Dalam kehidupan beragama, sumber rujukan utama adalah suatu perkara
berbentuk fundamental kepada ketinggian dan keteguhan sesebuah ajaran tersebut.
Dalam Islam, intipati utama ajarannya tidak datang melalui kisah dogengan atau
melalui cakap-cakap orang melainkan diambil faham daripada wahyu al-Quran dan
hadith selain diambil kira juga melalui apa yang disepakati oleh para sahabat
Nabi SAW. Al-Quran dan hadith selain menjadi hafalan untuk diingati, ianya juga
dibaca dan difahami seterusnya diamalkan, baik pada hal suruhan ataupun pada
hal larangan. Peranan al-Quran dan hadith sebagai pemudah cara bagi umat
manusia mencari kebenaran juga turut membantu manusia menyelesaikan masalah
baharu dalam beragama yang memerlukan kepada ijtihad berbentuk fatwa.
Perkataan "Fatwa" berasal daripada bahasa
Arab. Dalam kitab-kitab Arab, perkataan fatwa turut disebut dengan perkataan
lain seperti futya dan futwa. Pada sudut bahasa, fatwa memberi
maksud penjelasan tentang sebarang perkara oleh seseorang yang faqih (mendalam
pengetahuannya). Selain itu fatwa juga boleh difahami sebagai penerangan
berkenaan perkara yang mempunyai kemusykilan atau kesamaran tentang sesuatu
hukum oleh seorang yang faqih. Menurut Imam Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan
al-'Arab, perkataan fatwa lebih banyak digunakan berbanding perkataan
futya. Ini kerana perkataan fatwa lebih sesuai untuk menjadi masdar (kata
nama). Kedua-dua perkataan tersebut iaitu futya dan fatwa digunakan di tempat
al-Ifta' yang bermaksud satu perbuatan menetapkan fatwa tentang sesuatu hukum
yang dikeluarkan oleh seorang yang sangat dalam pengetahuannya.
Pada sudut terminologi pula, perkataan fatwa mempunyak banyak
maksud berdasarkan perbincangan dikalangan para ulama. Seperti menurut Imam
al-Qarafi dalam kitabnya al-Furuq, beliau menyebut fatwa bermaksud
mengkhabarkan hukum Allah sama ada pada yang mesti ataupun harus. Sementara
itu, Syeikh al-Qunawi al-Hanafi pula menyebut dalam kitab Anis al-Fuqaha,
fatwa ialah menyebut hukum perkara yang ditanyakan kepada penyoal. Imam
al-Syaukani pula menyatakan bahawa fatwa adalah hasil daripada ijtihad.
Dikalangan ulama kontemporari pula seperti Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar,
beliau menyebut fatwa adalah memberi perkhabaran akan hukum Allah daripada
dalil syarak kepada sesiapa yang bertanya tentang perkara tersebut disebabkan
berlakunya sesuatu kejadian. Manakala menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili pula
menyebut fatwa adalah jawapan yang diberikan oleh seorang mufti terhadap
sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.
Berdasarkan pelbagai definisi yang telah dikemukakan, dapat kita
rumuskan bahawa merangkumi tiga perkara penting iaitu menjawab, menerang dan
mengkhabarkan hukum. Oleh itu, kedudukan fatwa dipandang tinggi dan mulia
kerana berfungsi sebagai menjelaskan kehendak syariat berlandaskan displin ilmu
yang ada. Dalam hal ini, al-Marhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya
al-Fatwa Bayn al-Indibat wal Tasayyub, beliau menyebut fatwa mempunyai
kedudukan yang sangat tinggi di sisi syarak, kerana fatwa adalah dianggap
sebagai menggalas tugas yang disandarkan kepada Rasulullah SAW untuk
menyampaikan hukum-hukum syarak kepada umat manusia. Dalam persoalan memberi
fatwa, Allah Azza Wa Jalla menyebutkan hal ini dalam al-Quran menerusi surah
al-Nisa' ayat 176, firman Allah SWT yang bermaksud :
"Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu
(Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah : “Allah memberi fatwa
kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu".
Telah berkata Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya I'lam
al-Muwaqqi'in 'an Rabb al-'Alamin, beliau menyebut yang pertama memegang
jawatan yang mulia ini dalam kefatwaan ialah Sayyidul Mursalin dan Imam
al-Muttaqin Rasulullah SAW, hamba dan Rasul Nya, pemegang amanah wahyunya,
dutanya antara Allah dan hamba-hamba Nya. Maka fatwanya daripada Allah dengan
wahyunya yang nyata. Oleh yang demikian, setelah kewafatan baginda Nabi
Muhammad SAW, fatwa atau hukum akan diputuskan oleh seseorang imam atau
mujtahid berdasarkan kebenaran yang disandarkan kepada al-Quran dan hadith
selain ijma' dan qiyas. Selain itu, terdapat sumber hukum lain seperti Qaulus
Sahabah, Masalih Mursalah dan Istihsan. Dalam soal memberi
fatwa, ianya bukan mudah seperti sembang di kedai kopi atau berbual dalam
program podcast. Pemberi fatwa bertanggungjawab dengan apa yang diungkapkannya.
Seperti kata al-Qadhi al-Baji dalam kitab al-Muwafaqat, tidak halal bagi
seseorang memberi fatwa pada agama Allah SWT kecuali dengan sebenarnya, yang dia
iktiqad dan yakin bahawa itulah yang benar. Ini kerana mufti mengkhabarkan
daripada Allah pada hukumnya.
Persoalannya, siapakah yang berkelayakan memberi fatwa ? Bagi
menjawab soalan ini, secara umumnya, mereka yang berkelayakan memberikan fatwa
ialah mereka yang diiktiraf sebagai seorng yang sangat dalam ilmu
pengetahuannya atau digelar sebagai al-Faqih. Namun begitu, dalam konteks
negara kita, orang yang berkelayakan memberi fatwa ialah mereka yang dilantik
sebagai Mufti. Jawatan Mufti merujuk kepada maksud orang yang
dipertanggungjawabkan mengeluarkan fatwa. Dibawah peruntukkan undang-undang
enakmen pentadbiran agama Islam mengikut negeri masing-masing, para Mufti akan
dibantu oleh beberapa orang ahli yang dianggap berkelayakan yang dinamakan
sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa. Jawatankuasa fatwa bertanggungjawab membantu
mufti merangka serta membentuk fatwa bagi menyelesaikan permasalahan yang
berbangkit. Oleh kerana itu, kita akan dapati terdapat banyak badan kefatwaan
baik dalam negara mahupun di luar negara seperti Darul Ifta' di Mesir, Lajnah
Daimah di Arab Saudi, Majlis Fatwa Eropah dan Kesatuan Ulama
Muslim Antarabangsa.
Hakikatnya, tidak semua yang digelar ustaz, ustazah atau tuan guru
layak memberikan fatwa. Gelaran tidak akan membawa apa-apa makna melainkan
keteguhan ilmu dan pengetahuannya yang mendalam serta diiktiraf akan
kefaqihannya. Melihat sikap para Salafus Soleh, kita akan melihat bahawa mereka
tidak akan memberi fatwa kecuali diakui oleh guru-guru dan para ulama sezaman
mereka dengan berkenaan kealimannya dan kemampuannya dalam berfatwa. Seperti
kata Imam Malik, beliau menyebut bahawa dirinya tidak berfatwa sehinggalah
disaksikan oleh 70 orang saksi dikalangan para ulama bahawa dirinya merupakan
ahli yang berkelayakan dalam memberi fatwa. Keadaan ini menunjukkan betapa
berhati-hatinya mereka dalam usaha mengeluarkan fatwa. Hal ini membuktikan
betapa besar dan beratnya tugas pemberi fatwa. Mengungkap kata-kata oleh Ibn
Hamdan dalam kitabnya, Sifat al-Mufti wal Mustafti, beliau menegaskan
sesiapa yang memberikan fatwa dalam keadaan dirinya tidak memiliki ciri-ciri
yang sepatutnya, tanpa terdapat sebarang darurat, maka dirinya dikira sebagai
pelaku maksiat dan berdosa.
Kefatwaan adalah sesuatu yang tidak boleh dipermainkan. Pada sudut
undang-undang, fatwa mempunyai peranan dan kedudukannya yang tersendiri. Jika
ditanya, apakah tidak cukup dengan merujuk al-Quran dan hadith tanpa perlu memberi
fatwa ? Maka kita katakan bahawa tidak semua isu semasa seperti isu rokok, vape
dan lain-lain disebutkan di dalam al-Quran dan hadith Maka fatwa diperlukan
sebagai solusi kepada sesuatu permasalahan tersebut. Selain itu, untuk memahami
intipati ajaran al-Quran dan hadith, ianya memerlukan kefahaman yang sebenar
berlandaskan displin ilmu yang tersusun. Maka, untuk memahaminya, memerlukan
kepada usaha ijtihad (memahami dengan mendalam) mengikut displin ilmunya.
Selain itu, fatwa juga diperlukan sebagai alternatif penyelesaian yang bersifat
semasa kerana masalah berbeza-beza bergantung kepada perbezaan konteks dan
zaman. Maka jelaslah bahawa peranan kefatwaan amatlah besar sebagai panduan
untuk umat manusia mematuhi aturan dan kehendak Tuhan. Demikianlah sedikit
sebanyak berkaitan fatwa. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan