Sinergi
dunia barat sejak dahulu cuba menonjolkan sisi pandang wajah Islam yang buruk
dan tidak bertamadun, tidak berupaya menafikan hakikat sebenar intipati dalam
ajaran Islam. Biarpun pelbagai slogan dan strategi memburukkan imej Islam
dilakukan, namun pada dasarnya tidak sedikit pun dapat mengubah ajaran sebenar
Islam yang dibawa dengan makna kerahmatan untuk seluruh alam semesta. Meskipun
usaha untuk memburukan Islam tidak pernah sunyi dan terhenti, Islam dalam makna
sebenar telah menjamin hak mereka yang bukan Islam terus di pelihara dan
dijaga.
Islam
dengan membawa rahmat untuk sekalian alam, telah memerintahkan umatnya supaya
memberikan perlindungan kepada mereka yang bukan Islam. Adalah menjadi
tanggungjawab kepada pemimpin Islam memberi perlindungan kepada mereka yang
bukan Islam dan menjamin keamanan mereka. Hal ini sepertimana yang telah
difirmankan oleh Allah Azza Wa Jalla menerusi surah al Taubah ayat 6, Allah SWT
berfirman yang bermaksud :
"Dan
jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami
Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar
keterangan-keterangan Allah SWT (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah
dia kr mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana
mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)".
Dalam
menghakimi sesuatu perkara juga, Allah telah memerintahkan agar kita bersikap
adil pada mereka yang bukan Islam ketika mahu menghakimi mereka. Firman Allah
SWT dalam surah al Maidah ayat 8 yang bermaksud :
"Wahai
orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang
yang menegakkan keadilan kerana Allah SWT, lagi menerangkan kebenaran ; dan
jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu
kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa
jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada
Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu
lakukan".
Berdasarkan
firman tersebut, Allah SWT dengan sifat Maha Pengasih dan Penyayang telah
memerintahkan agar hamba Nya sentiasa bersikap adil dan telus dalam menghakimi
sesuatu perkara tanpa mengira status agama dan kaum. Bahkan, Allah SWT dengan
penuh ketegasan melarang umat Islam daripada tidak berlaku adil pada seseorang
kerana kebencian pada mereka. Dalam makna yang lebih mudah difahami, Allah
melarang kita bersikap tidak adil kerana sikap kebencian kita pada mereka.
Kerana sikap kebencian tersebut mampu mendorong kita untuk bersikap tidak adil
dan telus.
Bagi
menjamin hak orang bukan Islam, Allah SWT juga melarang orang Islam untuk
memaksa mereka memeluk agama Islam. Walau atas apa nama sekalipun, kita sangat
dilarang untuk memaksa mereka yang bukan Islam memeluk agama Islam. Ini
sepertimana firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 156, Allah SWT
berfirman yang bermaksud :
"Tidak
ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran
(Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut,
dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada
simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".
Sebagai
orang Islam, kita juga dilarang sama sekali mencederakan orang bukan Islam atau
membunuhnya. Ini juga termasuk menyakiti dan mendatangkan kebinasaan kepada
mereka yang bukan Islam. Hal ini sepertimana yang dinyatakan dalam sebuah
hadith riwayat Bukhari, daripada Abdullah bin Amru yang bermaksud :
"Barangsiapa
yang membunuh mua'had tidak akan dapat mencium bau syurga, walaupun
sesungguhnya syurga itu dapat dihidu dari jarak 40 tahun perjalanan".
Istilah
"Mua'had" adalah merujuk kepada makna golongan orang bukan
Islam yang berjanji untuk hidup secara aman dan tidak menentang Islam di negara
Islam. Betapa besar dan hebatnya ancaman kepada orang Islam yang bersikap ganas
dan melampau terhadap mereka sehingga mendatangkan kecederaan dan lebih teruk,
membunuh mereka tanpa hak yang dibenarkan oleh Islam.
Dalam
sistem hidup bernegara, hak orang bukan Islam di bawah negara umat Islam terus
dijamin dan dipelihara sehingga suatu tahap, baginda Nabi SAW sendiri dengan
penuh tegas dan berprinsip telah menyatakan bahawa baginda Nabi SAW sendiri
akan menjadi pendakwa kepada orang Islam di hari kiamat akibat menipu, menindas
dan menzalimi hak orang bukan Islam. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith
Nabi SAW, baginda bersabda yang bermaksud :
"Ketahuilah
barangsiapa yang menzalimi mua'ahad, mengurangi haknya, memerintahnya melakukan
sesuatu diluar kemampuannya atau mengambil sesuatu tanpa kerelaannya maka aku
akan menjadi pendakwanya di hari kiamat".
Demikianlah
sikap dan pendirian tegas baginda Nabi SAW kepada orang Islam yang menindas dan
menzalimi golongan bukan Islam yang tidak memerangi Islam dan hidup aman
sentosa. Begitu juga dalam hal berbuat baik kepada jiran sekalipun jiran kita
itu adalahereka yang bukan Islam. Berbuat baik dan bersikap kasih sayang sesama
manusia adalah tuntutan Islam yang merentasi perbezaan agama dan kaum.
Lebih-lebih lagi berbuat baik kepada jiran. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari
dan Muslim, Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud :
"Jibril
sentiasa berpesan kepadaku supaya memenuhi hak jiran sehingga aku menyangka
bahawa jiran itu akan mewarisi (harta peninggalan) nya".
Hadith
ini bersifat umum. Maka dengan itu, Islam sangar menuntut supaya kita berbuat
baik kepada jiran tanpa mengira apa agama dan kaumnya. Oleh yang demikian, bagi
orang bukan Islam tidak perlu bimbang dan takut jika berjiran dengan orang
Islam kerana padanya ada hak berjiran yang perlu dilakukan oleh orang Islam.
Berbuat baik kepada jiran termasuklah amalan ziarah-menziarahi, bertegur sapa
dan mengambil peduli jiran.
Demikianlah
beberapa hak orang bukan Islam yang dijamin oleh Islam. Setelah melihat akan
semua hak ini, bagaimana lagi boleh kita katakan Islam agama ganas dan suka
berperang ? Barangkali ada segelintir umat Islam yang suka bersikap bengis dan
rasis kepada orang bukan Islam, namun hal yang demikianlah bukanlah intipati
sebenar ajaran Islam. Apa yang benar adalah apa yang diajarkan oleh Islam. Maka
apa yang kita lihat dan dengar tentang Islam, seharusnya disemak semula dengan
intipati sebenar ajaran Islam. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan