Khamis, 9 November 2023

SIAPAKAH IMAM AL-MAHDI ?

 

Bagai menanti kelahiran seorang perwira, isu Imam al-Mahdi seringkali menjadi polimik sensasi dikalangan umat Islam sejak dahulu kala lagi. Kedatangan Imam al-Mahdi adalah antara sebahagian tanda-tanda besar hari kiamat. Lembaran sejarah yang panjang telah mencatatkan pelbagai rentetan peristiwa dramatik yang berlaku sehingga ke tahap pertumpahan darah akibat pendakwaan diri mereka adalah Imam al-Mahdi. Krisis ini juga sekurang-kurangnya telah menimbulkan persepsi demi persepsi yang memperlihatkan betapa ramai manusia di seluruh dunia yang berebut untuk mengaku sebagai Imam al-Mahdi. Kesan krisis ini juga telah menjadikan perbalahan yang berpanjangan sesama umat Islam.

Untuk melihat kepada sesuatu yang akan terjadi di masa hadapan, tidak ada yang boleh dikhabarkan atau diceritakan melainkan kita kembali merujuk berita atau perkhabaran di dalam al-Quran dan hadith Nabawi. Dalam al-Quran, tidak disebut tentang Imam al-Mahdi. Pun begutu, dalam hadith terdapat banyak riwayat-riwayat yang menceritakan tentang kedatangan Imam al-Mahdi. Sesungguhnya kedatangan Imam al-Mahdi adalah benar. Ini kerana terdapat banyak riwayat-riwayat yang menyatakan perkara yang sedemikian. Meskipun terdapat banyak riwayat tentang kedatangan Imam al-Mahdi, bukan semua riwayat tentangnya boleh kita amal dan faham. Kerana pada riwayat yang banyak tersebut, ada yang berstatus palsu, ada yang lemah, ada yang hasan dan tidak kurang ada juga yang sahih.




Oleh yang demikian, Syeikh Abd al-Muhsin bin Hamad menulis dalam kitabnya, al-Radd' Ala Man Kazaba Bil Ahaadith Al-Waaridah Fil Mahdi, beliau menyatakan bahawa :

"Aku telah meneliti kebanyakan hadis-hadis berkaitan al-Mahdi dan aku telah mendapatinya sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Syaukani, Ibn al-Qayyim dan selainnya: Padanya hadis-hadis yang sahih, hasan, hadis dhaif yang boleh dikuatkan, dan terdapat juga hadis-hadis palsu berkaitannya (Al-Mahdi). Memadailah bagi kita hadis-hadis yang elok sanadnya. Kebenarannya, sesungguhnya majoriti ahli ilmu bahkan ia adalah satu kesepakatan bahawa sabitnya khabar berkenaal al-Mahdi bahkan dia adalah benar dan akan keluar pada akhir zaman. Adapun, mereka yang syaz dari kalangan ahli ilmu dalam hal ini maka tidak diberi perhatian pada pendapatnya dalam hal tersebut".

Berhubung isu kedatangan Imam al-Mahdi, pada sisi para sarjana, ada yang menerimanya tentang hakikat Imam al-Mahdi ini dan tidak kurang juga ada yang menolaknya seperti Imam Ibn Khaldun. Pada sisi Ahlus Sunnah wal Jamaah, tidak ada sebarang khilaf atau perselisihan pendapat tentang kedatangan al-Mahdi. Bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah, Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang diutuskan oleh Allah untuk menegakkan keadilan. Imam al-Mahdi lahirnya dari keturunan Nabi menerusi jalur al-Hasan RA. Pun begitu, kumpulan Syiah membantah akan hal itu dan mendakwa Imam al-Mahdi lahir dari keturunan Nabi menerusi jalur al-Hussain RA.

Seperti yang dinyatakan, perkhabaran tentang kedatangan Imam al-Mahdi ada dikhabarkan oleh baginda Nabi SAW melalui hadith-hadithnya. Antara lain, dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Abdullah bin Mas'ud RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman".




Persoalan besarnya, siapakah al-Mahdi ? Menurut Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, al-Nihayah fi al-Fitan wal Malahim, nama sebenar Imam al-Mahdi ialah Muhammad bin Abdillah al-'Alawi al-Fatimi al-Hasani. Pernyataan ini adalah berdasarkan sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, daripada Abdullah bin Mas'ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.”

Berdasarkan hadith ini juga, terdapat beberapa ciri-ciri utama Imam al-Mahdi antaranya termasuklah namanya sama seperti nama baginda Nabi, berketurunan dari keluarga Nabi selain dirinya berbangsa Arab. Ini bermakna, sesiapa yang mendakwa dirinya adalah Imam al-Mahdi tetapi tidak terdapat padanya ciri-ciri ini, maka jelaslah ianya tidak lebih sekadar suatu pendustaan dan pembohongan semata-mata. Selain itu, para sarjana Islam berbeza pendapat tentang tempat kelahiran Imam al-Mahdi. Imam al-Qurtubi dalam kitabnya, al-Tazkirah, menyatakan bahawa Imam al-Mahdi lahir di negara Maghribi. Ada sebahagian lain pula mendakwa lahir di Andalus. Namun begitu, pendapat yang paling tepat dan sahih riwayat dari Abu Nu'aim, seperti yang terdapat dalam kitab Asyrath al-Sa'ah karangan Maher Ahmad al-Sufi, Imam al-Mahdi dilahirkan di Madinah.

Kedatangan Imam al-Mahdi adalah bertujuan membantu Nabi Isa AS menentang Dajjal. Oleh itu, Imam al-Mahdi akan muncul tatkala diwaktu sebelum turunnya Nabi Isa AS untuk menentang Dajjal. Ini sepertimana yang tercatat di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Jabir bin Abdillah RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Isa bin Maryam SAW turun, lalu pemimpin mereka (al-Mahdi) berkata: ‘Marilah, solatlah mengimami kami.’ Lalu Isa berkata: ‘Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain, sebagai kemuliaan yang Allah berikan kepada umat ini.”

Selain itu, berdasarkan bukti yang kuat, Imam al-Mahdi akan keluar dari arah timur. Hal ini berasaskan kepada hadith Nabi SAW riwayat Ibn Majah, daripada Thauban RA katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Ada tiga orang yang akan saling membunuh di sisi simpanan kamu; mereka semua adalah putera khalifah, kemudian ia tidak akan kembali kepada salah seorang dari mereka. Akhirnya, muncullah bendera-bendera hitam dari arah timur, lalu mereka akan memerangi kamu dengan peperangan yang tidak pernah dilakukan oleh satu kaum pun.. (lalu Baginda menuturkan sesuatu yang tidak aku fahami, kemudian bersabda): Jika kamu melihatnya, maka bai’ahlah dia. Walaupun dengan merangkak di atas salji, kerana sesungguhnya dia ialah khalifah Allah, al-Mahdi.”

Ketika menjelaskan maksud hadith ini, Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, al-Nihayah fi al-Fitan wal Malahim, beliau menyatakan bahawa Tiga orang putera-putera khalifah akan saling berbunuhan di sisinya untuk merebutkannya hingga tiba akhir zaman. Kemudian, keluarlah al-Mahdi dan beliau datang dari arah timur. Beliau didokong oleh orang-orang dari timur yang menolongnya, menegakkan kekuasaannya, memperkuat sendi-sendinya, dan bendera mereka ketika itu juga berwarna hitam yang melambangkan ketenangan, sebagaimana bendera Rasulullah SAW di mana ia juga berwarna hitam dengan sebutan al-‘Uqab. Dia akan dibai’ah di Masjidil Haram (berhampiran Ka’bah) sebagaimana diisyaratkan oleh sebahagian hadith.




Kedatangan Imam al-Mahdi adalah sebagai seorang pemimpin yang akan kembali menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan untuk selama beberapa tempoh tertentu. Dalam hadith riwayat al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya, pada umatku terdapat al-Mahdi. Dia akan muncul, hidup (berkuasa) selama lima, tujuh, ataupun sembilan (yakni terdapat keraguan daripada salah seorang periwayat hadith ini, iaitu Zaid berkenaan bilangan tahun yang disebutkan)".

Dalam hadith lain riwayat Abu Daud, daripada Sa'id al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Akan datang pada umatku al-Mahdi, apabila masanya pendek, maka tujuh tahun. Sekiranya tidak, maka sembilan tahun.”

Dalam kitab Tuhfah al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri menjelaskan :

“Dalam riwayat daripada Abu Sa’id al-Khudri dalam Sunan Abu Daud, disebut bahawa Imam Mahdi akan berkuasa selama tujuh tahun, dengan lafaz yang tiada keraguan daripada perawi. Begitu juga dalam hadis Ummu Salamah, disebut bahawa Imam Mahdi akan berkuasa selama tujuh tahun dan ia juga tanpa ada keraguan daripada perawi. Daripada sini, hadis yang menggunakan lafaz yang pasti, lebih diutamakan daripada lafaz yang masih ada keraguan".

Demikianlah serba ringkas yang dapat difahami tentang siapakah Imam al-Mahdi yang seringkali menjadi isu polimik dikalangan orang Islam. Jelas kepada bahawasanya Imam al-Mahdi itu adalah berketurunan Arab, salasilah dari keturunan Nabi SAW, dan kedatangannya pada sebelum turunnya Nabi Isa AS. Kedatangannya adalah untuk memimpin umat dan dunia ini dengan penuh keadilan, membawa kebenaran dan melawan kebatilan. Selain itu juga, Imam al-Mahdi turut akan membantu Nabi Isa AS melawan dan menentang Dajjal laknatullah. Inilah janji-janji Allah yang benar, tidak ada yang lebih benar melainkan apa yang didatangkan oleh Allah kepada para hamba Nya. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan