Rabu, 27 Ogos 2025

ORANG BUKAN ISLAM DILARANG MASUK MEKAH DAN MADINAH ?

 

Muka bumi Allah yang luas dan tidak terperi indahnya ini merupakan salah satu dari banyak lagi petanda akan kekuasaan dan kebesaran Nya. Tanpa perlu kita berfikir jauh, lihatlah bagaimana langit tidak bertiang, gunung yang pasak lagi kuat mencengkam, lautan yang luas tidak bertepian dan berbagai macam lagi kejadian alam ini yang sukar difahami dengan penelitian akal yang terbatas. Dunia yang penuh indah hamparannya ini menyaksikan banyak tempat-tempat menarik yang menakjubkan mata manusia yang melihat. Namun begitu, sebaik-baik tempat yang indah, tiada tempat yang lagi indah dan mulia selain Tanah Haram yang padanya terdapat dua tanah suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah. Dua tanah suci ini dinamakan sebagai tanah haram kerana terdapat beberapa larangan untuk melakukan perbuatan-perbuatan tertentu sehingga hari kiamat.

Persoalan yang timbul, apakah benar orang bukan Islam atau orang kafir diharamkan untuk memasuki dua tanah suci umat Islam ini iaitu Mekah dan Madinah. Adapun jika benar dilarang masuk, apakah pula hujah, sebab dan alasan yang dikemukakan oleh syariat Islam. Bagi menjawab persoalan ini, harus kita fahami dahulu latar belakang dua tanah haram suci ini. Tanah Haram suci pertama ialah Mekah. Kota Mekah berada di negara Arab Saudi yang terletak di semenanjung Arab. Mekah merupakan tempat yang padanya terletak Kaa'bah dan juga Masjidil Haram. Selain Mekah juga adalah tempat kelahiran baginda Nabi Muhammad SAW. Madinah pula kota suci umat Islam kedua yang juga merupakan tempat bersejarah bagi umat Islam. Nama asal Madinah ialah Yathrib. Madinah berada di tengah-tengah lembah yang subur dan dikelilingi dengan Bukit Uhud, Bukit Thur dan Wadi Qanat.




Berbalik kepada persoalan utama, para ulama telah bersepakat menyatakan bahawa orang bukan Islam atau disebut orang kafir tidak dibenarkan bermukim secara tetap di Tanah Haram Mekah dan Madinah. Perkataan "Bermukim" menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud penduduk tetap. Selain itu, bermukim juga boleh difahami sebagai seseorang yang menetap di suatu tempat lebih daripada tiga hari termasuk hari datang dan hari keluar. Larangan kepada orang bukan Islam untuk bermukim secara tetap di Tanah Haram Mekah dan Madinah adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Taubah ayat 28, firman Nya yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".

Berdasarkan ayat ini, Imam al-Qurtubi menyebut dalam kitabnya Tafsir al-Qurtubi, menurut Imam al-Syafie, ayat tersebut melarang orang bukan Islam atau kafir daripada memasuki Masjidil Haram sahaja manakala masjid-masjid lain boleh dimasuki. Sebahagian ulama yang lain pula menyatakan ayat tersebut bukan hanya merujuk kepada Masjidil Haram tetapi keseluruhan kawasan Tanah Haram merangkumi Mekah dan Madinah. Selain ayat al-Quran, larangan kepada orang bukan Islam untuk menetap di Tanah Haram juga berdasarkan hadith Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibnu Abbas RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Keluarkan orang musyrikin dari Jazirah Arab.”

Imam Allamah Ahmad bin Muhammad al-Qustullani dalam kitabnya Irsyad al-Sari, beliau menukilkan pandangan Imam al-Syafie dengan mengatakan bahawa hadith tersebut menjadi hujah dan dalil larangan kepada orang bukan Islam untuk menetap di Mekah, Madinah dan Yamamah. Larangan ini termasuk kafir zimmi dan kafir harbi. Imam al-Qustullani juga menjelaskan bahawa dimaksudkan Tanah Arab dalam hadith sebagai larangan kepada orang musyrikin atau kafir memasukinya adalah Tanah Hijaz. Ini meliputi sebahagian kawasan Saudi sekarang iaitu Mekah, Madinah, Jeddah, Tabuk, Yanbu, Taif dan Baljurashi. Adapun selain daripada Tanah Hijaz seperti Yaman dan Najran tidak termasuk Tanah Arab yang hadith sebutkan. Ini kerana, ketika Umar al-Khattab mengusir kafir zimmi daripada Tanah Hijaz, beliau tidak mengusir orang kafir daripada Yaman serta membenarkan orang kafir memasuki Tanah Arab selain Tanah Hijaz.




Secara ringkas, para ulama bersepakat menyatakan bahawa hukum haram orang bukan Islam bermukim tetap di Tanah Haram Mekah dan Madinah. Namun begitu, para ulama telah berbeza pandangan berkaitan hukum orang bukan Islam memasuki Tanah Haram sebagai pelawat, tetamu atau pekerja dan bukannya sebagai penduduk tetap. Imam al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj, menjelaskan majoriti ulama mazhab Maliki dan al-Syafie melarang orang bukan Islam memasuki ke kawasan Tanah Haram Mekah. Begitu juga bagi mazhab Hanbali, turut menyatakan hukum haram bagi orang bukan Islam memasuki Mekah. Pun begitu, mazhab Maliki membenarkan orang bukan Islam memasuki Mekah dengan izin penguasa tetapi tetap tidak dibenarkan memasuki Masjidil Haram. Bagi mazhab Hanafi sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab Rad al-Muhtar 'Ala al-Dur al-Mukhtar, Imam Abu Hanifah berpandangan hanya kafir zimmi sahaja yang dibenarkan memasuki Mekah.

Selain itu, Ali bin Zakaria al-Manbaji dalam kitabnya al-Luhab fi al-Jam' Baina al-Sunnah wal Kitab, menukilkan pandangan oleh sebahagian pengikut mazhab Hanafi, mereka berpandangan semua orang bukan Islam boleh memasuki Tanah Haram Mekah sekiranya berlaku perjanjian damai. Namun begitu, Imam Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Ahkam Ahl al-Zimmah, ketika memberi ulasan berkenaan pandangan ini, beliau menyatakan bahawa :

“Adapun menurut Abu Hanifah, mereka (bukan Muslim) boleh memasuki seluruh kawasan Haram. Bahkan, mereka boleh juga memasuki ke dalam Kaabah, tetapi mereka tidak boleh menetap terus di sana. Namun, mereka boleh memasuki Hijaz dan menetap di sana menurut kadar keperluan mereka sahaja. Abu Hanifah seakan melakukan qiyas bagi hukum memasuki Mekah sama seperti hukum memasuki kota Madinah. Qiyas seperti itu tidak betul kerana bagi Tanah Haram Mekah ada hukum hakamnya yang tersendiri, berbeza dengan hukum di kota Madinah.”




Bagi Tanah Haram Madinah pula, majoriti ulama mengharuskan orang bukan Islam untuk memasuki Madinah dengan tujuan ziarah, melawat atau menetap sementara. Keharusan ini juga bagi orang bukan Islam yang datang dengan tujuan berdagang dan berjual beli. Keharusan ini berdasarkan dalil yang jelas menunjukkan di zaman Nabi SAW ketika baginda hidup bersama-sama dengan golongan Yahudi di Madinah, baginda tidak pernah melarang mereka dari memasuki Madinah atau menghalau mereka yang bukan Islam keluar dari Madinah. Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni, beliau menyatakan bahawa dan harus bagi mereka memasuki Hijaz bagi tujuan berniaga kerana golongan Nasrani dahulu pernah melakukan urusan perniagaan hingga memasuki Madinah di zaman Umar al-Khattab. Selain itu dalam kitab Hal Yajuz Li Ghair al-Muslim Dukhul Makkah wal Madinah karangan Sa'ad al-Din al-Hilali, beliau menyebut bahawa majoriti para ulama masa kini juga bersetuju dengan hukum memberi izin orang bukan Islam untuk memasuki Tanah Haram Madinah.

Demikian perbahasan oleh para ulama dalam melihat hukum orang bukan Islam atau orang kafir memasuki Tanah Haram Mekah dan Madinah. Secara mudah untuk difahami, orang bukan Islam dilarang untuk memasuki Tanah Haram Mekah dan Madinah dengan tujuan untuk bermukim menetap disana. Sepakat para ulama dalam hal tersebut. Adapun orang bukan Islam memasuki Tanah Haram dengan tujuan melawat, menziarahi atau bekerja di sana dan bukan untuk tujuan menetap kekal, maka di sini para ulama berbeza pandangan. Bagi Tanah Haram Mekah, majoriti tetap menyatakan hukumnya haram. Tetapi sebahagian lain menyebut harus memasukinya dengan izin penguasa. Pun begitu, tetap haram orang bukan Islam memasuki Masjidil Haram. Berbeza pula dengan Tanah Haram Madinah. Majoriti ulama menyatakan hukum harus orang bukan Islam memasuki Madinah dengan tujuan melawat, menziarahi atau dengan tujuan berdagang. Disebalik hukum bagi dua Tanah Haram ini, tentunya ada hikmah yang tersendiri. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan