini kerana kelebihannya sangat hebat, Allah dan para malaikat mendoakan bagi mereka yang bangun sahur. Dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sebaik-baik sahur orang mukmin adalah dengan buah tamar"

Dalam kitab Syarh Sunan Abi Dawud, oleh Syeikh Abd al Muhsin al 'Abbad, beliau menyatakan ketika menjelaskan hadith ini dengan menyebut : "Pada hadith ini menunjukkan pujian pada sesiapa yang bersahur dengan tamar, kerana pada tamar itu terdapat kekuatan yang tersendiri". Oleh yang demikian, bagi mereka yang mungkin tidak mempunyai selera untuk menjamah makanan, sekurang-kurangnya bersahurlah dengan sebiji tamar. Kerana padanya ada pujian dan kekuatan yang tersendiri.




Selain itu, pada ibadah sahur itu juga mempunyai keberkatan yang dijanjikan. Hal ini sepertimana kata Imam Ibn Hajar al Asqalani dalam kitab Fath al Bari, ketika beliau menjelaskan makna hadith tentang keberkatan bersahur, beliau menyatakan bahawa :

"Berkat pada sahur terhasil daripada sudut yang pelbagai, iaitu mengikut sunnah, serta berlawanan dengan ahli kitab, dan ianya menguatkan tenaga untuk melakukan ibadah puasa, serta menambakan semangat untuk berpuasa, menahan daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta, dan sebab kepada berzikir dan berdoa, waktu mustajab untuk berdoa, waktu niat untuk berpuasa bagi yang lupa berniat sebelum tidur"

Begitu juga pandangan Imam al Nawawi dalam kitab Syarh al Nawawi 'ala Sahih Muslim, ketika beliau menjelaskan tentang hadith keberkatan bersahur dengan menyatakan bahawa :

"Pada hadith ini menunjukkan galakan untuk bersahur. Para ulama telah bersepakat bahawa bersahur itu sunat dan digalakan, dan ianya bukanlah wajib, namun pada zahirnya, terdapat berkat dalam sahur itu kerana ianya menguatkan dan memberi semangat untuk berpuasa, menjadikannya sebab dan galakan untuk menambahkan puasa disebabkan keringanan beban bagi orang yang telah bersahur, dan ia adalah pandangan yang tepat yang muktamad pada maknanya".

Oleh yang demikian, dapat kita fahami bahawa keberkatan sahur itu terbahagi kepada dua. Keberkatan dari sudut syarak dan keberkatan dari sudut jasmani. Dari sudut syarak, kita memperoleh keberkatan dalam mengikut sunnah baginda Nabi SAW, diberikan ganjaran pahala, menjadi penyebab kita berdoa, bsrzikir dan sebagainya. Manakala keberkatan dari sudut jasmani pula, keberkatan bersahur menjadikan kita lebih bertenaga serta menguatkan semangat untuk terus menjalani ibadah puasa.




Selain itu, keistimewaan bersahur juga dapat memberikan kita tenaga menggantikan sarapan pagi. Dr. Mark Pereira dan beberapa orang pengkaji lagi dari Pusat Perubatan Harvard mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi akan mempunyai risiko untuk mengidap penyakit jantung dan kencing manis. Manakala dalam kajian yang lain, Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor menyatakan bahawa mereka yang meninggalkan sarapan pagi berisiko untuk menanggung dua kali ganda kekurangan zat besi dalam darah dan berpotensi mengalami penyakit anemia, iaitu kekurangan haemoglobin dalam darah.

Oleh yang demikian, dengan bersahur sebagai menggantikan sarapan pagi, ianya dapat menjadikan diri kita lebih sihat dan kuat serta terselamat daripada menjadi golongan yang berisiko mendapat penyakit. Kita juga dituntut untuk melewatkan sahur. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Zaid bin Tsabit berkata :

"Kami pernah makan sahur bersama Nabi SAW. Kemudian kami pun berdiri untuk menunaikan solat. Kemudian Anas bertanya pada Zaid ; "Berapa lama jarak antara azan dan subuh dan sahur kalian ?", Zaid menjawab : "Sekitar membaca 50 ayat".

Demikian disebalik keberkatan dan keistimewaan yang terdapat pada ibadah sahur. Meskipun ibadah sahur itu tidaklah wajib, namun padanya terkandung rahsia Allah bagi mereka yang bersahur. Setelah kita meneliti keistimewaa  bersahur, janganlah kita memandang remeh pada ibadah sahur dan rebutlah segala kelebihan, keistimewaan dan ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Semoga kita semua diberkati oleh Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan