Khamis, 26 Oktober 2023

MENGENALI AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

 

Dikalangan orang Islam di serata dunia, seringkali menyeru umatnya untuk sentiasa berpegang teguh dengan pendirian dan pemahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pada masa yang sama, tidak kurang juga wujud beberapa perbahasan, wacana dan diskusi bagi membincangkan aliran pemikiran atau golongan tertentu yang dianggap sebagai terkeluar dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam beberapa keadaan, sebahagian kecil mereka yang telah bersikap melampau dengan semberono mengeluarkan golongan-golongan tertentu dari kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mendakwa hanya merekalah yang benar-benar memahami dan mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Terlebih dahulu, adalah penting untuk kita memahami disebalik istilah besar ini. Perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaah bukanlah nama suatu gerakan parti, NGO atau mana-mana mazhab yang diasaskan oleh para ulama. Tetapi istilah ini adalah datangnya daripada nas-nas syarak yang banyak. Pada perkataan al-Sunnah, ianya merujuk kepada segala perbuatan, percakapan, pengakuan, akhlak dan segala hal yang disandarkan kepada baginda Nabi SAW. Sunnah Nabi SAW merupakan sumber autentik dalam beragama selepas al-Quran. Dalam erti kata lain, al-Sunnah merupakan wahyu panduan hidup umat manusia terpenting selepas al-Quran. Dalam hadith Nabi, begitu banyak sekali perkataan al-sunnah digunakan. Antaranya hadith riwayat al-Baihaqi, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagimana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya.”




Hadith ini menjelaskan tentang wasiat baginda Nabi SAW yang begitu bermakna untuk kita semua umat akhir zaman. Selain itu, al-Sunnah juga merujuk kepada ijtihad atau sunnah para sahabat. Ini bermaksud, baginda Nabi SAW mengiktiraf segala perbuatan, percakapan, pengakuan dan akhlak para sahabat sebagai sumber hukum untuk diikuti oleh sekalian manusia. Hal ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah para Khulafа’ al-Rаshidіn al-Mahdiyyіn.”

Berdasarkan pemahaman maksud al-Sunnah ini, jelas bahawasanya perkataan istilah al-Sunnah bukanlah suatu istilah baharu malah telah lama disebutkan melalui lisan junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, sebagai sumber autentik dalam beragama, adalah menjadi kewajipan para umat manusia supaya beramal dengan apa yang ditunjukkan oleh baginda Nabi dan meninggalkan apa yang dilarangnya. Sesungguhnya apa yang ditunjukkan oleh Nabi itu adalah sunnah, dan lawannya adalah bid'ah iaitu merujuk kepada maksud sesuatu yang dilarang, ditegah dan segala yang tidak datang dari ajaran baginda Nabi SAW. Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud :

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya, dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).”

Bagi lebih memahami maksud Ahli Sunnah Wal Jamaah, para ulama telah membahaskannya berdasarkan sebuah hadith riwayat Ibn Majah, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan (mengikut hawa nafsu), semuanya di dalam neraka kecuali satu iaitu al-Jamа‘ah.”

Para ulama telah membahaskan siapakah golongan yang dimaksudkan al-Jamaah. Dalam kitab al-I'tisam, Imam al-Syatibi telah menukilkan bahawa secara umumnya, pendapat para ulama mengenai "al-Jamaah" adalah berkisar kepada beberapa makna. Pertamanya, perkataan al-Jamaah merujuk kepada makna golongan majoriti dalam kalangan umat Islam yang terdiri daripada para imam mujtahid, para ulama, ahli syariah dan umat yang mengikuti mereka. Keduanya, al-Jamaah membawa makna kumpulan para ulama mujtahid. Ketiganya, al-Jamaah merujuk kepada makna para sahabat Nabi SAW. Keempat, al-Jamaah membawa makna umat Islam yang bersepakat atas sesuatu perkara dan yang terakhir, al-Jamaah juga boleh membawa makna umat Islam yang bersatu mentaati seorang pemimpin.




Berdasarkan kesemua pandangan ini, Imam al-Syatibi merumuskan bahawa istilah atau perkataan al-Jamaah itu membawa maksud perhimpunan yang bersatu dibawah pemimipin atau imam yang menepati petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Ini bermaksud, selagi mana para imam yang diikuti, tanpa mengira apa jua mazhabnya, selagi ianya menepati dan tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, maka ianya termasuk sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini juga menjelaskan kepada kita bahawa apa jua pegangan mazhab kita, selagi ianya tidak menyimpang jauh dari intipati ajaran Islam sebenar, maka kita semua adalah dalam payung besar Ahli Sunnah Wal Jamaah. Baik apa pun iktikadnya berdasarkan mazhab Hanafiah, Malikiyyah, Syafie'iyyah mahupun Hanabilah, ataupun mana-mana mazhab lain yang tidak terkenal, asalkan tidak menyalahi wahyu, kita semu tergolong dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dalam kitab I'lam al-Muwaqqi'in karangan Imam Ibnu Qayyim, Ibnu Mas'ud menyatakan bahawa al-Jamaah adalah apa yang menepati kebenaran, sekalipun engkau berseorangan. Ini bermaksud sesuatu himpunan atau kumpulan yang bersatu bukan diatas dasar kedua-duanya, yakni al-Quran dan al-Sunnah, maka ianya tidak termasuk sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kerana kesatuan sesuatu kumpulan ini mestilah didasari oleh wahyu al-Quran dan al-Sunnah. Sebaliknya, jika bersatu diatas selain kedua-duanya, maka terkeluar mereka dari maksud al-Jamaah tersebut. Secara ringkasnya, seperti yang dinyatakan dalam kitab al-Wajiz fi Aqidah al-Salaf karangan Syeikh Abdul Hamid al-Atsari, beliau menyatakan bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah itu :

“Mereka yang berpegang dengan sunnah Nabi SAW, para sahabatnya dan yang mengikut mereka serta berjalan mengikut perjalanan mereka dalam aqidah, ucapan dan amalan. Mereka juga beristiqamah dalam mengikut (sunnah) dan menjauhi bid’ah (munkarah). Mereka kekal, zahir dan didukung sehingga hari kiamat. Maka mengikuti mereka mendapat petunjuk sedangkan menyalahi mereka adalah kesesatan”.




Oleh yang demikian, menjadi kewajipan setiap umat Islam, baik datang dari mana arah sekalipun, biarpun dari bangsa dan warna kulit berbeza pun, wajib berpegang serta beramal dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beramal dengan sunnah bukanlah sebuah pilihan, bahkan sebaliknya sebuan tuntutan kewajipan. Sesiapa yang mengikuti selain dari apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, nescaya ancaman hebat menanti. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud :

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir Ibn Kathir, menjelaskan bahawa menurut Ibn Abbas RA, ayat ini dan yang seumpama dengannya di dalam al-Quran adalah merujuk kepada arahan Allah terhadap golongan orang beriman agar sentiasa berada dalam jamaah dan menegah mereka daripada perselisihan dan perpecahan yang menyesatkan. Demikianlah apa yang boleh kita fahami daripada istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Berlawanan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, adalah mereka yang tidak menepati ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Sesungguhnya nama Ahli Sunnah Wal Jamaah bukanlah nama untuk di dagang, apatah lagi untuk ditunggang demi kepentingan diri. Tidak juga nama eksklusif parti atau NGO. Namun, sebaliknya, ianya adalah sebuah warisan yang tidak akan sesat selagimana kita masih bertaut padanya. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan