Kasih sayang yang tercipta adalah suatu nikmat yang dikurniakan
oleh Allah kepada para hamba Nya. Empunya segala sifat kesempurnaan kasih
sayang hanyalah milik Allah. Kerana itu, kita akan dapati nama dan sifat Allah
antaranya adalah Ar-Rahim yang bermaksud Maha Pengasih dan Penyayang. Jika mahu
dilihat lagi, perkataan ar-Rahim berasal daripada perkataan "Rohima"
yang bermaksud kasih, sayang dan cinta. Sebab itu Allah kurniakan rahim kepada
kaum wanita sebagai tanda kasihnya ibu kepada anaknya. Demikian pula hamba Nya
yang dikurniakan sifat kasih, sayang dan cinta akan sesuatu. Melalui nikmat
perasaan kasih dan sayang ini, manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk
perjuangan kasih sayangnya terhadap sesuatu.
Dengan itu, suatu lumrah dan tabiat para manusia apabila terbentuk
sifat kasih dan sayang akan tanah airnya. Perasaan kasih dan sayang akan tanah
air telah menjanjikan taat setia pada negara, sanggup berkorban demi tanah air
tercinta. Sifat ini juga dikenali sebagai semangat patriotisma. Dalam madah
orang melayu, ada disebutkan tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat
bermain. Sesiapa pun tidak boleh menghalang sifat cinta akan tanah airnya
sendiri. Islam pada asasnya tidak melarang umatnya untuk mencintai tanah airnya
sendiri. Pun begitu, terdapat ungkapan yang masyhur yang disandarkan kepada
baginda Nabi SAW berkenaan cintai tanah air. Ungkapan tersebut bermaksud "mencintai
tanah air sebahagian daripada iman". Ungkapan ini bukanlah datang
dari Nabi SAW.
Sebahagian para ulama seperti al-Saghani dalam karyanya, al-Maudu'aat,
menyatakan bahwa hadith ini adalah palsu. Pernyataan ini turut disokong dan
dipersetujui oleh para ilmuan hadith seperti yang dinyatakan oleh Ali al-Qari
dalam kitabnya, al-Masnu' fi Ma'rifat al-Hadtih al-Maudu'. Dalam
komentar para ulama berkenaan hadith ini, sebahagian ulama ada yang menyatakan
makna hadith itu benar meskipun ianya palsu. Ini seperti yang dinukilkan oleh
Muhammad Tahir al-Fatani dalam kitabnya, Tazkirah al-Maudu'aat. Ini
bermakna, meskipun hadith tersebut palsu tetapi membawa makna yang baik dan
terpuji di sisi Islam. Namun begitu, Syeikh al-Albani menyatakan dalam
kitabnya, Silsilah al-Da'ifah wa al-Maudu'ah bahawa makna hadith ini
tidak betul kerana padanya, mencintai tanah air sama seperti mencintai nyawa,
harta dan sebagainya yang mana sifat ini sudah wujud pada insan. Tiada terpuji
jika mencintai tanah air.
Pada asasnya, Islam sangat memuji kepada para hamba Nya yang
berpegang kepada fitrah insani. Maka salah satu fitrah manusia itu sendiri
adalah mencintai, mengasihi dan menyayangi tanah air tempat tumpahnya darah.
Oleh itu, tidak salah untuk kita sebagai umat Islam memiliki sikap patriotisma,
mencintai tanah air selagi tidak melampaui batas. Demikian juga apa yang telah
ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW. Dalam catatan sejarah hidup baginda Nabi
SAW, baginda amat kasih dan sayang pada Mekah, tanah air Nabi SAW. Ini seperti
dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, ketika baginda Nabi SAW berjalan
meninggalkan Mekah, baginda telah melalui satu kawasan yang bernama Juhfah,
sempadan utara Mekah. Lalu baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Aku tidak temui negeri yang lebih baik dari engkau (wahai Mekah),
dan tidak ada negeri yang lebih aku sayangi dari Mekah. Kalaulah bukan kerana
kaummu (iaitu Quraisy) telah menghalauku, aku tidak akan tinggalkan negeri
ini.”
Ungkapan ini adalah bukti manifestasi cinta dan kasih sayang Nabi
SAW terhadap tanah airnya yang tercinta. Meskipun di Mekah, penduduknya telah
memperlakukan bermacam tekanan, menolak dakwah, mencaci dan menghina baginda
Nabi sehingga terpaksa berhijrah ke Madinah, namun sikitpun tidak dapat memadam
api asmara cinta dan kasih Nabi terhadap tanah airnya. Sejurus selepas
berhijrah, kecintaan Nabi terhadap Mekah masih mekar harum dan sentiasa
merindui Mekah. Malah, kecintaan Nabi terhadap Madinah pula semakin kuat
seperti cintanya terhadap Mekah. Ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah
hadith riwayat al-Bukhari, Anas bin Malik, pembantu baginda Nabi SAW pernah menceritakan
yang bermaksud :
“Sesungguhnya Rasulullah itu, sekiranya Baginda pulang dari satu
perjalanan yang jauh, apabila sampai sahaja di Madinah dan ternampak anak-anak
tangga Madinah, (atau dinding-dinding rumah di Madinah) Baginda akan menggesa
untanya supaya berjalan cepat, seakan-akan rindu untuk sampai di Madinah.”
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fathul Bari,
ketika menjelaskan hadith ini, beliau menyatakan bahawa sikap Rasulullah SAW
ini memberikan kepada kita suatu gambaran bahawa tidak salah mencintai negara
apatah lagi tempat tersebarnya dakwah Islam. Beliau juga menyatakan hadith ini
menunjukkan mengenai kelebihan Madinah dan keharusan mencintai negara dan
sayang kepadanya. Demikian ulasan Imam Ibnu Hajar. Kecintaan terhadap tanah air
bukan sahaja apa yang ditunjukkan oleh baginda Nabi, bahkan dikalangan para
sahabat juga turut mencintai dan merindui Mekah. Antaranya yang terkesan dengan
kerinduan Mekah ialah Bilal bin Rabah, seorang hamba abdi ketika di Mekah.
Kecintaan dan kerinduan Bilal terhadap Mekah sehingga beliau jatuh sakit.
Apabila baginda Nabi SAW mengetahui akan hal ini, maka baginda berdoa seperti
dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim, yang bemaksud :
“Ya Allah! Jadikanlah cinta kami kepada Madinah seperti cinta kami
kepada Mekah, ataupun lebih dari itu”
Lihatlah bagaimana baginda Nabi dan para sahabat amat mencintai
Mekah, yang merupakan tempat tumpahnya darah. Walaupun baginda Nabi terpaksa
berhadapan dengan penduduk Mekah, meskipun terpaksa berperang dengan penduduk
Mekah, keadaan itu sedikitpun tidak dapat memadamkan perasaan cinta dan kasih
Nabi terhadap bumi Mekah yang merupakan tempat tanah air tercinta. Begitulah
kecintaan dan kerinduan Nabi SAW dan para sahabatnya terhadap tanah air
tercinta. Jelas bahawa Islam tidak menghalang kita daripada bersifat cinta akan
tanah air. Pun begitu, dalam keharusan tersebut, kita juga perlu diingatkan
untuk berwaspada dengan sikap asabiyah yang akan lahir kerana sikap melampau
mencintai tanah air. Sikap asabiyah ini boleh membawa mudarat besar sehingga
mewujudkan sikap berpuak-puak untuk menghalalkan sebarang bentuk kezaliman dan
penindasan terhadap orang lain.
Dalam hal ini, Nabi SAW telah mengingatkan kita pada sebuah hadith
riwayat Abu Daud, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :
”Bukan termasuk umatku siapa saja yang menyeru orang pada asabiyah,
bukan dari golongan kami orang yang berperang kerana asabiyah, dan bukan dari
golongan kami orang yang mati kerana asabiyah.”
Dalam hadith yang lain riwayat Ibnu Majah, baginda Nabi SAW ditanya
yang bermaksud :
“Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan
al-asabiyyah?, “Sabda Baginda : “Tidak, sebaliknya asabiyah itu ialah apabila
kamu menolong kaummu atas kezaliman.”
Demikianlah Islam dalam keterbukaan meraikan fitrah insani,
terdapat padanya ketegasan menghalang daripada menjadi melampaui batas. Agama
Islam difahami bukan sahaja dari sudut semangatnya bahkan melalui penghayatan
kesederhanaan dalam hidup. Terlalu mencintai tanah air sehingga mengancam
perpaduan, mencaci dan menghina agama lain, bukanlah tuntutan Islam. Malah
golongan seperti ini telah melampau atau melebihi batasan syarak. Sudah tentu
kita tidak mahu melihat budaya ini merasuki umat manusia dan mengundang
malapetaka besar terhadap kesejahteraan negara. Oleh itu, cintailah tanah air
kita dengan sifat kesederhanaan, saling menghormati dan bertolak-ansur pada hal
yang dibolehkan. Raikan perbezaan dan teguhkan persamaan. Sesungguhnya, sikap
patriotisma itu indah jika dihayati dengan sulaman syariat Allah. Semoga kita
semua dirahmati Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan