Kematian adalah suatu ketetapan yang pasti berlaku. Tiada siapa
yang dapat menduga bila dan dimana kita akan mati meninggalkan dunia yang fana
ini. Seperti kata ramai orang hari ini, dunia ini adalah dunia tipu-tipu. Dunia
tipu-tipu hanyalah untuk mereka yang tidak sedar akan hakikat sebenar hidup.
Bagi mereka yang sedar dan tahu hakikat tersebut, pastinya tidak akan mudah
tertipu dan terpedaya dengan dunia bahkan sentiasa berwaspada dengan perhiasan
dunia yang bersifat sementara ini. Apabila sedar akan hal tersebut, kita tidak
lagi menyibukkan diri dengan perkara yang sia-sia. Manfaatkan ruang dan peluang
yang ada sebelum ianya diambil semula oleh yang Maha Berkuasa. Kematian adalah
pemutus kepada segala penderitaan mahupun keseronokan dunia. Pada saat dan
ketika itu, tidak ada lagi tanggungjawab kita di dunia sebaliknya akan
dipersoalkan pula atas apa yang telah kita kerjakan sewaktu hidup di dunia.
Persoalan mengenai roh berkait rapat dengan apa yang kita
namakannya sebagai perkara ghaib. Perkataan ghaib bermaksud sesuatu yang tidak
boleh dilihat, disentuh, dirasa dan dicapai oleh pancaindera manusia yang
terbatas ini. Hattakan akal yang cerdas dan pintar juga tidak akan dapat
menerobos ke dalam perkara ghaib. Begitu juga tentang hakikat roh. Semua
pengetahuan tentang itu berada dalam pengetahuan Allah SWT yang Maha Luas.
Sehingga Allah menyatakan kepada baginda Nabi Muhammad SAW untuk mengkhabarkan
kepada manusia apabila ditanya tentang roh, maka jawablah bahawa soal roh itu
adalah urusan Allah Azza Wa Jalla. Ini dapat dilihat sebagaimana firman Allah
SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Isra' ayat 85 yang bermaksud :
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu
dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan
melainkan sedikit sahaja".
Ketika menjelaskan maksud ayat ini, Imam Fakhruddin al-Razi dalam
kitabnya Mafatih al-Ghaib, menyebut bahawa Allah SWT ingin menjelaskan
bahawa akal manusia terhad dan tidak mampu untuk mengetahui lebih dalam berkenaan
dengan roh. Demikian ulasan oleh al-Razi. Oleh kerana perbincangan roh ini
adalah termasuk dalam perkara ghaib, maka untuk mengetahui akan hal itu
mestilah dengan kita merujuk kepada wahyu al-Quran dan al-Hadith. Jika kita
ditanya, apabila roh dicabut keluar daripada jasad, kemana perginya roh kita
itu. Sebelum daripada itu, Allah SWT telah menjelaskan kepada kita bagaimana
keadaan roh dicabut oleh utusan Nya yang disebut sebagai Malaikat Maut berbeza
mengikut keadaan manusia tersebut. Bagi manusia yang kafir, tidak beriman
kepada Allah, ingkar dan enggan tunduk patuh kepada Allah, malailat maut akan
mencabutnya dengan kasar sekali. Ini sepertimana yang terdapat dalam al-Quran
menerusi surah al-Anfal ayat 50-51, firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan sekiranya engkau dapat melihat ketika para malaikat
mencabut nyawa orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka sambil
berkata, “Rasakanlah seksa neraka yang membakar,” tentulah kamu akan berasa
ngeri. Seksaan itu disebabkan oleh perbuatan yang dilakukan oleh tangan kamu
sendiri. Dan sesungguhnya Allah tidak menzalimi hamba-hamba-Nya walaupun
sedikit".
Demikian layanan kasar kepada roh manusia yang kafir dan tidak
beriman kepada Allah, yang dilakukan oleh malaikat maut dengan arahan Allah SWT
jua. Sebaliknya bagi roh orang yang beriman kepada Allah, roh dicabut dengan
diberi layanan yang baik, disambut dengan ungkapan yang menenangkan. Firman
Allah SWT dalam surah Fussilat ayat 30 yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan
berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di
atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke
semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya
kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan
terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan
kepada kamu".
Setelah dicabut roh manusia dari jasad, maka akan berangkatlah
roh-roh tersebut yang baru dicabut oleh malaikat maut akan berada diantara dua
tempat, iaitulah sama ada di pintu langit ataupun dilemparkan kembali ke dunia.
Ini berdasarkan hadith yang panjang riwayat al-Nasaie, daripada Abu Hurairah RA
bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
”Apabila seorang Mukmin nazak, datang kepadanya malaikat Rahmat
dengan membawa sutera putih. Para Malaikat berkata: Keluarlah wahai roh dalam
keadaan redha lagi diredhai kepada Allah, penuh rahmat serta tidak dimurkai
Tuhan. Maka Roh tersebut keluar seperti bau misk (wangian) yang terbaik
sehingga bau tersebut sampai ke pintu langit. Para malaikat(di langit) berkata:
”Wanginya bau yang kamu bawa dari dunia! Mereka membawa Roh tersebut menemui
roh-roh orang yang beriman. (Pada ketika itu) mereka (roh orang mukmin) terlalu
gembira dengan kedatangan roh tadi. Mereka bertanya kepadanya apa yang
dilakukan oleh fulan ini,apa yang dilakukan oleh fulan ini?
Para Malaikat berkata: Tinggalkan dia. Sesungguhnya dia pernah
berada di dalam kesedihan dunia. Lalu roh itu berkata: Apa yang menyebabkan
kamu ke sini? Mereka menjawab: Dia telah dibawa dari ibunya. Ketika mana orang
kafir nazak, datang kepadanya malaikat azab dengan membawa guni. Lalu para
Malaikat berkata: Keluarkan wahai Roh dalam keadaan murka lagi dimurkai serta
azab Allah. Maka Roh itu keluar seperti bau nanah sehingga bau tersebut sampai
ke pintu dunia, maka Para malaikat berkata: Busuknya bau nanah ini sehingga
mereka membawa roh-roh orang kafir.”
Telah berkata Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya al-Ruh,
beliau menyatakan bahawa :
”Ini adalah satu perbahasan yang mulia lagi besar (untuk
membahaskannya. Jawapannya adalah roh terbahagi kepada dua. Roh yang diazab dan
Roh yang diberi nikmat. Roh yang diazab terlalu sibuk diazab sehinggakan tiada
masa bagi mereka untuk saling bertemu dan berziarah antara satu sama lain.
Manakala roh yang diberi nikmat tanpa dibelenggu oleh apa-apa, mereka saling
bertemu dan saling berziarah antara satu sama lain. Mereka juga saling
mengingat antara satu sama lain tentang apa yang telah berlalu di dunia dan apa
yang berlaku kepada ahli keluarga mereka yang masih hidup. Setiap roh (yang
diberi nikmat) bersama siapa yang dia ikut dan roh Nabi kita berada di tingkat
paling atas sekali. Bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa'
ayat 69 bermaksud :
"Sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul maka mereka akan
bersama orang yang diberi nikmat oleh Allah dari kalangan Nabi,orang yang
benar(imannya),para Syuhada dan juga orang yang soleh. Dan amatlah elok mereka
itu menjadi teman rakan(kepada orang taat)”
Demikianlah apa yang dapat diperjelaskan berkenaan kedudukan roh
setelah dicabut oleh malaikat maut. Secara ringkas yang boleh difahami,
pertamanya, roh manusia akan dicabut oleh malaikat maut melalui arahan Allah
SWT dengan cara bergantung kepada keimanannya kepada Allah. Bagi orang yang
soleh, rohnya akan dicabut dengan layanan yang baik manakala bagi orang kafir,
rohnya akan dicabut dengan penuh kekasaran, dihemburkan dengan kata-kata
penghinaan dan celaan. Setelah itu, bagi roh orang yang beriman, mereka akan
berada di langit sambil disambut oleh roh-roh orang berikan yang lain, diberi
layanan mesra dan saling bertegur sapa antara satu sama lain. Sebaliknya bagi
roh orang kafir, yang enggan dan tidak beriman kepada Allah SWT, pintu langit
tidak terbuka untuknya, para malaikat di pintu langit enggan membuka pintu langit
dan akhirnya roh mereka dilemparkan ke jasad kembali lalu diazab di dalam
kubur. Semoga Allah SWT mengampuni kita semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan