Pernahkah kita terfikir bahawa kekuatan umat manusia sesungguhnya
bermula dari kemuafakatan hidup yang dibina sekaligus keadaan tersebut dapat
membentuk kesejahteraan dan keharmonian hidup. Seperti kata orang bijak pandai,
untuk membina sesuatu amatlah susah. Pun begitu, yang lebih lagi susah adalah
untuk mempertahankannya. Menyeru manusia untuk bersatu bukan sebuah perjuangan
yang baharu. Bahkan dalam lipatan sejarah terpahat nama pelbagai tokoh seperti
Martin Luther King Jr, yang menyeru manusia bersatu memperjuangkan hak untuk
masyarakat Afrika-Amerika, Gluseppe Mazzini yang memainkan peranan penting
penyatuan di Itali selain Otto Von Bismarck di Jerman yang memainkan peranan
penyatuan masyarakat ketika itu. Sebelum daripada itu, telah lahir seorang
insan agung yang diangkat menjadi utusan Allah dan turut membawa mesej
terpenting penyatuan.
Kedatangan bulan Rabiul Awwal merupakan detik bersejarah bukan
sahaja bagi Islam tetapi buat sekalian umat manusia. Pada bulan tersebut, telah
lahirlah seorang insan agung di tengah-tengah keributan dan kekacauan kaum Arab
Quraisy yang bergelumang dengan pelbagai masalah sosial, ekonomi dan peradaban
manusia. Bangsa Arab yang hidupnya bersuku kaum dan berkabilah telah
memperlihatkan tribulasi perpecahan masyarakat. Maka dengan itu, diutuslah
seorang Nabi dikalangan bangsa Arab yang bukan sahaja bertujuan untuk umat
Islam tetapi untuk membawa rahmat buat sekalian alam. Firman Allah SWT di dalam
al-Quran menerusi surah al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud :
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan
untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
Baginda Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah SWT dengan tujuan
yang begitu mulia dan sempurna. Perkataan rahmat menurut Ibnu Manzur dalam
kitabnya Lisan al-Arab bermaksud kelembutan yang berpadu dengan rasa
hiba. Menurut al-Raghib al-Isfahani, rahmat membawa makna kelembutan,
kebajikan, kebaikan dan kenikmatan dan juga kasih sayang. Antara bentuk rahmat
yang dibawa oleh baginda Nabi SAW ialah memperkukuhkan hubungan manusiawi yang
juga menjadi benteng kepada pengukuhan perpaduan ummah. Usaha menyatukan ummah
ini berlaku dengan pelbagai cara seperti baginda Nabi SAW menonjolkan sisi
akhlak yang mulia sekaligus menjadikan baginda dihormati dan dikasihi oleh
sekalian mahkluk. Berakhlak mulia juga merupakan antara tujuan utama baginda
diutuskan sebagai seorang Rasul. Ini bertepatan dengan sabda Nabi dalam sebuah
hadith riwayat Imam Ahmad. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda
yang bermaksud :
“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan
kebaikan akhlak.”
Dalam catatan sirah baginda Nabi SAW, antara usaha terawal baginda
menyatukan ummah ialah dengan menyatukan dua kaum utama di Madinah, iatu kaum
Aus dan Khazraj. Sebelum kedatangan Islam, dua kaum terbesar ini saling
bergaduh dan berperang. Melalui dakwah baginda Nabi, Islam telah tersebar di
Madinah sekaligus memperlihatkan penyatuan persaudaraan antara kaum Aus dan
Khazraj menjadi ummah yang satu dibawah payung ukhuwah Islamiah. Selain itu,
baginda Nabi SAW juga telah berjaya mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin.
Sebelum daripada itu, kaum Ansar merupakan penduduk asal Madinah yang telah
menerima rombongan hijrah kaum Muhajirin. Manakala kaum Muhajirin pula
merupakan penduduk yang datang dari Mekah dan berhijrah bersama Nabi SAW ke
Madinah. Mereka saling tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Namun
begitu, dengan ketokohan dan kebijaksanaan baginda, kaum Ansar dan Muhajirin
dapat disatukan dibawah semangat ukhuwah Islamiah.
Selain itu, pembinaan masjid pertama oleh baginda Nabi Muhammad di
Madinah iaitu Masjid Quba' adalah merupakan usaha berterusan baginda untuk
memperkukuhkan lagi kesatuan umat dengan menjadikan masjid sebagai sebuah
institusi terhormat. Menurut Syeikh Mustafa al-Siba’ie dalam kitabnya al-Sirah
al-Nabawiyyah, beliau menjelaskan bahawa :
"Apabila sampai di sana, tindakan pertama yang dilakukan ialah
memilih tempat unta baginda berhenti duduk, untuk dijadikan sebagai masjid.
Tempat tersebut adalah milik dua orang kanak-kanak Ansar yang yatim. baginda
tawar menawar harga tanah tersebut dengan mereka berdua. Kedua-dua kanak-kanak
itu berkata : "Kami berikannya kepada kamu, wahai Rasulullah." Namun baginda
berkeras untuk membelinya dengan harga 10 dinar emas yang dibayar menggunakan
harta Abu Bakar. Kemudian baginda melakukan kempen agar orang Islam turut serta
membina masjid. Mereka segera melakukannya. Rasulullah SAW turut terlibat
bersama mereka memindahkan batu bata, sehinggalah sempurna pembinaan masjid
tersebut".
Selain itu, penulis sirah tersohor, Syeikh al-Mubarakfuri menyebut
dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum, beliau menyatakan baginda Nabi
Muhammad SAW membeli tanah tersebut dan baginda sendiri terlibat dalam usaha
membinanya. Baginda ikut serta dalam mengangkat batu-batu dan bata-bata sambil
menyebut : “Ya Allah! Tiada hidup kecuali kehidupan akhirat. Ampunilah kaum
Ansar dan Muhajirah.”. Demikian usaha baginda membina masjid sebagai tujuan
menyatukan umat. Masjid Quba' selain menjadi tempat umat Islam berkumpul untuk
beribadah, ianya juga telah menjadi pusat aktiviti kemasyarakatan seperti bermesyuarat
dan sebagainya. Keadaan ini sekaligus mendorong usaha mengukuhkan lagi hubungan
persaudaraan dan menyatukan umat Islam dibawah lembayung yang sama.
Ketokohan baginda Nabi SAW dalam usaha membawa mesej penyatuan
ummah tidak sekadar berlaku kepada sesama umat Islam tetapi telah merentasi
perbezaan kaum dan agama. Hal ini dapat dilihat sebagaimana dalam pembentukan
perlembagaan Madinah atau disebut sebagai Piagam Madinah. Piagam Madinah yang
dimeterai tersebut mengandungi 47 fasal merangkumi soal pembentukan ummah, hak
asasi manusia, perpaduan seagama, tugas warganegara, melindungi negara dari
ancaman musuh, politik perdamaian dan soal ekonomi. Namun dalam kebanyakan
fasal tersebut, apa yang terpenting sekali dalam perlembagaan tersebut ialah
masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum seperti kaum
Ansar, Khazraj dan beberapa kabilah Yahudi seperti Bani Qainuqa, Bani Nadhir
dan Bani Quraizah, hendaklah hidup sebagai sebuah masyarakat yang saling
menolong antara satu sama lain dan mewujudkan ikatan persaudaraan.
Selain itu, dalam piagam tersebutjuga, baginda Nabi diikitraf
sebagai ketua negara. Maka baginda selaku ketua negara yang bertanggungjawab
menjaga dan memelihara keamanan rakyat, baginda Nabi telah memberikan jaminan
keselamatan baik kepada orang Islam dan juga kepada orang bukan Islam. Jaminan
keselamatan yang bersifat sejagat, merentasi kaum dan agama, telah menjadikan
perpaduan rakyat dibawah pemerintahan baginda Nabi menjadi kukuh dan kuat.
Demikianlah antara sebahagian bukti yang menunjukkan bahawa baginda Nabi
Muhammad SAW selain diutuskan menyeru manusia mentauhidkan Allah, baginda juga
menggalas tanggungjawab menterjemahkan perkataan Islam dengan membawa mesej
penyatuan ummah. Namun malang sekali, realiti yang wujud pada hari ini,
terdapat segelintir mereka yang membawa Islam dengan naratif yang kasar dan
keras, tidak bertoleransi pada perkara yang sepatutnya bahkan sentiasa mengecam
tindakan orang lain sebagai salah dan mereka sahaja yang betul, sikap begini
hakikatnya menjadikan manusia semakin berpecah-belah bernafas dalam hembusan
permusuhan dan kebencian yang tidak terbatas. Wajar sekali kita mengambil
contoh sikap baginda dalam usaha membawa mesej penyatuan ini. Semoga Allah
mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan