Berdagang atau berniaga adalah merupakan antara aktiviti yang
diharuskan oleh agama Islam. Malah aktiviti perdagangan dan perniagaan ini juga
telah menjadi sebahagian dari coretan kehidupan susuk tubuh manusia agung, Nabi
Muhammad SAW. Dalam catatan sirah, baginda Nabi Muhammad SAW sejak usia muda
lagi telah mengikut bapa saudaranya, Abu Talib keluar berdagang di merata
tempat termasuk di bumi Syam. Islam yang datang sebagai suatu cara hidup yang
sempurna dan lengkap, turut menekankan berkaitan kepentingan berniaga dengan
etika yang selari dengan syariat Islam. Apa jua bentuk dan jenis perniagaan
yang diusahakan, Islam menegah dan melarang umatnya daripada melakukan perkara
yang tidak bemoral dalam berniaga. Antara lain Islam menuntut keadilan dan
ketelusan dalam berniaga, tidak boleh menipu, berbohong apatah lagi menindas
orang lain demi mengaut keuntungan yang banyak.
Perkataan "Kapitalisme" adalah gabungan
daripada dua istilah. Istilah pertama ialah "Kapital" yang
membawa maksud modal dan istilah kedua pula ialah "Isme" yang
membawa maksud suatu fahaman, gerakan, kepercayaan, doktrin atau sifat
tertentu. Gabungan dua istilah ini telah menghasilkan perkataan kapitalisme
yang membawa maksud sebagai suatu sistem di mana pekerja atau buruh menjual
tenaga mereka kepada pemilik modal. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka,
ungkapan kapitalisme membawa maksud suatu sistem ekonomi dan politik yang
pemilikan harta benda, industri dan perniagaannya lebih banyak tertumpu kepada
sektor swasta dan syarikat-syarikat digalakan bersaing antara satu sama lain
untuk membuat keuntungan. Secara mudah untuk difahami, sistem kapitalisme boleh
dianggap sebagai sistem ekonomi dan sosial yang cenderung kearah pengumpulan
kekayaan oleh individu tanpa gangguan dan mereka bermatlamatkan keuntungan
semata-mata.
Rekod sejarah mencatatkan kemunculan idea kapitalisme ini dapat
dikesan sejak zaman pertengahan awal Barat. Ideologi kapitalisme ini melonjak
menjadi lebih dominan di Barat semenjak berakhirnya era Feudalisme sekitar
tahun 500 Masihi. Ideologi berasaskan keuntungan ini terus bertambah kukuh
selepas munculnya gerakan reformasi selain tumbuh pula pelbagai aliran
keagamaan baru khususnya aliran Calvinisme, aliran reformasi yang wujud dalam
agama Kristian. Kesan dari apa yang berlaku di England, kapitalisme terus
berkembang mengukuhkan lagi kedudukannya di seluruh Eropah. Kapitalisme
berkembang dengan cara kekerasan dan pemaksaan untuk memisahkan pengeluar itu
daripada cara pengeluarannya. Sebagai contoh, pada penghujung zaman pertengahan
sehingga pada abad ke-18, di Eropah telah berlaku satu gerakan yang dinamakan
sebagai gerakan "pemagaran" (enclosure). Gerakan ini telah
memagarkan kawasan tanah ladang kecil dan tanah lapang awam bertujuan untuk
mewujudkan bidang tanah ladang yang luas dan besar.
Akibat dari tindakan tersebut, ramai para petani kecil telah
kehilangan tanah yang merupakan satu-satunya sumber mereka untuk mendapatkan
keperluan hidup. Kerana itu, demi namanya sebuah kelangsungan hidup, para
petani yang tanahnya dirampas itu telah berhijrah ke bandar untuk menjual
tenaga kerja mereka kepada kilang perindustrian. Selain itu, usaha
memperhebatkan lagi ideologi ini telah mewujudkan satu kelas masyarakat baru
yang dinamakan sebagai kelas kapitalis atau disebut juga dengan nama kelas Borjuasi.
Bagi mereka yang berada di dalam kelas ini, sumber pengeluaran seperti tanah,
mesin, alatan, bahan mentah dan modal lebih tertumpu secara monopoli dalam
tangan mereka. Ini menjadikan mereka boleh mengaut keuntungan yang lebih besar
lagi. Selain itu, wujud pula satu lagi kelas masyarakat yang disebut sebagai
kelas pekerja atau disebut juga dengan nama kelas Proletariat.
Bagi mereka yang berada di dalam kelas kedua ini, mereka tidak memiliki
sebarang modal atau sumber pengeluaran kecuali mereka hanya memiliki tenaga
buruh untuk dieksploitasi oleh kelas borjuasi.
Sistem kapitalisme juga menyaksikan pertembungan nilai antara modal
dan pemerasan terhadap pekerja. Dalam sistem bertuhankan keuntungan semata-mata
ini, modal atau dalam bahasa inggerisnya disebut capital adalah nilai yang
wujud dengan nilai surplus. Dalam konteks kapitalis, nilai surplus
merujuk kepada nilai tambahan yang dicipta oleh pekerja tetapi tidak dinikmati
sepenuhnya oleh pekerja tersebut dan sebaliknya diambil oleh pemodal. Keadaan
ini secara tidak langsung menyaksikan pemodal yang berada di kelas satu telah
melakukan jenayah pemerasan dan penindasan terhadap kelas pekerja. Untuk lebih
memahami dengan lebih jelas lagi, hakikat kewujudan peluang pekerjaan yang
dijana oleh pihak kapitalis sebenarnya adalah hasil penipuan dan rompakan siang
yang datangnya dari pemerasan pekerja itu sendiri. Pekerja yang diperah
tenaganya tidak diberi hasil yang selayaknya dan pada masa sama, pemodal atau
kapitalis telah mengambil hasil secara zalim. Maka tidaklah salah untuk kita
katakan peluang pekerjaan dihasilkan oleh pekerja itu sendiri dan bukannya
pelabur kapitalis.
Tokoh yang juga merupakan pendokong ideologi kapitalis ini, Adam
Smith, telah menulis sebuah buku yang diterbitkan pada sekitar tahun 1776,
bukunya yang berjudul The Wealth of Nations. Dalam penulisan tersebut,
beliau mencadangkan pasaran bebas perlu diwujudkan sekaligus boleh menjadikan
sesebuah negara itu mencapai kekayaan dengan cepat. Sebelum Adam Smith,
terdapat juga beberapa catatan awal yang dibuat oleh ahli ekonomi klasik
seperti David Ricardo, John Stuart Mill dan Thomas Malthus.
Sumbangan catatan mereka juga secara tidak lngsung telah membangunkan teori
kapitalisme. Kapitalisme yang berdiri sebagai sebuah sistem ekonomi dan sosial
tidak terlepas daripada kritikan oleh tokoh terkemuka dunia. Antaranya tokoh
seperti Karl Marx yang dikenali sebagai pembawa gagasan sosialisme, telah
menulis sebuah artikel berbentuk penyelidikan dan mempunyai tiga jilid yang
bertajuk Modal (Das Kapital). Bagi Marx, beliau percaya bahawa
sistem kapitalis yang memperlihatkan pekerja atau buruh menjual tenaga kepada
pemilik modal, telah menghasilkan hubungan bersifat eksploitasi antara pemilik
modal dan kelas buruh yang tidak mempunyai modal.
Melalui hubungan yang bersifat eksploitasi ini, pekerja atau buruh
tidak dapat menerima kembali dalam bentuk nilai upah sebenar. Selain itu, Marx
juga turut meneliti masalah utama kapitalisme ialah tempoh panjang hari kerja.
Upah yang diterima dengan ditentukan oleh pasar buruh dan jumlah kerja juga
ditentukan tidak setimpal. Sebaliknya, lebihan nilai itu telah diserap oleh
pemilik modal yang disebut sebagai nilai surplus. Karl Marx melalui karyanya
telah mengemukakan konsep necessary labour time dan konsep socially
necessary labour time bagi menjelaskan bagaimana penindasan pekerja boleh
berlaku. Melalui contoh penghasilan tiga kerusi. Penghasilan tiga kerusi dalam
satu hari adalah produktiviti yang biasa diterima oleh pekerja. Apabila pekerja
dipaksa menghasilkan lebih daripada tiga kerusi, penindasan berlaku kerana
pekerja bekerja berdasarkan socially unnecessary labour time. Demikian
pandangan Karl Marx dalam melihat kelompongan yang ada pada kapitalisme.
Secara umumnya, sistem kapitalis bukan sahaja telah mengubah
England daripada berstatus negara pertanian dan ekonomi komersil kepada negara
perindustrian, bahkan ianya juga secara tidak langsung mengubah sistem sosial
masyarakat dengan mewujudkan kelas-kelas masyarakat berasaskan kuasa ekonomi.
Kapitalisme yang juga turut mendapat kritikan oleh Karl Marx memperlihatkan
kepada kita bagaimana nilai ketidak adilan dan ketelusan dalam menjana ekonomi
mampan. Dalam pada kita sedar mahupun tidak, sistem kapitalisme juga mampu
membuka ruang yang lebih banyak kepada salah laku jenayah seperti rasuah, pecah
amanah, eksploitasi dan pemerdagangan orang. Oleh itu, kita seharusnya
mengambil iktibar dan pengajaran dari apa yang telah berlaku selain berusaha
mengekang segala pintu-pintu penindasan dan kezaliman. Sesungguhnya Islam
sangat menitikberatkan tentang soal nilai keadilan. Kerana keadilan yang
ditegakkan, dunia pastinya aman. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan