Rabu, 30 Ogos 2023

HOMOSEKSUAL : ANTARA NARATIF ILMUAN BARAT & PENDIRIAN ISLAM

 

Naluri manusia yang sukakan kepada suatu hubungan seksual adalah lumrah dalam kehidupan. Keistimewaan penciptaan manusia adalah terlahir dengan sifat fitrah ini. Kecenderungan umat manusia dengan tarikan seksual yang dimiliki adalah sesuatu yang fitrah. Oleh kerana itu, bagi meraikan fitrah semulajadi manusia yang cenderung kepada tarikan seksualiti tersebut, maka datanglah syariat perkahwinan dalam agama Islam. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 32 yang bermaksud :

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia Nya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurnia Nya), lagi Maha Mengetahui"

Demikianlah galakkan oleh agama Islam melalui wahyu Allah SWT untuk menghalalkan sesuatu perhubungan tersebut antara lelaki dan perempuan selari dengan naluri fitrah insani. Pun begitu, segelintir umat manusia masih teraba-raba mencari kehidupan yang sebenar dengan cara menentang fitrah tersebut. Dalam maksud yang lebih mudah, segelintir umat manusia cuba berkempen dan membela hak kebebasan umat manusia yang hidupnya menentng fitrah insani. Mereka ini tidak mempunyai tarikan atau kecenderungan berlainan jantina, sebaliknya mereka mempunyai kecenderungan tarikan seks sesama jantina, atau disebut sebagai homoseksual.




Perkataan "Homoseksual" sebenarnya adalah suatu istilah yang digunakan dalam bidang ilmu berkaitan identiti seksual. Selain heteroseksual (tarikan seks kepada berlainan jantina) dan biseksual (tarikan seks kepada kedua-dua jantina), homoseksual membawa maksud kecenderungan atau tarikan seks kepada sesama jantina. Sebahagian besar negara menggunakan istilah homoseksual ini untuk menggambarkan seseorang yang tertarik kepada sesama jantina dan tertumpu kepada seks semata-mata. Dalam Islam, homoseksual dikenali dengan sebutan al-Liwat iaitu hubungan sejenis lelaki dengan lelaki, dan al-Sihaq iaitu hubungan sejenis perempuan dengan perempuan.

Ini bermakna, homoseksual dalam pemahaman Islam terdiri daripada beberapa istilah seperti liwat dan al-sihaq. Al-Ramliy dalam kitab Mawsu'ah Fiqh Abi Bakr al-Siddiq ketika memberikan definisi al-liwat menyatakan bahawa perbuatan liwat adalah merujuk kepada perbuatan memasukkan zakar pada dubur lelaki atau perempuan. Sementara itu, Sayyid Sabiq dalam kitabnya, Fiqh al-Sunnah, menyatakan bahawa al-Sihaq adalah pergeselan kelamin di antara seorang perempuan dengan perempuan yang lain tanpa memasukkan sesuatu dalam faraj. Kedua-dua perbuatan ini adalah haram dan ditegah oleh agama Islam.

Dari sudut pandang Barat pula, homoseksual ialah seseorang yang melakukan hubungan seksual dengan sesama jenis, sama ada antara lelaki dengan lelaki lain yang dikenali dengan istilah gay, ataupun hubungan seksual antara perempuan dengan perempuan lain yang dikenali dengan istilah lesbian. Dalam hal ini, Blanch Consulting dalam satu artikelnya menyatakan bahawa istilah gay merujuk kepada seorang lelaki yang tertarik secara emosional, seksual atau fizikal terhadap lelaki lain. Manakala isitlah lesbian pula bermaksud seorang perempuan yang tertarik secara emosional, seksual atau fizikal terhadap perempuan lain. Namun begitu, di tengah-tengah antara gay dan lesbian tersebut, ada satu istilah yang disebut sebagai biseksual, iaitu seseorang yang tertarik secara emosional, seksual atau fizikal terhadap kedua-dua jantin, lelaki dan perempuan.




Bagi menghalalkan perbuatan homoseksual dikacata mata dunia khususnya kepada umat Islam, sebahagian besar ilmuwan muslim Barat seperti Kugle, Amreen Jamal dan Esack telah berusaha membawa suatu naratif baharu berdasarkan pemahaman tafsir ayat-ayat al-Quran. Melalui usaha kritikan mereka terhadap penafsiran ayat al-Quran, cubaan ini untuk menggambarkan bahawa sesungguhnya perbuatan homoseksual ini tidak ditegah dan dilarang dalam Islam. Antara kritikan mereka adalah berdasarkan ayat al-Quran dalam surah al-A'raf ayat 80-84 yang bermaksud :

"Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? (80) Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas (81) Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: "Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri (82) Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan (83) Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan" (84)

Berdasarkan ayat berikut, para ilmuan muslim Barat menyatakan bahawa sebab utama umat Nabi Lut diazab kerana ada unsur keganasan seksual (merogol), tidak melayan tetamu dengan mesra dan rompakan di tengah jalan. Bukannya kerana perlakuan homoseksual semata-mata. Selain itu, seorang pemikir ilmuan muslim Barat, Shannahan telah mempertikaikan jika hubungan seks sejenis sesama wanita diharamkan, mengapa ia tidak banyak disentuh dalam al-Quran khususnya ayat berkenaan azab ke atas umat Nabi Lut. Demikian pula menurut Abu Zayd, beliau berpandangan homoseksual adalah masalah genetik dan tidak wujud ayat khusus dalam al-Quran yang mengutuk perlakuan tersebut.




Hakikatnya, segala kekeliruan dan persoalan yang dibangkitkan ini telah lama dijawab dan dirungkaikan. Antaranya adalah seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Tabari dalam kitabnya Jam'al -Bayan'an Ta'wil Ayat al-Quran, ketika mengulas ayat 80-84 surah al-A'raf, beliau menyatakan bahawa ayat ini menerangkan Nabi Lut diutuskan kepada kaum Sodom yang melakukan perbuatan homoseksual sehingga Allah menghukum mereka. Imam al-Tabari juga menukilkan pandangan Ibn Abbas tentang dakwaan umat Nabi Lut dan pengikutnya sebagai orang suci iaitu suci daripada perbuatan homoseksual tersebut. Isteri Nabi Lut sendiri tidak terselamat kerana dia mengkhianati Nabi Lut dan kafir kepada Allah.

Selain itu, Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat 80-84 surah al-A'raf, perkataan al-Fahisyah pada ayat 80 adalah merujuk kepada menggauli sesama lelaki. Beliau juga menjelaskan bahawa homoseksual perbuatan yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana umat sebelum ini dan mereka diazab lantaran gabungan perbuatan keji tersebut dan mensyirikkan Allah SWT. Turut menyatakan pendirian sama, Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim. Beliau menukilkan riwayat bahwa al-Walid bin Abdul Malik pernah menyatakan bahawa seandainya Allah tidak menceritakan tentang kisah umat Nabi Lut, tentunya beliau tidak terbayang adanya perbuatan terkutuk itu. Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zilal al-Quran, menyatakan bahawa kisah umat Nabi Lut merupakan pendedahan kepada penyelewengan fitrah insan.

Demikianlah beberapa nukilan secara ringkas bagi menolak pemahaman Barat khususnya naratif batil yang cuba dibawa oleh ilmuan muslim Barat berkenaan perbuatan homoseksual dalam kehidupan. Jelas sekali, perbuatan ini tidak akan pernah di iktiraf oleh manusia yang bertamadun. Perbuatan homoseksual adalah suatu bentuk penyelewengan fitrah insan. Menyanggahi fitrah semulajadi adalah sesuatu yang tidak normal dan luar biasa yang terkutuk. Oleh itu, setiap diri manusia itu perlu kembali kepada titik rasional dengan melihat semula fitrah penciptaan manusia. Bukan sekadar emosi dan sentimen semata-mata. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan