Ahad, 11 Disember 2022

KISAH HAMAN : MENTERI YANG MENGHANCURKAN KETUANYA

 

Kekuasaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada umat manusia ini merupakan suatu kedudukan yang boleh memuliakan dan mengangkat darjat bagi sesiapa sahaja yang benar-benar beramanah dengan kekuasaan yang dimilikinya. Namun begitu, kekuasaan juga boleh menjadi suatu penghinaan dan penyesalan bagi mereka yang zalim, tidak jujur dan khianat dengan amanah yang diberikannya. Oleh itu, kita sebagai hamba Nya seharusnya menginsafi akan amanah yang diberikan ini dan berazam untuk melaksanakan amanah tersebut dengan sebaiknya.

Dengan kekuasaan Nya, Nabi Sulaiman AS dimuliakan oleh Allah SWT sebagai penguasa dan raja yang baik dan hebat, yang dikelilingi oleh bala tenteranya yang terdiri daripada jin, manusia dan burung. Hal ini seperti yang dirakamkan di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman dalam surah an-Naml ayat 17 yang bermaksud :

"Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung ; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing".




Pada masa sama, dalam beberapa episod sejarah panjang umat manusia, kita boleh menyaksikan beberapa manusia yang berkuasa namun dihina dan dihukum oleh Allah SWT akibat daripada sikap zalim, penipu dan sebagainya. Antara yang dirakamkan oleh Allah SWT adalah seorang menteri yang juga penasihat Firaun yang bernama Haman. Sebanyak enam kali kisah Haman diceritakan di dalam al-Quran dan kesemua nama Haman disebutkan bersama tuannya ataupun ketuanya iaitu Firaun. Seperti firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 8, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya Firaun dan Haman serta tentera mereka berdua adalah golongan yang bersalah".

Menurut Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, beliau menyatakan bahawa Haman adalah seorang menteri yang berkhidmat menasihati Firaun dalam segala hal pentadbiran kerajaan. Malangnya, nasihat yang diberikan oleh Haman semuanya menjurus kepada perkara yang merosakan. Keadaan ini lebih memburukkan lagi apabila terdapat agenda jahat Firaun, maka Firaun akan mengarahkan Haman untuk melaksanakannya. Maka tidak hairanlah sekiranya Allah menghina akan keduanya diatas kejahatan yang telah mereka lakukan.

Ketaatan Haman yang mengiyakan apa sahaja pendustaan dan kezaliman yang dilakukan oleh Firaun, telah membuatkan Haman dijadikan rakan sekutu Firaun. Apa sahaja kehendak jahat Firaun, maka akan disuruhlah Haman untuk melakukannya termasuklah dalam soal menentang dakwah Nabi Musa AS. Hal ini seperti yang disebutkan di dalam al-Quran, menerusi surah al-Qasas ayat 38, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan Firaun pula berkata : "Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku ; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu) ; dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta".

Haman yang juga dikenali sebagai penasihat Firaun merupakan watak terpenting yang telah mempengaruhi Firaun dengan menghasut supaya Firaun menentang dan menolak misi dakwah Nabi Musa AS. Selain itu, Haman juga memainkan peranan penting mengukuhkan kesombongan dan kekufuran Firaun dengan memperakukan bahawa Firaun sahaja lah satu-satunya raja dan tiada Tuhan lain selain Firaun. Nasihat yang rosak ini telah pun membina keangkuhan dan kesombongan yang tinggi oleh Firaun. Dengan sifat buruk itu, Firaun menolak dakwah Nabi Musa dan menghukum rakyatnya yang menjadi pengikut ajaran Nabi Musa AS.




Imam al-Tabari antara lain juga turut merakamkan kisah bagaimana Firaun pada ketika itu telah tertarik dengan pendekatan dakwah Nabi Musa yang menegur akan kesesatannya. Namun, malangnya setelah Firaun berjumpa dan mendapatkan nasihat Haman, dia kekal berada di dalam kesesatan dan kejahatannya bahkan Haman pula dijadikan orang kanannya. Lihatlah bagaimana Haman, seorang menteri merangkap penasihat yang telah merosakan Firaun sekaligus mendorong berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap Bani Israel.

Sikap sebegini sudah tentunya mengundang kemurkaan dan penghinaan daripada Allah SWT. Kisah Haman membawa mesej dan peringatan yang begitu bermakna kepada kita lebih-lebih lagi dalam soal melantik penasihat yang benar-benar membantu kita kearah kebaikan dan bukannya seperti Haman yang membawa ke jalan kerosakan. Oleh itu, peri pentingnya juga dalam kehidupan ini untuk kita memilih sahabat, teman dan rakan yang bukan sekadar ada di masa senang dan susah, bahkan mampu memberikan nasihat dan bimbingan dengan betul. Seperti kata Imam Sufyan al-Thauri yang dinukilkan oleh al-Khattabi dalam kitab al-Uzlah, katanya yang bermaksud :

"Perhatikanlah (apa yang berlaku) pada Firaun yang memiliki (penasihat yang rosak) iaitu Haman".

Kerana nasihat yang diberikan itu datangnya daripada penasihat yang rosak, maka akan lahirlah pimpinannya juga yang rosak. Sebaliknya, jika nasihat tersebut datangnya daripada penasihat yang baik, maka pasti akan lahirlah pimpinannya yang baik. Justeru, memilih dan melantik seseorang bukan lah sekadar untuk memenuhi kekosongan jawatan. Tetapi jauh lebih penting dari itu adalah untuk memastikan setiap amanah yang diberikan itu dilakukan dengan penuh sikap amanah, jujur, ikhlas dan selainnya lagi.

Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, yang bermaksud :

"Apabila Allah berkehendakkan pemimpin yang baik, maka dijadikan kepadanya penasihat yang benar. Sekiranya dia lupa, maka penasihatnya akan mengingatkannya, sekiranya dia ingat, penasihatnya akan membantunya. Namun sekiranya Allah berkehendakkan yang selainnya (yang tidak baik) maka dijadikan Pemimpin itu mempunyai penasihat yang jahat. Apabila dia leka, penasihatnya membiarkan sahaja, apabila dia ingat (untuk melakukan kebaikan), penasihatnya tidak membantunya.”

Demikian peringatan dan penegasan oleh baginda Nabi SAW untuk kita sebagai pedoman hidup. Kerahuilah bahawa kekuasaan boleh jadi suatu kemuliaan dan pada masa yang sama boleh jadi suatu penghinaan kepada kita. Semuanya terpundak diatas bahu kita untuk menjadikan diri ini lebih baik dari semalam. Juga jawatan penting seperti menteri dan penasihat seharusnya tidak dijadikan sekadar gula-gula atau sogokan untuk sokongan. Akibat salah dalam melantik, akan mengundang kemusnahan dan kehancuran kelak seperti yang dilakukan oleh Haman. Semoga Allah memberkati dan merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan