Kejadian manusia yang disifatkan sebagai sebaik-baik ciptaan
terdiri daripada pelbagai keunikan dan keistimewaan sekaligus mencerminkan
betapa besar dan agungnya pencipta manusia iaitulah Allah SWT. Tanpa dapat kita
nafikan, kejadian manusia memiliki ciri-ciri yang unik diantaranya manusia
dicipta dengan memiliki dua komponen utama. Dua komponen utama tersebut merujuk
kepada komponen luaran yang meliputi aspek fizikal dan jasmani, yang dapat
dipelajari menerusi ilmu sains atau secara tepatnya lagi ilmu biologi. Manakala
komponen kedua disebut sebagai komponen dalaman yang merangkumi aspek
kerohanian, yang tidak dapat dicapai oleh ilmu keduniaan melainkan merujuk
petunjuk wahyu agama Islam iaitu al-Quran dan hadith. Dalam aspek kerohanian, terdapat
satu perkara yang membentuk peribadi manusia yang dikenali sebagai al-nafs.
Sepertimana umum ketahui, perkataan "al-Nafs"
berasal daripada bahasa Arab. Dalam konteks bahasa Melayu, seperti yang
tercatat dalam Kamus Dewan, perkataan nafsu merujuk kepada makna keinginan yang
keras, kehendak hati yang kuat dan dorongan hati. Pemahaman ini berbeza dengan
apa yang dimaksudkan oleh kalangan para ilmuan bahasa Arab. Sepertimana al-Razi
menyebut dalam kitabnya Mukhtar al-Sihah, perkataan al-nafs mengandungi
tiga makna iaitu jasad, darah dan nyawa manusia. Imam Ibnu Manzur pula
menjelaskan dalam kitabnya Lisan al-'Arab, perkataan al-nafs itu sendiri
memiliki lima maksud iaitu nyawa, diri, roh, darah dan keinginan. Definisi ini
dibuat berdasarkan firman Allah SWT di dalam banyak ayat-ayat dari al-Quran.
Sebagai contoh, perkataan al-nafs merujuk kepada makna jiwa dalam surah
al-Baqarah ayat 281 yang bermaksud :
ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
"Kemudian setiap jiwa akan dibalas berdasarkan kepada apa yang
ia telah lakukan dan mereka tidak akan dizalimi sama sekali (sewaktu pembalasan
itu)".
Berdasarkan definisi yang telah dikemukakan, dapat kita rumuskan
bahawa ungkapan al-nafs yang berulang kali disebutkan oleh Allah SWT di dalam
al-Quran tidaklah bermaksud nafsu sepertimana yang difahami oleh kebanyakan
orang sebaliknya perkataan al-nafs merujuk kepada jiwa dan hakikat dalaman diri
manusia. Ungkapan nafsu dalam al-Quran disebut dengan perkataan lain seperti al-hawa
(الهوى) dan al-syahwat (الشهوات). Maka dengan itu, kita perlu jelas dengan
membezakan antara ungkapan al-nafs dan nafsu. Secara lebih mudah difahami,
al-nafs menurut Islam bererti jiwa manusia yang secara langsung membicarakan
tentang hakikat dalaman insan. Manakala nafsu pula sepertimana yang kebanyakan
orang faham ialah keinginan yang terdorong kearah kejahatan dan keburukan.
Nafsu sebagaimana yang difahami sebagai keinginan jahat disebutkan oleh Islam
dengan perkataan hawa nafsu dan syahwat.
Penciptaan manusia yang mempunyai kehidupannya yang tersendiri
sememangnya akan diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai bentuk ruoa ujian. Ini
sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Mulk ayat 2,
firman Nya yang bermaksud :
"Allah yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapakah
di antara kamu yang paling baik amalannya".
Hakikatnya, manusia itu sendiri akan diuji jiwnya yang disebutkan
sebagai al-nafs dengan pelbagai ujian dan dihiasi dengan keinginan-keinginan
tertentu yang tujuan sebenarnya adalah untuk menguji. Sepertimana Allah Azza Wa
Jalla menyebutkan di dalam al-Quran menerusi surah Ali-Imran ayat 14, Allah
jadikan manusia itu dengan keinginan kepada wanita, anak-anak, harta dan
sebagainya. Semua yang diinginkan tersebut adalah semata-mata perhiasan dunia
yang tidak kekal nikmatnya. Menurut al-Quran, al-nafs itu terbahagi kepada tiga
bentuk. Pertama, disebutkan sebagai al-Nafs al-Mutmainnah. Secara
literal, ungkapan "Mutmainnah" membawa maksud ketenteraman.
Al-nafs Mutmainnah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah
al-Fajr ayat 27, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :
"Wahai jiwa yang tenteram, kembalilah kepada tuhanmu dalam
keadaan sayang disayangi".
Dalam mengupas maksud al-Mutmainnah, Imam Ibnu Jauzi dalam kitabnya
Zad al-Masir, menjelaskan terdapat tiga makna menurut para ulama
berkenaan makna Mutmainnah iaitulah yang beriman, yang redha dengan ketentuan
Allah dan yang yakin dengan janji Allah. Imam al-Syaukani pula menyebut dalam
kitab Fath al-Qadir, maksud mutmainnah ialah yang tenang dan beriman
kepada Allah serta sampai ke tahap sebenar yakin tanpa sebarang keraguan.
Menurut para mufassirin, ayat ini diucapkan ketika roh manusia keluar daripada
jasad, keluar dari alam dunia dan akan bergerak ke alam barzakh, tempat
persinggahan sementara. Al-nafs Mutmainnah ini merupakan tingkatan al-nafs yang
tertinggi sekali kerana manusia yang memiliki jiwa seperti ini akan diemput
oleh Allah SWT untuk memasuki syurga Nya. Ini bermakna, mereka yang mempunyai
nafs mutamainnah ini merupakan golongan manusia yang paling beruntung selain
bahagia dunia dan akhirat.
Kedua, disebutkan oleh Allah SWT sebagai al-Nafs al-Lawwamah.
Al-Lawwamah difahami secara umum sebagai jiwa yang banyak mencela, mengeluh dan
menyalahkan. Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran menerusi surah al-Qiyamah
ayat 2, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :
"Aku bersumpah dengan al-nafs al-Lawwamah"
Dalam kitab Zad al-Masir karangan Imam Ibnu Jauzi,
al-Lawwamah memiliki tiga makna berdasarkan pandangan yang dikemukakan oleh
para ulama. Pertama, al-Lawwamah adalah nafs yang bersifat mazmumah iaitu yang
tercela. Ini kerana ia akan mengutuk diri sendiri ketika kutukan tidak lagi
berguna. Maksud kedua, al-Lawwamah ialah jiwa yang beriman kerana seseorang
yang beriman sentiasa bermuhasabah dirinya sendiri. Maksud ketiga, al-Lawwamah
ialah jiwa yang akan merungut kepada dirinya sendiri. Dalam aspek kebaikan,
dirinya akan merungut kenapa tidak buat banyak kebaikan. Dalam aspek keburukan
pula, dirinya akan merungut dengan berkata semoga diriku dihindari dari semua
perkara ini. Selain itu, dalam kitab Fath al-Qadir pula, dinyatakan
bahawa maksud al-nafs lawwamah ialah jiwa yang mengutuk dan mencela dirinya
sendiri lantaran kecuaiannya. Orang yang beriman akan menyesal dan merungut
atas kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya manakala orang yang fasiq
(rosak iman) tidak ada sebarang sesalan dan rungutan tentang dirinya apabila
melakukan dosa dan maksiat kepada Allah. Al-nafs al-Lawwamah ini adalah tahap
jiwa yang baik kerana masih ada rasa kesal apabila melakukan maksiat kepada
Allah.
Ketiga, bentuk jiwa yang dinyatakan oleh Allah SWT ialah al-Nafs
al-Ammarah. Secara literalnya, al-Ammarah bermaksud yang banyak
menyuruh. Allah SWT sebutkan di dalam al-Quran menerusi surah Yusuf ayat 53,
firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :
"Aku tidak dapat melepaskan diri aku. Sesungguhnya jiwa itu
sangat menyuruh untuk melakukan kejahatan".
Berdasarkan ayat tersebut, ianya adalah mengenai kisah Nabi Yusuf
AS yang telah digoda oleh seorang wanita yang juga merupakan seorang isteri
kepada pembesar Mesir. Dalam riwayat Israiliyyat, wanita itu dikenali dengan
nama Zulaikha. Dalam pada digoda tersebut, Nabi Yusuf AS dapat menangani godaan
tersebut. Namun begitu, baginda menyatakan bahawa dirinya tidak dapat
melepaskan dirinya daripada terkena lintasan hati untuk melakukan perbuatan
zina lantaran memang menjadi hawa nafsu itu menyuruh kepada melakukan perkara
yang berbentuk maksiat kepada Allah SWT. Apa yang disebutkan oleh kebanyakan
ahli tafsir, baginda telah menegaskan bahawa baginda tidak melakukan khianat
kepada isteri raja. Malaikat Jibril AS telah mengujinya dengan katanya
“Terlintas pun tiada?”. Lalu Nabi Yusuf pun mengungkapkan ayat yang demikian. Jiwa
al-Ammarah ini adalah tahap paling rendah dalam diri manusia. Demikianlah
hakikat al-Nafs menurut Islam. Marilah kita sentiasa berwaspada dengan jiwa
kita dengan kita sentiasa berusaha menjadi insan yang lebih baik dari semalam.
Semoga Allah merahmati kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan