Jumaat, 10 Oktober 2025

MENGENALI SIFAT TAWADHU

 

Pada sudut kehidupan yang nyata ini, memiliki perasaan adalah sesuatu anugerah yang unik dan teristimewa sekali. Perasaan yang hadir dengan berbagai rasa dan kata, menunjukkan betapa hidupnya sesuatu yang bernama roh. Perasaan tidak akan dapat dicapai jika tidak adanya roh. Roh yang juga merupakan urusan rahsia oleh Allah SWT dihiasi padanya perasaan yang melatari kehidupan duniawi ini. Manusia sejak diciptakan oleh Allah, seringkali bertarung dengan diri sendiri untuk memastikan dirinya menjadi manusia yang berisi, bukan sekadar memenuhi rutin hakiki. Dalam banyak perjuangan mendidik diri, satu sifat yang terpenting yang harus kita insafi ialah sifat merendah diri. Dalam istilah lain, disebut sebagai sifat tawadhu.

Ungkapan "Tawadhu" berasal daripada bahasa Arab. Pada sudut bahasa, perkataan tawadhu (التواضع) merujuk kepada maksud ketundukan dan rendah hati. Menurut Kamus Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan tawadhu membawa beberapa makna seperti merendahkan diri, tidak angkuh selain patuh, setia dan taat dalam mengerjakan sesuatu. Menurut pemahaman istilah pula, tawadhu merujuk kepada makna akhlak mulia yang terangkum dalamnya banyak kebaikan lain. Selain itu, tawadhu juga boleh kita fahaminya sebagai suatu sifat ketundukan dan patuh kepada kebenaran serta kesediaan menerima kebenaran daripada sesiapa pun yang membawanya. Dikalangan para ulama , seperti Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya Madarijus Salikin, menukilkan ungkapan oleh Fudhail bin 'Iyadh dengan menyebut tawadhu ialah merendahkan diri terhadap kebenaran, tunduk kepadanya dan menerimanya dari orang yang mengatakannya.




Selain itu, Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah menyebut dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra, beliau menyatakan bahawa kalau sekiranya ada orang bersikap tawadhu agar Allah SWT mengangkat darjatnya dimata orang, maka ini belum dikatakan telah memiliki sifat tawadhu. Ini kerana maksud utama perilakunya itu didasari agar mulia dimata orang, dan sikap seperti itu menghapuskan tawadhu yang sebenarnya. Berdasarkan ungkapan oleh Imam Ibn Taimiyyah ini, jelas bahawa tujuan utama memiliki sifat tawadhu ialah untuk berharap agar Allah mengangkat darjat dan bukannya berharap untuk dilihat dan diperkatakan oleh orang lain. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Tidaklah seseorang bertawadhu’ yang ditujukan semata-mata kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat (darjat)nya.”

Berkenaan dengan hadith tersebut, Qadhi 'Iyadh dalam kitabnya Ikmal al-Mu'lim bi Fawaid Muslim, beliau menjelaskan maksud hadith dengan menyebut terdapat dua pandangan mengenai maksud hadith ini. Maksud pertama, Allah SWT yang Maha Tinggi akan memberinya pahala di dunia sebagai balasan atas sikap rendah hatinya kepada Nya dan sikap rendah hatinya itu akan menanamkan dalam hati manusia kasih sayang, kedudukan dan kemuliaan. Maksud kedua pula, pahala itu akan diberikan di akhirat sebagai balasan atas sikap rendah hatinya. Selain itu, Syeikh Abdul Rahman al-Sa'di memberi komentar terhadap hadith tersebut dengan menyebut dalam kitabnya Bahjatul Abrar wa Quratu 'uyunil Akhbar, beliau menyatakan bahawa :

"Sabda Nabi SAW : 'Tiada seorang pun yang merendahkan diri kerana Allah.'" Ini sebagai peringatan untuk memperhalusi niat, iaitu berlandaskan keikhlasan kerana Allah, Nabi Muhammad, dalam kerendahan hati. Ia adalah perkara biasa untuk mencari orang yang kadang-kadang mempamerkan kerendahan hati di hadapan orang kaya, tetapi niat mereka adalah untuk mendapatkan sedikit daripada kekayaan mereka, atau untuk mencapai keinginan mereka di hadapan orang atasan mereka. Ada juga yang mempamerkan kerendahan hati demi menunjuk-nunjuk. Matlamat ini semuanya rosak dan tidak memberi manfaat sedikit pun kepada orang yang melakukannya, kecuali kerendahan hati yang didorong oleh keikhlasan kerana Allah SWT, untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan untuk meraih pahala dan kemurahan-Nya terhadap makhluk. Oleh itu, kebaikan yang terbaik dan paling ikhlas terletak pada keikhlasan kerana Allah SWT."




Demikian antara tujuan dan matlamat utama yang digariskan oleh syarak untuk bersikap tawadhu, mestilah niatkan kerana Allah dan bukannya untuk dilihat dan diperkatakan oleh manusia lain. Mustahak sekali untuk kita fahami, bersikap merendah diri dengan tujuan agar dipuji oleh sekalian manusia hanyalah suatu usaha dan perbuatan yang sia-sia sahaja. Tidaklah langsung ada kebaikan jika kita bersikap tawadhu demi meraih perhatian manusia. Dalam membicarakan soal tawadhu juga, Imam al-Ghazali menyebut dengan panjang lebarnya dalam kitabnya Minhaj al-'Abidin, beliau menjelaskan bahawa :

"Tawadhu pada masyarakat awam ialah merasa keberkecukupan dalam berpakaian, tempat tinggal, dan berkenderaan dengan cara yang sederhana apa adanya. Sedangkan takabbur pada orang awam adalah keadaan yang berlawanan daripada hal-hal tersebut. Tawadhu di sisi golongan khusus adalah membiasakan diri menerima kebenaran, daripada sesiapa pun datangnya kebenaran itu. Sedangkan takabbur pada golongan tertentu (khawwas) adalah enggan menerima kebenaran yang datang daripada sesiapa pun. Dan sifat seperti itu merupakan maksiat bahkan dosa besar. Adapun benteng bagi memelihara sifat tawadhu bagi masyarakat awam adalah dengan cara selalu mengingati pelbagai kehinaan pada awal dan akhir mahupun kehidupan yang sedang dipelajari. Sebagaimana dikatakan oleh para ‘ulama, bahawa awal kehidupan manusia hanyalah setitis air mani, dan akhirnya menjadi bangkai yang membusuk. Dan di antara keduanya, manusia adalah pembawa kotoran dalam perut. Adapun benteng tawadhu bagi golongan tertentu (khawwas) adalah sentiasa mengingati seksa ke atas orang-orang yang menyimpang daripada kebenaran (haqq) dan menuju ke arah kebatilan".

Sememangnya musuh utama bagi sifat tawadhu ialah kesombongan dan keangkuhan. Sifat sombong, angkuh dan bongkak merupakan sifat berlawanan bagi sifat merendah hati. Islam sebagai agama yang sempurna, menuntut penganutmya untuk sentiasa bersikap tawadhu atau merendah hati. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah SWT telah mewahyukan kepadaku agar kalian bertawadhu‘, sehingga tak seorang pun menyombongkan diri kepada yang lain, atau seseorang tiada menganiaya kepada yang lainnya".




Jelas bahawa sesungguhnya agama Islam ialah agama yang menyeru manusia untuk bersikap merendah hati dengan tidak merendahkan orang lain, tidak pula bersikap sombong, angkuh apatah lagi bongkak. Bagi mereka yang bersikap tawadhu, Allah SWT sangat memuji dan berbangga dengan hamba Nya yang merendah hati. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Azza Wa Jalla dalam al-Quran menerusi surah al-Furqan ayat 63, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

"Hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu adalah yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan, "Salam."

Demikian kebanggaan Allah SWT kepada hamba-hamba Nya yang memiliki sifat tawadhu. Selain itu, Allah SWT yang Maha Pemurah juga menjanjikan ganjaran syurga kepada para hamba Nya yang bersikap tawadhu. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Qassas ayat 83, firman Nya yang bermaksud :

"Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak menyombongkan diri dan tidak berbuat kerusakan di bumi. Kesudahan (yang baik, yakni surga) itu (disediakan) bagi orang-orang yang bertakwa."

Demikianlah sebahagian penjelasan mengenai sifat tawadhu. Hakikatnya, setiap para makhluk di muka bumi ini tidak layak untuk bersikap sombong, angkuh dan yang seangkatan dengannya. Oleh itu, Islam datang dengan menyuruh umatnya untuk sentiasa menghiasi diri dengan sifat yang terpuji dan antara yang terpuji tersebut ialah sifat tawadhu. Tawadhu bukanlah sesuatu yang lahir dari luaran semata. Ianya adalah tarbiah dari dalaman diri manusia itu sendiri. Kerana itu Nabi SAW mengingatkan kita agar sentiasa meluruskan niat, memperbetulkan tujuan dan menjaga matlamat utama ikhlas kerana Allah. Ini kerana tidak ada yang mulia bagi sesiapa yang mencari kemuliaan semata-mata untuk meraih perhatian manusia lain. Beruntunglah bagi jantung hati mereka yang ikhlas bersifat tawadhu benar-benar kerana Allah SWT. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan