Selasa, 5 September 2023

ISTERI BUKAN BARANG PERTUNJUKAN

 

Kejadian lelaki dan perempuan yang diciptakan oleh Allah SWT mempunyai rahsia dan hikmahnya yang tersendiri. Lelaki dengan tabiat ketegasan dan perempuan dengan fitrah kelembutan bukanlah sesuatu yang sia-sia. Kedua-dua sifat ini lazimnya menjadi fitrah dan lambang kelelakian dan keperempuanan. Maka tidak hairanlah apabila agama Islam meletakkan amanah yang begitu besar buat kaum lelaki yang bergelar suami bagi melindungi dan memelihara isteri dan anak-anak agar menjadi insan yang taat, patuh dan tunduk kepada Allah SWT. Untuk memimpin, sudah tentu memerlukan ketegasan yang luhur.

Lumrah ciptaan sifat lelaki yang tegas turut dimulialan oleh Allah SWT dengan dikurniakan amanah memimpin. Lumrah sifat kepimpinan bagi kaum lelaki ini telah terserlah dengan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 34 yang bermaksud :

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita dengan apa yang Allah lebihkan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain dan dengan apa yang dinafkahkan dari harta kamu.”

Ini jelas bermaksud para lelaki yang dikenali dengan tabiat ketegasannya dimuliakan oleh Allah SWT dengan amanah memimpin para wanita yang fitrahnya penuh dengan kelembutan dan kemanjaan. Ini dikuatkan lagi dengan apa yang disebutkan oleh Ibnu Abbas yang dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, Ibnu Abbas berkata bahawa darjat kelebihan yang disebutkan dalam firman Allah, suami mempunyai satu tingkatan kelebihan pada isterinya, mengisyaratkan dianjurkan lelaki untuk bergaul baik dan bersikap lapang terhadap isteri dalam hal harta dan akhlak.




Oleh itu, kaum lelaki yang terdiri daripada kalangan suami bukan sahaja bertanggungjawab untuk memenuhi keperluan pakaian, makanan dan tempat tinggal para isteri bahkan bertanggungjawab mendidik, menjaga serta memelihara maruah dan harga diri isteri. Perkembangan sosial pada hari ini telah menyumbang kepada trend yang tidak sihat atau tidak bagus untuk kerukunan rumahtangga. Melihat trend semasa kini dengan aksi tayang-menayang isteri tanpa mempedulikan soal hukum aurat dan halal haram, membuktikan betapa tidak sensitif kita terhadap hukum agama. Sebahagian mereka yang mengikuti trend ini beralasan bahawa ini antara bukti dan cinta kepada sang isteri dengan bangga menayang isteri dengan aurat terdedah sana-sini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud :

"Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka."

Berdasarkan pemahaman ayat ini, al-Raghib al-Asfahani dalam kitabnya, Mufradat Alfaz Al-Quran, telah menyatakan bahwa perumpamaan yang ditampilkan oleh al-Quran ini menggambarkan bahawa suami dan isteri itu mempunyai bertanggungjawab saling menutup keaiban dan saling memelihara maruah dan harga diri masing-masing. Jelas beliau, pakaian itu dijadikan sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua. Inilah yang dijelaskan oleh al-Raghib sebagai menekankan tentang kepentingan para suami untuk prihatin terhadap maruah dan harga diri isteri.

Melindungi maruah dan harga diri isteri bukan sahaja sekadar menjaga aurat, tetapi termasuklah juga tentang kerahsiaan hubungan intim suami isteri. Hal ini ditegaskan sendiri oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya di antara seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya."




Kecanggihan teknologi hari ini dengan pelbagai kemunculan aplikasi telah membuka banyak ruang dan peluang untuk kita berkongsikan sesuatu. Tanpa kita sedari, perkongsian gambar-gambar isteri yang mempertontonkan kecantikan dengan mendedah aurat sana-sini bukanlah suatu yang normal. Meskipun trendnya begitu, tetapi tetap matlamat tidak menghalalkan cara. Untuk berkongsi cerita kebahagiaan di laman media sosial, dengan menayang gambar sambil berpelukan suami isteri bukanlah sesuatu yang bermaruah. Bahkan, perbuatan seperti itu mampu membuka ruang iri hati dan dengki kepada kebanyakan manusia yang kita sendiri tidak boleh kawal dan tahu isi mereka.

Para isteri juga seharusnya di ingatkan bahawa tujuan utama berhias dan bersolek adalah untuk dipertontonkan kepada suami sahaja. Tidak untuk dipertayangkan kepada khalayak umum. Tekunilah firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud :

“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

Dalam memahami ayat ini, Imam al-Syaukani dalam kitab Fath al-Qadir, ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa al-Tabarruj (berhias/bersolek) ialah apabila seorang wanita menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya yang (sepatutnya) wajib untuk ditutupinya, yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian (syahwat) laki-laki. Demikian penafsiran Imam al-Syaukani. Ini juga bermakna pada zaman arab jahiliyah dahulu, para wanita berhias dan bersolek dengan sendirinya mereka merendahkan maruah dan harga diri sehinggalah Islam datang dan mengangkat martabat para wanita. Oleh itu, para suami dan isteri perlu lebih bijak dan berwaspada tatkala dalam keghairahan kita berkongsi gambar-gambar romantik supaya perkongsian tersebut tidak mengundang kemurkaan Allah SWT.






Seharusnya para suami perlulah mengambil penting kesedaran ini untuk memastikan agar kita tidak menjadikan isteri sebagai barang tayangan sana-sini. Para isteri yang punyai maruah diri pastinya tidak bermudah-mudah untuk berkongsikan kecantikkan dan keindahan diri melainkan untuk tatapan suaminya. Ini bukanlah bermaksud para isteri tidak boleh bersolek untuk keluar bekerja dan sebagainya tetapi berpada dan tidaklah melampau dalam berhias dan bersolek. Begitu juga ketika di alam maya, berwaspada lah dengan setiap perkongsian kita agar tidak mengundang kemurkaan Allah SWT. Kerana wanita itu berharga, maka sebab itulah perlu dijaga maruah supaya tidak dijadikan bahan tontonan orang ramai.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya"

Demikianlah peringatan Allah untuk para suami dan isteri. Adalah mustahak para suami menginsafi diri akan amanah besar ini bagi memelihara maruah dan harga diri anak isteri. Jangan jadikan kecantikan dan keindahan isteri sebagai bahan tontonan orang lain. Sudah tentu suami yang baik juga adalah bagi mereka yang prihatin akan soal ini. Juga kepada para wanita khasnya yang bergelar isteri, ingatlah bahawa cantik dan eloknya rupa paras ini hanyalah nikmat pemberian sementara oleh Allah SWT. Maka dengan itu, bersyukurlah akan segala pemberian nikmat ini dengan menjaga dan memelihara maruah kita. Jangan dibiarkan kecantikan ini dijadikan bahan eksploitasi orang lain. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan