Kepuasan hidup di dunia ini adalah bersifat terbatas dan terhad
pada kadar tempohnya yang tertentu. Misalnya pada hari semalam, kita barangkali
merasa puas kerana dapat menjamah makanan yang kita gemari. Namun pada keesokan
harinya pula, kepuasan tersebut hilang sekaligus dengan berasa lapar semula.
Sewaktu di usia muda, puas kita bekerja membanting tulang siang dan malam.
Tetapi apabila menjengah ke usia senja, kepuasan tersebut beransur hilang
sejajar dengan usia kita yang semakin bertambah angka. Demikian antara nikmat
kepuasan yang pernah kita nikmati meski hal itu bersifat sementara, terbatas
dan ada hadnya. Dalam ajaran Islam, salah satu sifat yang ditekankan bagi
mengimbangi antara kepuasan dunia dan akhirat iaitulah yang dinamakan sebagai
sifat syukur.
Perkataan "Syukur" berasal dari kosa kata
bahasa Arab. Istilah syukur menurut kefahaman bahasa membawa makna pujian
kepada pemberi kebaikan. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, ungkapan syukur
memberi maksud terima kasih, beruntung dan bertuah. Pada sudut syarak, syukur
pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah
kepadanya untuk mentaati Nya. Selain itu, Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah
dalam kitabnya Madarij al-Salikin, beliau menukilkan perkataan oleh
Junaid dengan menyebut syukur adalah tidak menganggap dirinya sendiri sebagai
pemilik kenikmatan. Abu Nu'aim al-Asfahani dalam kitabnya Hilyah al-Auliya',
merekodkan ungkapan oleh Abu Bakar al-Warraq dengan menyatakan yang dimakna
mensyukuri nikmat adalah memperhatikan pemberian dan menjaga kehormatan.
Secara ringkas, syukur boleh difahami dengan maksud mengakui nikmat
yang diberi kepada kita serta berkhidmat kepada sang pemberi nikmat tersebut.
Hal ini secara tidak langsung menjelaskan kepada kita bahawa golongan yang
tidak mengakui nikmat pasti tidak akan memsyukurinya. Hanyasanya mereka yang
sedar dengan mengakui akan segala nikmat yang diberi sekaligus dapat
menzahirkan perasaan bersyukur atau berterima kasih kepada pemberi nikmat.
Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan tentang kepentingan bersyukur kepada Nya.
Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud :
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu : "Demi
sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada
kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku
amatlah keras".
Menurut Imam Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-A'zim,
ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut bahawa maksud ayat tersebut
sekiranya seseorang itu bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang
diberikan kepadanya maka Allah Azza Wa Jalla akan menambahkan lagi nikmat
tersebut keatas dirinya. Selain itu, Imam al-Qurtubi dalam kitabnya al-Jami'
li Ahkam al-Quran, beliau menjelaskan bahawa bersyukur atas nikmat adalah
sebab bertambahnya nikmat tersebut. Sifat syukur pada hakikatnya adalah
merupakan manifestasi perhambaan dirinya kepada Allah SWT. Ini kerana lawan
bagi syukur adalah kufur. Kufur membawa makna ingkar, tidak mahu tunduk dan
patuh kepada Allah sebagai seorang hamba. Maka jelas bahawa sifat syukur dapat
menzahirkan pengabdian diri, ketundukan dan kepatuhannya kepada Allah Azza Wa
Jalla. Dalam hal ini, Allah SWT menyebut di dalam al-Quran menerusi surah
al-Nahl ayat 114, firman Allah SWT yang bermaksud :
"Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya
menyembah-Nya semata-mata".
Telah berkata Syeikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa'di dalam kitab
tafsirnya dengan menyebut bersyukurlah melalui pengakuan dengan hati, pujian
kepada Allah atas nikmat itu dan menggunakannya dalam ketaatan kepada Allah.
Jika kalian benar-benar memurnikan ibadah kepada Nya, janganlah bersyukur
kecuali kepada Nya sahaja dan jangan sesekali engkau melupakan Allah yang
memberi kenikmatan. Demikian ulasan oleh al-Sa'di. Perlu difahami bahawa sifat
syukur selain menzahirkan ketundukan seorang hamba, ianya juga menjadi benteng
kepada sifat-sifat tercela yang lain seperti hasad, iri hati, adu domba, riak,
takbur dan fitnah-memfitnah. Belajarlah dari sifat sombong oleh Iblis yang
tidak tahu bersyukur sekaligus enggan untuk tunduk dan patuh kepada Allah.
Makhluk yang dilaknat oleh Allah SWT iaitu Iblis, telah dihumban keluar dari
syurga kerana enggan ikut perintah Allah yang menyuruhnya tunduk kepada manusia
pertama yang dicipta iaitu Nabi Adam AS.
Dalam memaknai erti bersyukur, Imam Ibnu al-Qayyim menjelaskan
dalam kitabnya Madarij al-Salikin, berkenaan kerukunan syukur
mengandungi tiga perkara. Ini bermaksud perasaan syukur akan berlaku dengan
tiga perkara. Pertama, syukur dengan hati. Kedua, syukur dengan ungkapan lidah
dan yang ketiga, syukur dengan anggota badan. Pertamanya, syukur dengan hati
bermakna sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Ini akan terjadi apabila
hati merasakan nilai nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada dirinya dan
mengakui bahawa yang memberikan segala nikmat tersebut adalah Allah SWT
semata-mata dan tidak ada kuasa lain yang dapat menandingi kurniaan dari Allah.
Kesyukuran yang dirasai akan menguatkan lagi selain memperkukuhkan lagi
keteguhan keimanan dengan tidak akan meminta dan memohon selain kepada Allah
Jalla Wa 'Alla. Bersyukur dengan hati akan menjadikan dirinya sentiasa berpaut
kepada Allah dan sesekali tidak akan mensyirikkan Nya.
Keduanya pula syukur dengan ungkapan lidah atau dengan makna
lainnya ialah sentiasa memuji dan mengaku akan segala nikmat yang telah Allah
kurniakan dengan lidahnya. Dengan lidah yang sentiasa bersyukur, ungkapan di
bibirnya akan disibukkan dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertasbih
dan bertahmid. Dirinya sentiasa banyak mengingati Allah SWT. Dalam hal ini,
Allah SWT mengingatkan hamba Nya bahawa sesiapa dikalangan hamba Nya yang
mengingati Allah lalu bersyukur, maka Allah SWT akan membalasnya dengan
kebaikan. Ini sebagaimana yang terdapat dalam surah al-Baqarah ayat 152, firman
Allah SWT yang bermaksud :
"Oleh itu ingatlah kamu kepada Ku (dengan mematuhi hukum dan
undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan ; dan bersyukurlah
kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)".
Mengingati Allah dengan berzikir bukan sahaja disebut dengan lidah
yang bergerak tetapi difahami makna zikir itu dengan jiwa yang mendalam. Amalan
zikir yang juga merupakan antara bentuk kesyukuran kepada Nya, bukanlah sekadar
melafazkan kata semata tanpa memahami makna disebalik perkataan zikir yang
diungkap. Zikir bukanlah seperti alunan lagu berirama seperti balada, rock dan
jazz, tetapi ianya adalah ungkapan syukur yang melahirkan cinta dan kasih
kepada sang pencipta kita. Maka berzikirlah dengan lidah dan fahami tiap-tiap
makna zikir tersebut, nescaya kita akan merasai kelazatan bersyukur kepada Nya.
Manakala ketiga, syukur dengan anggota badan pula membawa maksud sentiasa
melakukan hal ketaatan kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhan Nya dan
menjauhi segala larangan Nya. Sifat syukur antara sifat yang menjadi keutamaan
untuk orang yang beriman. Dikalangan para ulama, mereka membahaskan tentang
mana yang lebih baik antara syukur dan sabar.
Dalam membahaskan hal tersebut, ada yang menyebut kedua-duanya
adalah sama sahaja mengikut konteks tertentu. Sebahagian lain pula ada yang
berpandangan syukur itu lebih utama. Hal ini kerana syukur tidak terikat dengan
apa jua keadaan. Baik ketika susah mahupun ketika senang, baik sewaktu ditimpa
musibah mahupun sewaktu tidak berlaku apa-apa, semuanya memerlukan kepada sifat
syukur. Berbeza dengan sabar. Sifat sabar terikat kepada keadaan tertentu
seperti ditimpa musibah, berada dalam kesusahan dan kesedihan, ketika itu sifat
sabar diperlukan. Namun diwaktu lapang dan senang, sifat sabar tidak
diperlukan. Ini menunjukkan bahawa sifat syukur itu kadang lebih tinggi kedudukannya
berbanding sifat-sifat yang lain. Demikianlah antara sebahagian hakikat
mengenai sifat bersyukur. Apa yang penting, kita mestilah menjadi hamba Nya
yang tahu bersyukur dan manfaatkanlah segala kenikmatan yang dikecapi itu
dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan