Sejarah
telah mencatatkan pada tanggal 17 Ramadan tahun kedua hijrah, tercetusnya
sebuah peperangan pertama dalam Islam yang disebutkan sebagai Perang Badar al
Kubra. Peperangan ini dinamakan sebagai Badar kerana tempat berlakunya perang
tersebut di sebuah lembah bernama Badar. Kedudukan Badar agak strategik kerana
terletak antara Makkah dan Madinah.
Dalam
catatan sirah, seperti yang telah dinukilkan oleh Syeikh Safiyyurrahman al
Mubarakfuri dalam kitabnya ar-Rahiq al-Makhtum, pada asalnya tentera Islam
bukanlah mempunyai tujuan untuk mencetuskan peperangan. Sebaliknya, tujuan
sebenar tentera Islam adalah untuk memintas rombongan pemimpin Makkah bersama
Abu Sufyan dalam perjalanan pulang dari Syam. Tindakan ini dibuat bertujuan
untuk melumpuhkan bekalan musuh yang berpangkalan di Makkah.
Namun
dengan takdir Allah, tentera Islam telah berhadapan dengan tentera musuh yang
datangnya dari Makkah dan jumlah mereka sangat besar dan melebihi jumlah
tentera Islam. Bahkan, dalam catatan sejarah juga, Abu Jahal telah memaksa Bani
Hashim untuk turut turun berperang menentang Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana
itu, tentera Islam bukan sahaja berdepan dengan musuh mereka bahkan turut
mereka berdepan adalah dari ahli keluarga mereka di Makkah.
Peperangan
ini telah menyaksikan jumlah tentera Islam lebih kecil berbanding jumlah
tentera kaum musyrikin Quraisy. Disebutkan oleh Syeikh Safiyurrahman al
Mubarakfuri, jumlah tentera Islam adalah seramai 300 dan beberapa belas orang
sahabat yang terdiri daripada 82 atau 83 atau 86 orang-orang kaum Muhajirin, 61
orang-orang kaum Aus dan 170 orang-orang kaum Khazraj. Dengan kekuatan 2 ekor
kuda milik Zubair al Awwam dan Miqdad al Aswad, juga 70 ekor unta yang
ditunggangi secara bergilir-gilir bagi berdepan dengan pihak musuh.
Kekuatan
tentera musyrikin Quraisy pula menyaksikan seramai 1300 orang askar pada
peringkat permulaan. Dengan kekuatan sokongan sebanyak 100 ekor kuda dan 600
perisai digunakan dalam peperangan tersebut. Pasukan tentera ini diketuai oleh
Abu Jahal bim Hisham. Peperangan ini juga menyaksikan penglibatan para malaikat
membantu tentera Islam dan Iblis bagi memberi semangat kepada tentera kaum
musyrikin Quraisy.
Meskipun
jumlah tentera musuh lebih ramai berbanding tentera Islam, dengan bantuan dan
pertolongan Nya, tentera Islam memperolehi kemenangan yang sangat hebat. Sebanyak
70 orang tentera musyrikin Quraisy terbunuh manakala 70 orang lagi telah
ditawan. Baki yang lain telah melarikan diri dari medan peperangan. Pertempuran
yang penuh dramatik yang berlaku pada bulan Ramadan ini membuktikan kepada kita
bahawa pertolongan Allah itu benar dan sentiasa ada bersama orang-orang
beriman.
Firman
Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 123 yang bermaksud :
"Sesungguhnya
Allah menolong kamu dalam Perang Badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang
lemah. Kerana itu bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri Nya"
Imam
Ibn Katsir ketika menjelaskan ayat ini, beliau menyatakan bahawa :
"Ketika
saat terjadi Perang Badar yang bertepatan pada hari Jumaat tanggal 17 Ramadan
tahun 2 Hijrah. Pada hari itu juga disebutkan (yaumul furqan) iaitu yang
bermaksud hari pembezaan antara hak dan batil. Pada hari itu Allah Azza Wa
Jalla memuliakan Islam dan kaum muslimin serta menghancurkan kesyirikan dan
pendokongnya, padahal jumlah kaum muslimin yang turut berperang ketika itu
sangat sedikit"
Kemuliaan
yang dikurniakan oleh Allah kepada ahli Badar juga dapat kita lihat menerusi
sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari, daripada Rifa'ah, salah seorang sahabat
Nabi yang turut sertai dalam peperangan Badar, beliau menyatakan bahawa Jibril
AS mendatangi Nabi SAW dan bertanya :
"Bagaimana
kalian memandang orang-orang yang ikut serta dalam perang Badar ?, Rasulullah
SAW menjawab : "Mereka termasuk kaum muslimin yang terbaik. " Jibril
AS mengatakan : "Begitu juga para malaikat yang sertai dalam Perang Badar"
Syeikh
Safiyurrahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum menyebut :
"Hatib
bin Abi Balta’ah menulis perutusan kepada Quraisy untuk mengkhabarkan kepada
mereka tentang perjalanan Rasulullah SAW. Diberikan perutusan itu kepada
seorang wanita dan wanita itu menyelitkan perutusan tersebut dalam gulungan
rambutnya. Dia pergi menuju kepada kaum Quraisy. Kemudian, telah sampai kepada
Rasulullah SAW berita dari langit yang memberitahu tentang apa yang dilakukan
oleh Hatib. Maka Rasulullah SAW lalu mengutus Ali RA dan Miqdad RA dengan
berkata: “Pergilah kamu sehingga sampai di Raudhah Khakh. Di sana ada seorang
wanita yang membawa sepucuk perutusan kepada Quraisy.”
Maka
kedua-duanya pergi dengan memacu kuda dengan pantas sehingga bertemu dengan wanita
tersebut di tempat itu. Kedua-duanya terus menghampiri wanita itu dan bertanya:
“Apakah engkau membawa perutusan?” Wanita itu menjawab, “Aku tidak membawa
perutusan.” Kemudian mereka berdua memeriksa haiwan tunggangan wanita tersebut
dan tidak menemui apa-apa.
Lalu
Ali berkata kepada wanita itu, “Aku bersumpah atas nama Allah SWT, Rasulullah
SAW tidak pernah berdusta. Demi Allah SWT, engkau keluarkan perutusan itu atau
kami akan menelanjangkan engkau.” Melihat kesungguhan yang dipamerkan oleh Ali,
wanita itu menjawab: “Aku akan keluarkan. Aku akan keluarkan.” Wanita itu lalu
menguraikan gulungan rambutnya dan mengeluarkan perutusan tersebut. Dia
menyerahkan perutusan itu kepada Ali RA dan Miqdad RA.
Kedua-dua
mereka lantas membawa perutusan tersebut kepada Rasulullah SAW. Setelah dibuka,
didapati di dalamnya tertulis: “Daripada Hatib bin Abi Balta’ah kepada
Quraisy.” Di dalamnya, Hatib memberitahu berkenaan pergerakan Rasulullah SAW.
Maka Rasulullah SAW lalu memanggil Hatib dan bertanya: “Apakah ini Hatib?”
Hatib menjawab: “Jangan hukum aku wahai Rasulullah. Demi Allah, sesungguhnya
aku ini beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Aku tidak murtad dan tidak pula
menukar agamaku. Hanya aku seorang sahaja anak pertama yang membesar di tengah
Quraisy. Sebenarnya aku bukanlah saudara mereka, tetapi mereka sudi melayanku
sebagai keluarga, saudara dan anak mereka. Aku mempunyai saudara yang boleh
melindungi mereka. Sedangkan orang-orang yang bersamamu adalah saudara mereka,
yang sebetulnya boleh melindungi mereka. Disebabkan itulah aku ingin melakukan
apa yang boleh aku lakukan untuk melindungi mereka.”
Umar
bin al-Khattab RA lalu berkata: “Biarkan aku wahai Rasulullah. Aku akan pancung
lehernya. Sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya. Dia seorang
munafik.”
Rasulullah
SAW menjawab:
“Sesungguhnya
dia adalah termasuk orang yang ikut serta dalam perang Badar. Apakah engkau
mengetahui, bahawa Allah SWT telah melihat (ke dalam hati) orang-orang yang
ikut serta dalam Perang Badar, lalu Dia berfirman: “Lakukanlah apa yang kamu
kehendaki, sungguh Aku telah mengampuni kalian.”
Kedua-dua
mata Umar RA terus menitiskan air mata. Lantas dia berkata: “Allah SWT dan
Rasul-Nya lebih mengetahui”
Demikianlah
Allah SWT mengaburi setiap mata, sehingga berita persiapan dan keberangkatan
tentera Islam untuk berperang tidak diketahui oleh Quraisy."
Mengamati
kisah peperangan dan kemuliaan bagi mereka yang menyertainya, membuatkan kita
lebih termotivasi dan terinspirasi dengan kisah peperangan agung ini. Oleh itu,
dengan mengambil semangat perang Badar al Kubra ini, mudah-mudahan kita berjaya
mengharungi tarbiah Ramadan ini dengan penuh ketaqwaan. Semoga Allah mengampuni
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan