Jumaat, 6 Oktober 2023

MENGENALI AHLUL BAIT DAN TUNTUTAN MEMULIAKANNYA

 

Setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini pastinya mewarisi salasilah keturunan dari generasi ke generasi berikutnya. Biarpun zaman silih berganti abad, dekad demi dekad berlalu, kita hari ini adalah pewaris susur galur keturunan tersebut. Zuriat keturunan merupakan suatu yang bermakna bagi mereka yang mendirikan rumahtangga. Anak-anak yang lahir tentunya bukan sahaja akan mewarisi generasi baharu bahkan turut mewarisi sifat dan rupa keturunannya. Inilah keunikan ciptaan Allah SWT yang mempunyai nilai besar untuk kita renungi sebagai hamba Nya. Kerana insan itu daripada tiada kepada ada, mewarisi generasi demi generasi membawa nama keturunannya. Sebaliknya Allah, tiada yang awal dan tiada yang akhirnya.

Hal ini termasuklah kehidupan baginda Nabi SAW yang mempunyai salasilah keturunan yang tersendiri. Baginda Nabi SAW berasal dari keturunan kaum Quraisy, iaitu dari Bani Hashim. Nenek moyang Nabi SAW bernama Kilab bin Murrah. Nabi Muhammad SAW telah wafat pada hari isnin tanggal 12 Rabiulawal tahun 11 hijrah. Baginda Nabi SAW telah meninggalkan keturunannya yang disebut sebagai ahlul bait. Perkataanahlul bait berasal dari bahsa Arab yang terdiri daripada 2 perkataan iaitu "ahlul" dan "bait". Menurut kamus Lisanul 'Arab, perkataan ahlul bait membawa maksud ahli keluarga, sanak saudara dan kaum kerabat. Selain perkataan ahlul bait, istilah lain seperti Syed, Sharifah juga gelaran yang merujuk kepada mereka yang berketerunan Nabi Muhammad SAW.




Melalui definisi tersebut, dapat kita fahami bahawa perkataan ahlul bait adalah merujuk kepada mereka yang berketerunan Nabi Muhammad SAW. Dalam meletakkan asas pemahaman ini, pertamanya kita harus mengenali siapakah yang termasuk sebagai golongan ahlul bait. Mendakwa bahawa berasal dari keturunan Nabi SAW tidak semudah itu sahaja. Ianya perlu di datangkan bukti yang kukuh sebelum mendakwa sesuatu tersebut. Maka dalam hal ini, golongan ahlul bait dapat kita bahagikan kepada beberapa golongan. Pertama, golongan ahlul bait disebutkan sebagai ahlul al-Kisa' (golongan yang diselubungi kain). Golongan ini telah disebutkan khusus oleh baginda Nabi SAW melalui sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Aisyah RA bermaksud :

"Baginda SAW keluar pada suatu pagi membawa sebuah kain (Kisa’) bersamanya; kain diperbuat daripada bulu berwarna hitam. Lalu, apabila Hasan Bin Ali datang kepadanya, baginda menyelubunginya dengan kain tersebut. Kemudian, Husain RA pula datang, baginda menyelubunginya bersama. Kemudian, datang Fatimah RA, Rasulullah menyelubungi pula. Terakhir sekali, Ali RA pula datang dan baginda menyelubunginya bersama. Lantas Nabi memetik ayat al-Quran, “Sesungguhnya Allah ingin membersihkan kamu semua; sebagai ahli bait daripada sebarang kekotoran dan menjadikan kamu semua suci-sesucinya” (Surah al-Ahzab, ayat 33).

Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa cucu baginda Nabi, Hasan dan Husain, anak baginda Nabi, Fatimah RA dan Ali Bin Abi Talib diiktiraf sebagai ahlul bait pertama yang juga disebutkan sebagai ahlul al-Kisa'. Selain itu, golongan kedua yang diiktiraf sebagai ahlul bait adalah para isteri Nabi SAW. Hal ini berpandukan kepada larangan Allah SWT terhadap isteri-isteri baginda Nabi daripada mengikut adat jahiliyyah dan berpakaian dan berhias. Sepertimana Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud :

"Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)."




Melalui ayat ini, dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir, Imam Ibn Kathir ketika menjelaskan maksud ayat tersebut menyatakan bahawa konteks ayat ini menunjukkan isteri-isteri Nabi SAW tergolong dalam kalangan ahlul bait bahkan sebab penurunan ayat ini dikhususkan untuk mereka. Selain itu, golongan yang ketiga diiktiraf sebagai ahlul bait adalah mereka yang dikalangan Bani Mutalib dan Bani Hashim. Ini kerana, majoriti para ulama berpandangan bahawa ahlul bait dilarang untuk menerima harta zakat. Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, Syarh Nawawi ala Muslim, bahawa susur galur keluarga Nabi SAW yang dilarang menerima harta zakat tersebut adalah dikalangan ahli keluarga Nabi dari susur galur Bani Hashim dan Abdul Mutalib.

Larangan ini juga adalah berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari, daripada Jubair Bin Mut'im RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Aku berjalan bersama Uthman Bin ʿAffan menuju ke Rasulullah SAW lantas kami berkata: Wahai Rasulullah, engkau berikan kepada kaum kerabat Mutthalib (1/5 harta rampasan perang Khaibar) sedangkan kami tidak dapat apa-apa pun! Bukankah kedudukan kami sama seperti mereka? Rasulullah SAW menjawab: Sebenarnya kerabat yang sama kedudukan dengan Bani Muṭṭalib adalah daripada kalangan kerabat Bani Hāshim"

Hadith ini menunjukkan bahawa selain kaum Bani Hashim dan Bani Muttalib, maka tidak layak untuk menerima harta rampasan perang. Jubair Bin Mut'im yang bertanya akan tentang agihan harta rampasan perang ini adalah mewakili Bani Naufal, dan mereka tidak layak menerimanya kerana mereka tidak tergolong dalam kalangan ahlul bait. Pembahgian harta rampasan perang ini juga berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 41, yang bermaksud :

"Ketahuilah bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu"




Untuk itu, bagi mengenali mereka yang disebutkan sebagai ahlul bait adalah mereka yang terdiri dari ahlul al-Kisa', para isteri Nabi, anak-anak dan cucu-cucunya dan kaum kerabat Nabi daripada keturunan Bani Hashim dan Bani Muttalib. Bagi mereka yang mendakwa daripada keturunan Nabi, hendaklah didatangkan dengan bukti yang jelas dan tidak sekadar mendakwa semata-mata. Walau bagaimanapun, golongan ahlul bait mempunyai kedudukan yang mulia sekali. Kemuliaan di sini bukanlah bermaksud mulia pada diri mereka semata-mata tetapi mulia kerana datuk mereka adalah insan teragung, iaitulah Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, terdapat beberapa tuntutan untuk memuliakan ahlul bait ini.

Antara lain kita dituntut untuk berpegang teguh dengan ahlul bait sesudah kita berpegang teguh dengan al-Quran. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim yang bermaksud :

"Baginda SAW menganjurkan untuk berpegang dengan kitabullah, memberikan dorongan, anjuran, dan kHabar gembira (bila berpegang dengan kitabullah). Beliau bersabda lagi, “Ahlu baitku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah tentang ahlu baitku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah tentang baitku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah tentang ahlu baitku.”

Dalam lafaz hadith yang berlainan namun maksud yang sama, yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi yang bermaksud :

“Sungguh, aku meninggalkan pada kalian sesuatu yang bila kalian berpegang teguh dengannya, nescaya kalian tidak akan sesat sepeninggalku. Salah satu darinya lebih besar daripada yang lain, iaitu kitabullah, tali Allah yang terbentang dari langit ke bumi. Dan (yang lainnya adalah) ‘itrati, iaitu ahlul baitku"

Demikian tuntutan memuliakan ahlul bait dengan berpegang teguh padanya selagi tidak bercanggah dengan intipati ajaran baginda Nabi SAW. Pun begitu, memuliakan ahlul bait tidaklah bermakna kita perlu sehingga melampaui batas. Sesungguhnya kita memuliakan ahlul bait bukanlah kerana keistimewaan yang ada pada diri mereka sendiri tetapi kerana istimewanya baginda Nabi SAW. Maka, kemuliaan kita terhadap ahlul bait tidaklah bersifat mutlak. Selagi mana ahlul bait menjunjung tinggi sunnah baginda Nabi, maka selagi itulah kemuliaan kita untuk mereka, ahlul bait. Sebaliknya, jika apa yang dibawa oleh mereka bertentangan dan menyelisihi ajaran baginda Nabi, maka tidak ada lagi kemuliaan padanya. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan