Rabu, 20 September 2023

BULAN RABIULAWAL : ANTARA SUKA DAN DUKA

 

Rabiulawal merupakan bulan ketiga berdasarkan perkiraan kalendar tahun hijrah yang juga telah diasaskan oleh Saidina Umar al-Khattab, khalifah kedua Islam sesudah Saidina Abu Bakar as-Siddiq memerintah. Pada bulan ini, terdapat pelbagai lakaran sejarah dan peristiwa bermakna bagi orang Islam. Antara yang dicatatkan pada bulan Rabiulawal itu adalah berlakunya peristiwa hijrah kedua terbesar orang Islam bersama baginda Nabi SAW ke Madinah. Berdasarkan catatan sejarah seperti yang dinukilkan oleh tokoh sejarawan Islam, Syeikh Safiyyur Rahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya, Ar-Rahiq al-Makhtum, baginda Nabi SAW telah keluar dari rumah di Mekah pada hujung bulan Safar dan tiba di Madinah pada 12 Rabiulawal.

Selain itu, pada bulan Rabiulawal, telah berlakunya dua peristiwa besar yang membabitkan perasaan suka dan duka. Peristiwa tersebut ialah hari kelahiran dan kewafatan Nabi SAW. Tarikh kelahiran Nabi seperti yang dicatatkan oleh para sejarawan Islam, para ulama berbeza pandangan dalam penetapan tarikh kelahiran baginda Nabi SAW. Dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, kita lebih sinonim dengan pandangan yang menyatakan tarikh pada 12 Rabiulawal. Ini juga sebahagian pandangan para ulama seperti Ibnu Ishaq, Ibnu Abi Syaibah dan selainnya. Sebahagian yang lain seperti Ibn Abd Al-Barr yang diriwayatkan oleh al-Waqidi menyatakan bahwa pada 2 Rabiulawal. Selain itu, Syeikh Safiyyur Rahman al-Mubarakfuri menyatakan tarikh kelahiran baginda Nabi pada 9 Rabiulawal dan berdasarkan riwayat yang kuat, tarikh 9 Rabiulawal ini dilihat lebih tepat berdasarkan perkiraan falak. Pandangan ini juga turut disokong oleh Allamah Mahmud Basya al-Falaki al Misri, tokoh falak terkenal.




Persoalan besar mengapa terdapat banyak perbezaan dalam menentukan tarikh sebenar kelahiran baginda Nabi SAW, hal ini terjawab disebabkan beberapa faktor antara lainnya adalah kerana pada waktu fasa hidup baginda Nabi, para sahabat tidak pernah meraikan tarikh kelahiran baginda Nabi. Walaupun mereka terdiri daripada kalangan sahabat Nabi yang diredhai Allah, bahkan dijamin pula kedudukan di syurga, mereka sama sekali tidak pernah merayakan atau menyambut hari kelahiran baginda Nabi dengan sambutan tertentu. Juga sewaktu perbincangan mengasaskan kalendar hijrah, Umar al-Khattab telah menolak cadangan untuk memilih tahun kelahiran Nabi sebagai permulaan perkiraan tahun hijrah. Ini semua bukanlah bermaksud para sahabat tidak mencintai dan mengasihi baginda Nabi, tetapi lebih mustahak dan utama adalah mengikuti sunnah baginda rasul dan tidak sekadar meraikan semata-mata tanpa penghayatan sebenar.

Lahirnya baginda Nabi SAW ke dunia telah membawa kegembiraan kepada Abdul Mutalib dan seluruh keturunan Bani Hasyim. Direkodkan dalam catatan sirah, selepas ibu baginda Nabi, Aminah, melahirkannya, ibunya menghantar baginda kepada datuknya Abdul Mutalib dan menyampaikan berita gembira tentang kelahiran baginda Nabi. Sejurus itu, Abdul Mutalib dengan penuh kegembiraan, membawa cucunya, baginda Nabi memasuki Kaabah, lalu dia berdoa dan memilih nama Muhammad untuk cucunya itu. Nama "Muhammad" yang diberikan oleh Abdul Mutalib adalah suatu nama yang tidak biasa dikenali dalam masyarakat Arab. Setelah itu, pada hari ketujuh kelahiran baginda, Abdul Mutalib mengkhatankan baginda seperti yang biasa dilakukan oleh orang Arab. Betapa gembira dan bersyukurnya Abdul Mutalib menyambut kelahiran Nabi SAW.

Pada bulan yang sama, tercatat juga peristiwa duka bagi umat Islam, iaitu kewafatan Nabi SAW. Para ulama telah bersepakat tanpa berlaku perbezaan pandangan, tentang bahawa baginda Nabi SAW telah wafat pada hari isnin 12 Rabiulawal tahun ke-11 hijrah. Catatan sirah menyatakan bahawa baginda Nabi SAW telah wafat di dalam pangkuan isterinya, Aisyah pada waktu dhuha. Kesedihan dan kehibaan telah dirasai oleh seluruh umat Islam pada ketika itu. Sehingga ad-Darimi merekodkan dalam kitab al-Misykat al-Masabih perkataan yang diungkapkan oleh Anas bin Malik yang bermaksud :

"Aku tidak pernah melihat hari yang paling baik dan cerah daripada hari Nabi Muhammad SAW menemui kami dan aku tidak melihat hari yang paling buruk dan gelap daripada hari kematian baginda"




Ucapan jujur dan ikhlas yang terbit dari mulut seorang yang setia khidmatnya kepada baginda Nabi, menggambarkan kepada kita betapa dukacita dan pilunya umat Islam apabila menerima perkhabaran kewafatan Nabi SAW pada tarikh 12 Rabiulawal ini. Kita ketahui bagaimana sikap Umar al-Khattab yang seakan tidak percaya bahawa baginda Nabi telah wafat, hampir saja Umar al-Khattab hendak memancung kepala sesiapa yang mengatakan Nabi telah wafat. Namun, Abu Bakar as-Siddiq telah menyelamatkan keadaan dengan menenangkan Umar lalu berucap dihadapan orang ramai dengan mengungkapkan :

"Sesiapa sahaja dalam kalangan kamu yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad sudah mati. Sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah hidup dan tidak mati"

Dalam keadaan pilu, Abu Bakar telah membacakan firman Allah SWT, surah Ali Imran ayat 144 yang bermaksud :

"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)."

Demikian bagaimana keadaan suram dan muramnya umat Islam berdepan dengan realiti kewafatan manusia agung, Muhammad SAW. Pada bulan Rabiulawal inilah, suatu detik yang memisahkan jasad dan roh baginda Nabi dengan umat Islam. Tetapi itu semua tidak dapat menghalang mengalirnya perasaan kasih dan sayang terhadap baginda. Adapun soal menyambut maulid, semasa riwayat hidup baginda Nabi SAW, tidak ada satu cara atau sambutan khusus pun yang ditunjukkan oleh baginda Nabi dan ini jugalah sebab mengapa para sahabat tidak menyambutnya. Apa yang lebih mustahak bagi umat Islam adalah soal pengisian ilmu untuk mengenali Nabi dan beramal dengan sunnahnya. Sesuatu ungkapan cinta, kasih dan sayang terhadap Nabi SAW tidak cukup untuk dianggap sebagai dalil atau tanda kasih melainkan perlu mempelajari, mengenali dan beramal dengan sunnah baginda Nabi SAW. Oleh itu, jadikan bulan Rabiulawal ini sebagai ruang dan peluang untuk kita lebih mengenali baginda Nabi dan sunnahnya. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan