Ahad, 10 Ogos 2025

KEWAJIBAN MENTAATI PEMIMPIN DAN PEMERINTAH

 

Keberadaan umat manusia di muka bumi ini dengan pelbagai latar belakang yang berbeza, bukan sahaja bertujuan untuk mengabdikan diri tunduk dan patuh kepada Allah bahkan juga sebagai khalifah atau pemimpin yang menguruskan hal ehwal alam ini. Kedudukan sebagai pemimpin bukanlah tanda kemuliaan yang mutlak tetapi padanya terdapat peranan dan tanggungjawab yang besar. Kerana kedudukan sebagai pemimpin, adakalanya manusia akan diuji dengan kepimpinannya. Pemimpin atau disebut sebagai khalifah adalah amanah terbesar dan terpenting bagi umat manusia. Malah amanah sebagai khalifah di muka bumi ini enggan digalas oleh langit dan bumi serta gunung-ganang sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Ahzab ayat 72, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan".




Ungkapan "pemimpin" atau juga disebut dengan pelbagai istilah lain seperti pemerintah, khalifah, raja dan sebagainya mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi syariat Islam. Islam menggariskan kedudukan pemimpin sebagai suatu yang mesti dihormati dan ditaati. Persoalan terpenting yang harus difahami terlebih dahulu ialah tentang siapakah yang dimaksudkan dengan pemimpin atau pemerintah. Dalam al-Quran, pemimpim atau pemerintah disebut dengan istilah "Ulil Amri". Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 59, yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu".

Berdasarkan ayat ini, para ulama telah berselisih pendapat di dalam memberi maksud tentang siapakah ulil amri. Menurut sebahagian para sahabat Nabi SAW seperti Abu Hurairah, Ibn Abbas dan Zaid RAnhum, perkataan Ulil Amri di dalam ayat ini bermaksud para penguasa yang sah. Terdapat pula pendapat lain seperti yang dinyatakan oleh Jabir bin Abdillah, Hasan al-Basri, Qotadah dan Mujahid, yang dimaksudkan dengan makna Ulil Amri tersebut adalah para ulama yang tegak diatas sunnah. Telah berkata Imam al-Tabari dalam kitab tafsirnya, beliau menyebut pendapat yang paling kuat adalah pendapat pertama berdasarkan petunjuk Nabi SAW. Pun begitu, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula berbeza pandangan mengenai makna ulil amri. Beliau menyebut yang sahih adalah yang mencakupi dua kelompok para penguasa dan para ulama kerana kedua-duanya sama-sama mengurus urusan manusia. Pandangan ini juga merupakan yang dipegang oleh gurunya, Syaikhul Islam Imam Ibnu Taimiyyah.

Istilah "Ulil Amri" dalam konteks Malaysia boleh difahami sebagai ketua negara yang digelar sebagai Yang Di-pertuan Agong dan ketua kerajaan yang disebut sebagai Perdana Menteri. Kedua-dua figura ini boleh difahami sebagai ulil amri atau pemerintah. Oleh itu, jelas kepada kita bahawa ulil amri ialah merujuk kepada mereka yang berkuasa mentadbir dan menguruskan hal ehwal manusia. Dalam Islam, menjadi tanggungjawab umat manusia untuk mentaati dan menghormati para pemerintah. Hukumnya adalah wajib orang Islam mentaati pemerintah. Ini sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Nisa' ayat 59. Kewajiban mentaati pemerintah juga ditegskan oleh baginda Nabi SAW melalui sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Wajib atas seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) pada apa-apa yang ia cintai atau ia benci kecuali jika ia disuruh untuk berbuat kemaksiatan. Jika ia disuruh untuk berbuat kemaksiatan, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat.”




Ketaatan kepada pemerintah juga diikat dengan syarat selagi pemerintah tidak menyuruh melakukan perkara yang berbentuk kemaksiatan. Ini bermakna, ketaatan kepada pemerintah tidaklah bersifat mutlak. Ketaatan mutlak hanyalah taat kepada Allah SWT dan Rasul Nya. Jelas bahawa Islam menggariskan ketaatan kepada pemerintah adalah tertakluk kepada perkara yang membawa kebaikan semata-mata. Sebaliknya jika ketaatan tersebut boleh mengundang kemaksiatan, maka tiada lagi ketaatan dalam hal tersebut. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, diceritakan bahawa seorang panglima yang dilantik oleh baginda Nabi untuk satu peperangan telah menyuruh tenteranya untuk masuk ke dalam api namun mereka semua enggan melakukannya. Sehingga akhirnya kemarahan panglima mereka sudah reda dan api pun terpadam. Perkara ini telah diceritakan kepada Nabi SAW lalu baginda menyatakan dengan bersabda : "Jika kamu masuk ke dalamnya tentulah kamu tidak akan keluar lagi, sesunguhnya taat itu hanya dalam perkara yang baik".

Selain itu, dalam persoalan mentaati pemerintah juga, Islam menuntut umatnya untuk menasihati para pemerintah yang zalim. Adalah hukumnya wajib bagi umat Islam menasihati para pemerintah yang zalim. Kewajiban menasihati pemerintah yang zalim ini selari dengan sebuah hadith Nabi riwayat Muslim, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“Agama itu adalah nasihat”. Kami (Sahabat) bertanya: ‘Untuk siapa?’ Jawab baginda: “Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan awam mereka”.

Berdasarkan kefahaman hadith ini, jelas menunjukkan bahawa menjadi tanggungjwab umat Islam memberi nasihat serta peringatan kepada para pemerintah yang zalim. Pun begitu, dalam usaha menasihati pemerintah yang zalim, Islam menyuruh memberi nasihat dengan menggunakan bahasa yang paling baik dan lunak, tidak menggunakan perkataan yang keras dan kasar caranya. Begitu juga Islam melarang kita menegur pemerintah yang zalim dengan cara menghina, mengherdik dan mengaibkan pemerintah. Lihatlah firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 43 - 44 yang bermaksud :

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.




Arahan menurut ayat ini adalah daripada Allah Azza Wa Jalla kepada Nabi Musa AS. Allah SWT menyuruh Nabi Musa menasihati Firaun dengan menggunakan bahasa yang paling baik dan lunak. Ini bermakna meski ketika berhadapan dengan pemimpin atau pemerintah yang zalim, kita tetap wajib beradab dalam menegur pemerintah. Selain itu, satu hal lain lagi yang penting dalam soal mentaati pemerintah, kita dilarang untuk memberontak dan menggulingkan pemerintah yang zalim. Walaupun secara prinsip, Islam melarang kita untuk mentaati pemerintah dalam perkara maksiat namun bukan bermakna Islam membenarkan kita untuk melakukan pemberontakan dan menggulingkan pemerintah yang zalim secara kekerasan. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Auf bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”.

Demikianlah persoalan tentang kewajiban umat Islam dalam mentaati dan menghormati pemimpin dan pemerintah. Sesungguhnya pemimpin atau pemerintah mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi syariat agama Islam. Ketegasan Islam menuntut umatnya untuk mentaati pemerintah dengn perbatasan yang digariskan. Begitu juga Islam dengan penuh ketegasan melarang umatnya melakukan perbuatan yang boleh menggugat kestabilan politik, yang boleh meragut keamanan dan keharmonian hidup dalam bernegara. Islam juga menggalakan umatnya untuk menasihati pemerintah dengan menggunakan nada yang baik dan memilih bahasa yang lunak. Inilah intipati ajaran Islam sebenar yang sentiasa datang membawa mesej keamanan dan kedamaian. Semoga Allah SWT merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan