Sesungguhnya agama Islam amat menitikberatkan soal penggunaan nama
yang membawa makna yang baik. Ini termasuklah bab memberikan gelaran-gelaran
yang baik. Selain menjaga salasilah keturunan yang baik, nama juga sangat
memainkan peranan penting untuk membina personaliti. Penggunaan nama yang baik
merupakan cerminan identiti dan akan mempengaruhi kehidupan kita. Nama atau
gelaran yang baik, bukan sahaja membawa kepada kesejahteraan di dunia bahkan
bermanfaat ketika menghadap Allah di hari akhirat kelak. Ini kerana Allah SWT
akan memanggil kita dengan nama yang disebut ketika di dunia dahulu.
Ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud,
baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat
dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama
kamu"
Berdasarkan maksud hadith ini, Imam al-Bahuti dalam kitabnya, Kasyaf
al-Qana' telah menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab ayah bagi
memilih nama yang elok dan baik untuk anak-anak mereka. Memilih nama yang elok
dan baik ini bukan sahaja membabitkan bayi yang baru lahir, bahkan seringkali
menjadi buah mulut atau polimik dikalangan mereka yang baru memeluk Islam, yang
sering disebutkan sebagai saudara baru atau muallaf. Jadi, acapkali menjadi
dilema juga kepada mereka yang baru memeluk Islam ini untuk membuat keputusan
sama ada mahu menukar atau mengekalkan nama lama. Sudah pasti menjadi persoalan
utama, adakah wajib tukar atau sebaliknya boleh dan harus mengekalkan nama yang
sedia ada.
Untuk menjawab persoalan ini, pertamanya, berdasarkan penelitian
nas-nas syarak, hukum menukar nama adalah bergantung kepada beberapa keadaan
tertentu. Maka para ulama meletakkan hukum yang berbeza berdasarkan situasi dan
keadaan yang berlainan. Antara lain, hukum dan keadaan tersebut, para sarjana
Islam bersepakat menyatakan adalah hukum wajib menukar nama asal mereka yang
mengandungi unsur kekufuran, kesyirikan dan menyaingi nama Allah SWT. Hal ini
berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, baginda
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya sehina-hina nama di sisi Allah ialah seorang
lelaki yang bernama Malik al-Amlak (Raja segala raja)".
Dalam keadaan kedua, adalah sunat menukarkan nama asal, selain
nama-nama yang diharamkan Allah, yang mengandungi makna dan maksud yang tidak
elok. Ini bermakna, selain nama-nama yang haram yang wajib ditukar, ada juga
sesetengah nama yang tidak sehingga haram namun membawa maksud yang tidak baik.
Meskipun begitu, adalah menjadi hak individu tersebut sama ada mahu menukar
ataupun tidak. Tiada paksaan dan ianya adalah pilihan individu tersebut.
Sepertimana yang pernah terjadi di zaman Nabi SAW. Dalam sebuah hadith riwayat
Bukhari, daripada Sa'id al-Musayyib daripada bapanya yang bermaksud :
"Bahawasanya bapanya telah datang kepada Nabi SAW lalu baginda
bertanya : Siapakah namamu ? Jawab beliau Hazn (dukacita). Sabda Nabi : Engkau
Sahl (mudah). Jawabnya : Aku tidak akan mengubah nama yang diberikan kepadaku
oleh bapaku. Kata Sa'id al-Musayyib : Selepas itu kami terus-terusan dirundung
kesedihan"
Berdasarkan hadith ini, baginda Nabi SAW telah mendiamkan (taqrir)
perbuatan seorang sahabat Nabi yang tidak mahu menukar namanya malah
mempertahankan nama tersebut. Ini juga telah menjadi isyarat bahawa tidak ada
paksaan bagi mereka yang tidak mahu menukar nama yang pada asal nama tersebut
membawa maksud yang tidak baik. Perbuatan mendiamkan itu telah menunjukkan
bahawa sunat untuk menukar dalam keadaan yang demikian. Selain itu, dalam
keadaan lain, adalah harus untuk menukar nama yang telah baik maknanya kepada
nama yang membawa makna lain yang lebih baik dari sebelumnya. Keadaa seperti
ini adalah harus. Adapun berlawanan dengan keadaan ini, nama yang baik mahu
ditukar kepada makna yang buruk atau tidak baik, maka hukumnya adalah makruh.
Begitu juga hukumnya adalah haram bagi sesiapa yang menukar namanya kepada nama
yang dilarang dan diharamkan oleh Allah SWT. Demikianlah hukum menukar nama
berdasarkan keadaan dan situasi yang berbeza.
Satu hal lagi, selain menukar nama sendiri kepada nama yang lebih
baik dan indah maknanya, adalah mustahak juga untuk kita fahami hukum berkaitan
menukar nama bapa. Ini juga seringkali menjadi perbualan hangat dikalangan
masyarakat. Lazimnya, para muallaf atau saudara baru memilih untuk menukarkan
ke bin/binti Abdullah. Berdasarkan perbahasan para ulama dalam kitab Fatwa
al-Lajnah ad-Daimah, tidak ada sebarang dalil yang menyuruh para muallaf
menukar nama bapanya. Adapun pilihan hukum menukar nama yang telah disebutkan
tersebut adalah setakat nama sendiri sahaja tanpa membabitkan nama bapa. Ini
terbukti sebagaimana pada zaman Nabi SAW, pertukaran nama hanya pada nama
sahabat sahaja tanpa mengubah nama bapa mereka. Misalnya, nama Ali bin Abu
Talib, Umar Ibn Khatab, Bilal bin Rabah dan Utbah bin Abu Lahab.
Maka dalam Islam, tiada sebarang tuntutan perintah untuk menukar
nama bapa. Bahkan dilarang keras dan ditegah oleh baginda Nabi Muhammad SAW.
Hal ini jelas sepertimana yang terkandung dalam sebuah hadith riwayat Bukhari
dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Barangsiapa yang mengaku anak dari selain ayahnya, padahal
dia tahu bahawa yang diakuinya itu bukan ayahnya, maka haram baginya
syurga".
Jelas kepada kita, ditegah dan dilarang keras sama sekali untuk
menukar nama bapa. Ini sekaligus menunjukkan bahawa memasuki Islam bukanlah
bermakna memutuskan hubungan kekeluargaan. Malah, Islam sangat menuntut kita
semua untuk berlaku adil dan berlaku ihsan kepada mereka yang tidak memerangi
Islam. Islam amat menitikberatkan soal memelihara nasab keturunan meskipun
berbeza agama, budaya dan kaum. Demikianlah keluhuran intipati ajaran Islam.
Agama Islam diturunkan bukan bertujuan untuk menghukum umat manusia, sebaliknya
menyelamatkan manusia daripada terjunam ke lembah kebinasaan. Oleh kerana itu,
melalui syariat Allah, kita akan menjadi baik dan mulia, bukan kerana bangsa
atau keturunan, sebaliknya kita mulia kerana agamanya, iaitu Islam. Semoga
Allah merahmati dan mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan