Isnin, 2 Oktober 2023

ORANG BUKAN ISLAM BACA AL-QURAN : BOLEH ATAU TIDAK ?

 

Dalam sesebuah organisasi, antara perkara terpenting untuk organisasi tersebut adalah peraturan atau undang-undang. Sesebuah organisasi yang hebat dan berjaya tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama ahlinya mematuhi peraturan atau undang-undang dalam sesebuah organisasi tersebut. Begitu juga sebuah kapal terbang yang ingin mendarat di lapangan terbang, mestilah terlebih dahulu mematuhi peraturan pendaratan dengan mendapatkan isyarat dari menara kawalan trafik. Jika tidak, pastinya kecelakaan besar akan menimpa. Demikianlah juga hidup sebagai umat manusia. Manusia memerlukan peraturan hidup bagi mengelakkan hal yang buruk berlaku.

Maka dengan sebab itu, Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai sebuah panduan lengkap untuk kehidupan umat manusia. Ianya bukan sahaja mengandungi bicara kepada orang-orang yang beriman bahkan terkandung juga seruan-seruan dan peringatan Allah kepada seluruh umat manusia tanpa mengira kaum dan agama. Pada al-Quran itu mengandungi pelbagai pengisian antaranya kisah umat terdahulu, panduan hukum halal dan haram, tegahan dan larangan, titah arahan dan suruhan, janji Allah akan ganjaran syurga dan azab neraka, dan lain-lain lagi yang menjadi panduan untuk kehidupan. Perkataan al-Quran adalah berasal dari bahsa Arab. Al-Quran merujuk kepada makna kalam Allah yang mengandungi mukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril, ditulis dalam mashaf, dipindahkan kepada kita secara berperingkat adan membacanya menjadi ibadah.




Persoalannya, apakah dibolehkan orang bukan Islam membaca, mempelajari dan berhujah dengan al-Quran ? Untuk menjawab persoalan ini, ianya letak duduknya pada niat dan tujuan bagi mereka yang melakukannya. Pada asasnya, tidak ada sebarang larangan atau tegahan yang jelas bagi melarang mereka yang bukan Islam daripada membaca, mempelajari dan berhujah sesuatu perkara dengan hujahan al-Quran. Ini kerana, pada al-Quran itu sendiri adalah petunjuk sebagai peringatan dan pengajaran bagi seluruh umat manusia. Hal ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Qamar ayat 22 yang bermaksud :

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?"

Ini menjelaskan kepada kita bahawa al-Quran itu sendiri adalah untuk umat manusia yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran. Oleh itu, al-Quran sebagai panduan umat manusia seharusnya disebar luaskan lagi untuk umat manusia mengenalinya, mempelajarinya seterusnya mengambil pelajaran daripadanya. Selain itu, dalam sejarah hidup baginda Nabi SAW, sebagai ketua negara, baginda pernah mengutuskan surat kepada Hercelus dengan menulis ayat al-Quran. Kisah panjang ini sepertimana yang tercatat dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, daripada Ibn Abbas RA, Abu Sufyan berkata :

"Kemudian diberikan surat Rasulullah SAW dan dibacakan, dan ternyata di dalam surat itu tertulis : Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Daripada Muhammad bin Abdullah dan pesuruh-Nya kepada Hercules; "Hai Ahli al-Kitab, marilah sama-sama kita menuju kepada kalimah yang sama antara kami dan kamu" (surah Ali Imran ayat 64).

Isi surat tersebut telah mengandungi ayat al-Quran dari surah Ali Imran ayat 64. Surat tersebut telah dibaca oleh Hercelus, seorang penguasa empayar Rom beragama Nasrani. Hercelus sendiri membacanya dihadapan utusan Rasulullah SAW dan tidak ada bantahan mahupun tegahan pun dikalangan sahabat Nabi untuk Hercelus tidak membaca ayat-ayat al-Quran tersebut. Ini sebahagian bukti atau dalil yang menunjukkan bahawa tiada larangan untuk orang bukan Islam membaca, mempelajari dan berhujah dengan al-Quran. Bahkan kita sebagai orang Islam seharusnya berasa berbangga apabila terdapat dikalangan orang bukan Islam yang mahu membaca al-Quran. Keadaan ini sekaligus membuka ruang untuk kita memperkenalkan intipati ajaran Islam sebenar.




Namun begitu, seandainya al-Quran dibaca, dipelajari dan dijadikan hujah oleh orang bukan Islam dengan niat bertujuan untuk menghina, menyindir atau memperlekehkan ajaran Islam, hal ini sama sekali ditegah dan dilarang. Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 65-66 yang bermaksud :

“Jika kamu bertanya kepada mereka, niscaya mereka akan menjawab, ‘Sungguh, kami hanya bersenda gurau dan bermain-main saja.’ Katakanlah, ‘Mengapa kepada Allah, ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kalian selalu menistakan? Kalian tidak perlu meminta maaf karena kalian telah kafir setelah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), niscaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa"

Berkata Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi dalam kitabnya , al-Mughni, ketika beliau menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa sesiapa sahaja mencaci Allah SWT sama ada secara gurau atau serius, dia telah kafir. Begitu juga mereka yang mengejek Allah, ayat-ayat Nya, para Rasul Nya atau kitab-kitab Nya. Selain itu, al-Qadhi Iyadh menegaskan bahawa ketahuilah sesiapa sahaja yang meremehkan al-Quran, mushafnya atau bahagian dari al-Quran, atau mencaci al-Quran dan mushafnya, maka ia kafir (murtad) menurut ijmak para ulama. Demikianlah ketegasan para ulama dalam mempertahankan al-Quran dari menjadi bahan jenaka, sindiran dan perolokkan. Larangan dan tegahan mempersendakan al-Quran ini bukan sahaja khusus kepada orang bukan Islam malah merangkumi seluruh umat manusia.




Satu hal yang mustahak juga berkaitan al-Quran, iaitu pentafsiran al-Quran. Secara umum, al-Quran tidak boleh ditafsirkan mengikut kecenderungan hawa nafsu manusia. Ianya perlu kepada metodologi penafsiran yang betul mengikut displin ilmu al-Quran. Oleh itu, dalam kita berhujah dengan hujah ayat al-Quran, kita mestilah terlebih dahulu memastikan pemahaman ayat tersebut berdasarkan penafsiran al-Quran yang tepat dan betul mengikut kaedah para ulama tafsir. Penafsiran al-Quran tidak sama dengan penafsiran kitab-kitab lain. Kerana padanya ada displin ilmu yang perlu diikuti. Maka kepada seluruh umat manusia, baik yang muslim atau yang bukan muslim, janganlah sesekali kita menafsirkan ayat-ayat al-Quran mengikut kecenderungan hawa nafsu demi kepentingan peribadi. Al-Quran bukanlah barangan untuk diperdagangkan. Ianya kalam Allah yang suci lagi dimuliakan.

Secara tuntasnya, orang bukan Islam dibolehkan untuk membaca, mempelajari apatah lagi berhujah dengan ayat-ayat al-Quran selagi ianya tidak berniat kepada kejahatan. Sesungguhnya al-Quran itu adalah panduan hidup untuk seluruh umat manusia. Tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama. Kita sangat mengalu-alukan kepada mereka yang bukan beragama Islam, yang berminat untuk membaca dan pelajari intisari ayat-ayat al-Quran. Mudah-mudahan melalui al-Quran, akan temui makna kepada sebuah kebenaran. Pun begitu, Allah SWT turut menyatakan larangan dan tegahan bagi sesiapa sahaja yang bergurau senda, menyindir atau memperolokkan ayat-ayat al-Quran termasuklah orang Islam dan orang bukan Islam. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan