Ahad, 14 September 2025

HUKUM BERKAITAN KEGUGURAN JANIN

 

Anak adalah anugerah terindah bagi setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga. Dalam ajaran Islam, salah satu di antara tujuan syariat perkahwinan juga adalah untuk mendapatkan zuriat keturunan yang terpelihara sekaligus menambahkan lagi bilangan umat Nabi Muhammad SAW. Memperolehi anak adalah impian dan cita-cita mulia bagi setiap pasangan. Namun begitu, harus diingat bahawa pemberian anak oleh Allah SWT merupakan salah satu bentuk rezeki yang tidak semua akan memperolehinya. Dalam al-Quran, diceritakan bagaimana Nabi Zakaria yang menunggu begitu lama untuk mendapat zuriat sehingga di lewat usianya, Allah kurniakan baginya anak. Anak selain anugerah dan rezeki daripada Allah, ianya juga adalah amanah yang tidak ternilai bagi mereka yang diberikan tanggungjawab ini.

Keguguran janin boleh difahami sebagai kehilangan janin sebelum minggu ke-20 kehamilan. Keguguran janin boleh berlaku kerana pelbagai faktor seperti masalah janin yang tidak dapat berkembang dengan baik, faktor merokok, alkohol atau penyalah gunaan dadah, masalah rahim dan serviks dan selainnya. Dikalangan para ilmuan Islam, isu keguguran janin ini diperbahaskan secara terperinci berkait hukum-hakamnya. Apakah boleh dengan sengaja kita mahu menggugurkan janin ? Apa pula hukum jika terdapat keperluan mendesak untuk digugurkan janin tersebut ? Bagaimana pula untuk menguruskan janin yang telah digugurkan ? Apakah boleh memberikan nama kepada janin tersebut tanpa mengetahui jantina ? Semua persoalan ini telah diperhalusi oleh para ilmuan Islam berlunaskan wahyu al-Quran dan al-Hadith.




Perlu difahami bahawa perbuatan menggugurkan janin tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak merupakan suatu bentuk perbuatan jenayah membunuh nyawa tanpa hak yang dibenarkan oleh Allah SWT. Hal ini dilarang dan ditegah oleh Allah Azza Wa Jalla menerusi firman Nya di dalam al-Quran melalui surah al-An'am ayat 151 yang bermaksud :

"...dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya".

Dalam soal menggugurkan janin, majoriti dikalangan para ulama berpandangan bahawa adalah hukumnya haram menggugurkan janin yang telah ditiupkan roh selepas 120 hari iaitu bersaman 4 bulan. Namun begitu, terdapat pengecualian yang diberikan merangkumi dua perkara utama. Pertamanya, kewujudan janin itu boleh memberikan ancaman nyawa kepada ibu berdasarkan pengesahan yang dibuat oleh pakar perubatan dalam bidang yang berkaitan. Kedua, mempunyai pengesahan daripada pakar perubatan yang mengesahkan bahawa janin berkenaan tidak berupaya untuk hidup jika dilahirkan. Ini bermakna, bagi kandungan yang berusia selepas 120 hari, hukum asal menggugurkan janin adalah haram. Pun begitu terdapat pengecualian yang dibenarkan oleh syarak untuk menggugurkannya. Selain itu, majoriti para ulama pula berpandangan adalah diharuskan menggugurkan janin yang berusia kurang dari 120 hari jika terdapat alasan yang kukuh.

Selain itu, tekait padanya juga persoalan mengenai cara pengurusan jenazah janin yang keguguran tersebut. Bagi menjawab persoalan ini, Imam al-Khatib al-Syarbini menyatakan dalam kitab al-Iqna' dengan menyebut :

“Janin yang gugur dalam keadaan tidak mengeluarkan suara yakni tidak diketahui tanda hidupnya dan tidak jelas rupa bentuknya (seperti manusia). Tidak boleh untuk disolatkan ke atasnya dan tidak wajib memandikannya. Sunat pula menutupinya dengan kain dan mengebumikannya. Adapun jika diketahui hidupnya dengan suara atau selainnya atau jelas tanda-tanda kehidupannya seperti menggigil atau bergerak-gerak maka hukumnya seperti kanak-kanak yang besar maka wajiblah dimandikan dan dikafankan dan disolatkan ke atasnya, dan dikebumikan, kerana tanda hidup dan matinya telah wujud secara pasti. Jika tidak diketahui hidupnya tetapi terzahir rupa bentuk (sebagai manusia) wajib untuk mempersiapkannya (yakni dimandikan, dikafankan dan dikebumikan) tanpa solat. Solat berbeza daripada selainnya kerana selainnya itu lebih luas medannya daripada solat. Ini juga berdasarkan dalil bahawa kafir dzimmi boleh dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tetapi tidak disolatkan ke atasnya.”




Maka berdasarkan penjelasan berikut, dapat kita rumuskan dalam beberapa keadaan. Keadaan pertama, jika janin tersebut jelas ada tanda hidup padanya seperti keluar suaranya menangis dan kemudian mati, maka hukumnya adalah wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. Keadaan kedua, jika janin tersebut bergerak-gerak, menggigil yang menunjukkan bukti hidup tetapi tidak mengeluarkan suara, maka ianya harus dimandikan, disolat dan dikebumikan. Keadaan ketiga, jika janin tersebut tidak zahir padanya tanda-tanda hidup, sama ada tidak cukup empat bulan dan tidak terzahir padanya rupa bentuk manusia, atau yang cukup empat bulan dan zahir padanya rupa bentuk manusia tetapi tidak hidup seperti mengeluarkan suara, wajib baginya dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tetapi tidak.boleh disolatkan. Keadaan yang keempat, jika janin yang digugurkan tersebut keluar dalam bentuk seketul daging semata, maka tidaklah dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan. Hanya lebih utama menutup sahaja janin tersebut.

Selain persoalan pengurusan jenazah janin, turut diperbincangkan juga mengenai hukum memberikan nama kepada janin yang keguguran. Pada asalnya, hukumnya adalah sunat memberikan nama anak yang baru lahir pada hari yang ketujuh selepas kelahiran. Namun diharuskan untuk memberikan nama sebelum daripada hari yang ketujuh. Bagi menjawab persoalan memberikan nama kepada janin yang gugur, Imam al-Ramli dalam kitab Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Mihaj, menyatakan bahawa hukumnya adalah sunat memberikan nama kepada janin yang gugur semasa tempoh kehamilan dengan nama-nama yang baik berdasarkan jantina janin tersebut. Namun begitu, sekiranya janin yang gugur tersebut tidak dapat dikenal pasti akan jantina janin disebabkan oleh masalah tertentu, maka disunatkan memberi nama yang bersesuaian dengan kedua-dua jantina sama ada lelaki atau perempuan seperti nama Talhah dan Hindun.




Namun demikian, janin yang keguguran yang disunatkan memberi nama yang baik hendaklah janin tersebut berusia empat bulan keatas. Ini kerana janin yang berusia empat bulan keatas telah ditiupkan roh keatasnya. Hal ini berdasarkan keterangan dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Setiap seorang daripada kamu ditempatkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu juga, kemudian menjadi mudhghah selama itu juga; kemudian Allah mengutuskan seorang malaikat untuk ditiupkan ruh kepadanya. Kemudian diperintahkan kepadanya empat perkara : Tulislah rezeki, ajal dan amalannya, serta sedih atau bahagianya.”

Berdasarkan hadith ini, Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarh al-Nawawi 'ala Muslim, beliau menyatakan bahawa para ulama telah bersepakat dengan menyebut roh ditiupkan ke dalam janin selepas empat bulan dalam kandungan. Maka dengan itu, bagi pasangan yang diuji dengan keguguran janin yang berusia empat bulan keatas disunatkan untuk memberikan nama yang baik kepada janin mereka. Selain itu, terkait juga mengenai hukum melaksanakan aqiqah untuk janin yang keguguran. Dalam hal ini, Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitab al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, menyatakan bahawa sekiranya janin yang gugur setelah tempoh empat bulan atau lebih, maka disunatkan aqiqah ke atasnya. Sebaliknya jika janin yang gugur sebelum cukup tempoh empat bulan, maka tidak disunatkan aqiqah ke atasnya, kerana ia diibaratkan sebagai objek. Demikianlah sedikit sebanyak penjelasan hukum berkaitan permasalahan keguguran janin. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan