Jumaat, 12 September 2025

PENSYARIATAN IDAH KAUM WANITA

 

Pasang surut kehidupan ini adalah suatu hal yang mesti berlaku. Tidak ada kehidupan yang tidak punyai onak durinya. Dunia yang dijadikan oleh Allah SWT sememangnya tempat untuk umat manusia diuji. Ujian tidak mengenal siapa. Termasuk ujian dalam hidup berumahtangga. Apabila rumahtangga yang dibina, diuji dengan konflik dan ketegangan yang tidak berkesudahan, Islam yang datang sebagai membawa suatu cara hidup yang sempurna, memberikan jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan melalui penceraian. Penceraian bukan sahaja boleh berlaku kerana diatas pilihan manusia itu sendiri tetapi penceraian juga boleh berlaku kerana kematian pasangan, memisahkan antara dunia dan akhirat. Dalam Islam, terdapat satu syariat (peraturan) terpenting bagi kaum wanita apabila terjadinya penceraian. Hal tersebut dinamakan sebagai syariat Idah.

Perkataan "Idah" berasal daripada bahasa Arab. Ungkapan Idah pada pemahaman bahasa merujuk kepada maksud kiraan, hitungan atau bilangan. Maksud ini merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, idah bermaksud tempoh masa wajib yang perlu dilalui oleh seseorang perempuan selepas penceraian atau kematian suami sebelum dia boleh berkahwin semula. Menurut Mustafa al-Khin dalam kitab Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Syafie, idah ialah kata nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang wanita untuk menunggu, semata-mata mematuhi perintah Allah SWT atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. Dalam erti yang mudah untuk kita fahami, istilah idah bererti suatu tempoh masa tertentu yang perlu dipatuhi oleh kaum wanita kerana penceraian yang berlaku. Tempoh masa tersebut adalah berbeza berdasarkan ketetapan yang telah dijelaskan di dalam al-Quran dan hadith Nabi SAW.




Ketetapan syariat idah bagi kaum wanita adalah berdasarkan kepada al-Quran dan hadith Nabi SAW. Dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 228, Allah SWT menjelaskannya dengan berfirman yang bermaksud :

“Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Dalam ayat lain, Allah SWT menjelaskan pula menerusi surah al-Talak ayat 4, firman Nya yang bermaksud :

"Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya".

Selain di dalam al-Quran, pensyariatan idah juga disebutkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW melalui sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Hurairah RA sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Suami Subaiah al-Aslamiyyah terbunuh sedangkan beliau pada masa itu dalam keadaan mengandung. Beliau telah melahirkan anak setelah 40 hari kematian suaminya. Beliau telah dipinang orang dan Rasulullah SAW telah menikahkannya dengan orang yang meminangnya".

Dalam hadith lain riwayat Bukhari, daripada Zainab binti Abi Salamah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Tidak halal bagi wanita yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat untuk berkabung lebih daripada tiga hari kecuali jika yang meninggal adalah suaminya, maka waktunya adalah empat bulan dan sepuluh hari.”




Penceraian antara suami isteri boleh berlaku dalam dua jenis penceraian. Jenis pertama, disebutkan sebagai Talak Raj'i, iaitu penceraian yang membolehkan suami rujuk semula dalam tempoh berlangsungnya idah. Talak Raj'i ini juga dikenali dengan nama talak satu (1) dan talak dua (2). Jenis kedua pula disebutkan sebagai Talak Ba'in, iaitu penceraian yang tidak membolehkan suami rujuk semula dalam tempoh idah berlangsung. Talak Ba'in boleh berlaku dalam beberapa keadaan seperti suami menceraikan isterinya yang belum disetubuhi, atau suami menceraikan isterinya dengan cara khuluk (bayaran ganti rugi). Selain itu, talak ba'in juga boleh berlaku apabila si suami menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Walau apapun bentuk penceraian yang terjadi, sama ada secara talak raj'i mahupun secara talak ba'in, mahupun cerai mati, para ulama bersepakat bahawa wanita yang berada di dalam tempoh idah dilarang untuk melakukan beberapa perkara.

Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab Fath al-Mu'in, terdapat beberapa larangan bagi wanita yang berada dalam tempoh idah antara lain adalah dilarang menerima pinangan lelaki ajnabi, haram berkahwin dengan lelaki ajnabi, tidak dibenarkan keluar rumah dan tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Ini bermakna, suami tidak boleh menghalau keluar isteri yang diceraikan. Dalam banyak larangan tersebut, wanita yang sedang berada dalam tempoh idah dibolehkan keluar meninggalkan rumah tersebut sekiranya terdapat bahaya, wujud ancaman keselamatan atau adanya kemudaratan jika tinggal menetap dirumah tersebut. Selain itu, adapun berkaitan keluar rumah juga, bagi wanita yang yang berada dalam tempoh idah talak raj'i, wajib mendapatkan keizinan bekas suami untuk keluar jika tujuan keluar tersebut bukan kerana kemudaratan atau bahaya yang mendatang. Sebaliknya, bagi wanita yang berada dalam tempoh talak ba'in dan cerai disebabkan kematian suami, tidak dibenarkan keluar rumah termasuk tujuan bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.




Selain itu, kita juga perlu memahami kiraan tempoh idah yang disyariatkan oleh Allah SWT. Dalam hal ini, tempoh idah adalah berbeza bergantung kepada keadaan yang dihadapinya. Keadaan pertama, wanita yang diceraikan dalam keadaan masih haid, maka tempoh idahnya adalah sebanyak tiga kali suci. Ini bermakna tiga kali datang haid dan suci daripadanya. Keadaan kedua, wanita yang diceraikan dalam keadaan dirinya sudah putus haid, maka tempoh idah baginya adalah selama tiga bulan. Keadaan ketiga, wanita yang diceraikan itu dalam keadaan mengandung, baik cerai hidup mahupun cerai mati, maka tempoh idahnya ialah sehingga bersalin melahirkan anak. Bagi keadaan yang lain, wanita bercerai kerana kematian suami dan tidak mengandung, maka tempoh idah bagi dirinya pula ialah selama empat bulan sepuluh hari. Namun begitu, bagi wanita yang diceraikan sebelum berlaku persetubuhan, sama ada dirinya berstatus anak dara atau janda, maka tiada tempoh idah bagi dirinya.

Demikian sebahagian penjelasan secara umum bagi memahami makna dan tujuan pensyariatan idah bagi kaum wanita. Disebalik pensyariatan idah ini, terdapat banyak hikmah yang boleh kita fahami dan pelajari. Antara lain, hikmah pensyariatan idah ini ialah untuk memastikan rahim wanita kosong dan bersih daripada benih suami terdahulu. Selain itu, syariat idah juga bagi talak raj'i, membolehkan suami isteri diberikan ruang untuk berfikir dan menilai semula segala tindakan dan keputusan yang telah diambil. Ini juga termasuk ruang untuk bermuhasabah kembali kesilapan yang telah dilakukan. Syariat idah juga bagi wanita yang kematian suami, adalah tempoh untuk menghormati dan mengingati nikmat perkahwinan yang terdahulu. Ini juga memberikan tempoh bertenang diatas kesedihan pemergian suami yang tercinta. Sesungguhnya syariat idah iaitu tempoh tertentu untuk kaum wanita menunggu adalah syariat yang memuliakan kedudukan kaum wanita. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan