Khamis, 19 Oktober 2023

ISU PALESTIN : SOAL KEMANUSIAAN MERENTAS SEMPADAN

 

Konflik peperangan di bumi Gaza, Palestin telah mempunyai sejarah yang begitu panjang dan hampir lebih 6 dekad lamanya. Sejak 15 Mei 1948, tertubuh sebuah negara haram Israel lalu bermula lah juga episod demi episod tidak berperikemanusiaan oleh Zionis, manusia yang bertopengkan syaitan dan iblis. Nukilan sejarah moden Palestin telah menyatakan bahawa bumi Palestin telah jatuh ke tangan British bermula sejak tahun 1917 setelah kerajaan Turki Uthmaniyyah ditewaskan oleh tentera British. Sejurus 3 tahun kemudian, Liga Bangsa-bangsa Bersatu telah memberi mandat kepada British untuk mentadbir Palestin.

Pada bumi Palestin itu sendiri, terdapat padanya nilai sentimen orang Islam yang sangat begitu bernilai. Ianya merupakan tanah suci bagi seluruh umat Islam. Bumi Palestin telah menjadi saksi akan peristiwa Isra' dan Mikraj selain menjadi tempat kebanyakkan para Nabi diutuskan. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 1 yang bermaksud :

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari masjid al-Haram (di Makkah) ke masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”




Dalam memahami ayat ini, Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Munir, menyatakan bahawa masjid al-Aqsa di dalam surah ini adalah Baitul Maqdis. Dinamakan masjid al-Aqsa adalah disebabkan jaraknya yang jauh daripada masjidil Haram. Adapun, ia juga merupakan masjid yang paling jauh daripada ahli Makkah di atas muka bumi ini yang dituntut atau disyariatkan bagi kita untuk menziarahinya. Demikian tafsiran sekaligus menekankan kepada kita akan kepentingan mempertahankan khazanah sejarah umat Islam yang terpenting. Setelah 6 dekad lamanya, bumi Palestin masih berkonflik dengan mereka yang tidak punyai kewarasan, menghambat dan menghalau orang asal lalu menjadikan tanah tersebut tanah bapa mereka sendiri.

Perlu ditegaskan bahawa konflik Israel-Palestin ini tidak dibayangi oleh seteru agama semata-mata. Bahkan konflik yang sejak sekian lama berlaku ini telah merentasi soal agama, kaum dan keturunan. Ianya adalah soal perjuangan bagi manusia yang masih waras, menuntut bela dan mempertahankan segala yang telah menjadi hak mereka selama ini. Seperti lontaran pandangan oleh Azzam Tamimi, seorang aktivis politik, dalam laporan berita Astro Awani, beliau dengan lantang menegaskan bahawa disebalik pencerobohan Zionis terhadap Palestin, kita perlu membongkarkan ideologi perkauman dan agenda aparteid seperti yang pernah berlaku di Afrika Selatan. Dengan nada ketegasan, beliau menekankan soal ini bukanlah isu konflik dua negara, tetapi ianya isu manusia sejagat yang cuba dinormalisasikan oleh pihak Zionis untuk berlaku kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Episod kekejaman dan penindasan pihak Zionis terus bermaharajalela, memberi tekanan dan mencengkam kehidupan normal umat Palestin. Perbuatan kekejaman ini terus diberi perlindungan demi perlindungan dengan pelbagai nama sehingga lahirlah sebuah undang-undang untuk mencengkam umat Palestin iaitu Deklarasi Balfour yang telah diisytiharkan pada 2 November 1917. Deklarasi ini telah memberi restu oleh British kepada Israel bagi menubuhkan sebuah negara haram. Dengan tertubuhnya deklarasi ini, maka rakyat tempatan yang juga merupakan penduduk asal bumi Palestin diberikan tekanan dan sekatan, dihalau dan diusir keluar. Maka bukanlah sesuatu yang baharu apabila Amerika Syarikat menzahirkan sokongannya terhadap Israel kerana mereka juga telah mewarisi komplot jahat British-Israel yang tidak bertamadun.




Melalui pelbagai episod kekejaman Zionis ini, jelas membuktikan kepada kita bahawa mereka bukan sekadar berperang dengan tentera mujahidin Islam di bumi Gaza bahkan sebaliknya mereka turut berperang dengan sesiapa sahaja yang mempertahankan Palestin. Ini termasuklah dengan membunuh kanak-kanak dan orang tua, merogol anak-anak gadis, menyeksa kaum wanita dan pelbagai lagi aksi kesyaitanan mereka yang kita sendiri dapat melihatnya. Apalah dosa mereka anak-anak kecil yang tidak tahu-menahu, namun turut diheret menjadi mangsa korban kerakusan puak Zionis laknatullah. Perbuatan zalim yang terus-menerus ini jelas telah melanggar undang-undang antarabangsa. Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell, beliau menegaskan bahwa hak mempertahankan diri perlu dilakukan mengikut undang-undang antarabangsa dan bukannya menyerang kawasan penempatan awam secara membabi buta.

Kekejaman puak Zionis yang tidak berhati perut ini lebih jelas ditonjolkan dengan tindakan mereka memutuskan bekalan elektrik, air dan makanan ke Gaza umpama seperti genosid atau pembunuhan beramai-ramai. Kenyataan oleh Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant yang mengumumkan mengenai sekatan sepenuhnya untuk menghentikan makanan dan bahan api ke Gaza, jelas lagi terang memperlihatkan mereka sudah menentang norma kemanusiaan. Ini bukan lagi soal dua negara yang berseteru, tidak pula sekadar isu peperangan agama, tetapi telah melepasi garisan merah menyentap hak kemanusiaan merampas hak hidup dan sebagainya. Melalui episod tidak berkesudahan ini, kita telah didedahkan wajah sebenar Barat yang bertalam dua muka, yang dahulunya merekalah yang tersangat membela hak asasi kemanusiaan, namun apabila membabitkan isu ini, seperti telah pekak membisu dan membuta.

Kita sangat ternanti-nanti suara pejuang hak asasi manusia yang sungguh dipelopori oleh pihak Barat. Dimanakah praktiknya Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang telah sekian lama menjadi perlembagaan dunia Barat sejak diangkat pada tahun 1948. Sebanyak 30 fasal dalam deklarasi ini yang memberikan jaminan hak keadilan sosial, kebebasan hidup dan sebagainya. Pun begitu, deklarasi ini hanya tinggal sebuah pernyataan apabila isu Palestin tidak terbela. Sungguh, melihat rentetan siri konflik Israel-Palestin ini, seluruh warga dunia yang masih waras dan sedar, bersolidariti bersama Palestin meskipun berbeza agama dan budaya. Ini memberikan justifikasi kepada kita sesungguhnya konflik ini adalah konflik kemanusiaan yang tidak bertepian. Umat manusia seharusnya sedar dan bangkit menuntut keadilan bukan kerana Palestin semata-mata tetapi kerana kemanusiaan, tidak ada siapa yang terkecuali. Perjuangan solidariti ini adalah kerana kemanusiaan. Tidak ada sesiapa yang waras mampu meredai akan perbuatan kejam tidak bertamadun ini. Semoga Allah membantu kita membebaskan umat manusia di bumi Palestin dari cengkaman manusia bertuhankan syaitan laknatullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan