Selasa, 8 Ogos 2023

KERANA LIDAH CERMINAN HATI

Ajaran agama Islam membawa intipati makna kesejahteraan dan kedamaian. Ini bukanlah bermaksud Islam mengajar kita untuk sentiasa berdamai sehingga dipijak dan dihina maruah dan harga diri . Pun begitu, kesejahteraan dan kedamaian yang juga datang dari perkataan Islam, menatijahkan suatu pandangan jelas bahawa Islam adalah suatu cara hidup yang menenangkan, mendamaikan malah jauh dari perkataan buruk dan jahat. Oleh sebab demikian, Islam sangat menitikberatkan soal perhubungan kita sesama insan agar tindakan kita tidak ada yang menyakiti mereka.

Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Musa Al-Asy'ari RA dia berkata, aku berkata :

"Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama ? Baginda menjawab, "Orang yang kaum Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya".

Berdasarkan hadith ini, seseorang muslim yang baik itu adalah dikalangan mereka yang menjaga dan memelihara pertuturannya dan perbuatannya dari menyakiti orang lain. Ini bermaksud, menjadi keutamaan dan kewajipan orang Islam untuk sentiasa berwaspada dengan pertuturan yang dihemburkan. Umum mengetahui, lidah adalah anggota penting buat umat manusia. Bukan sahaja untuk bercakap dan bertutur bahkan lidah juga berperanan untuk merasai keenakan dan kelazatan rezeki makanan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Anugerah lidah oleh Allah Azza Wa Jalla kepada umat manusia adalah merupakan satu ciptaan Allah yang unik. Keunikannya terletak kepada sifatnya yang tidak bertulang, tetapi apabila bertutur, kadang lebih tajam berbanding pisau.




Dalam kehidupan ini, manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kekhilafan. Keadaan ini juga membuktikan bahawa betapa lemahnya insan itu sendiri. Namun begitu, ianya bukanlah hujah untuk menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Seperti contoh, memfitnah, mencaci, memaki hamun dan seumpamanya. Apabila lidah sudah terbiasa mengungkapkan perkara yang tidak baik, ini bukan lagi soal kesalahan tetapi ianya adalah cerminan pada hati diri manusia itu sendiri. Dalam soal ini, baginda Nabi SAW tekan menekankan akan kepentingan menjaga hati. Ini kerana, sekiranya baik dan elok hatinya, maka akan keluarlah perkataan ungkapan yang baik dan elok pada pertuturannya. Sebaliknya, jika buruk dan kotor hatinya, maka akan keluarlah ungkapan yang buruk dan kotor pada pertuturannya.

Demikian apa yang telah dinyatakan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Nu'man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda :

"Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”

Melalui pemahaman hadith ini, maka tidak timbul lah soal "mulut jahat tapi hati baik". Kerana apa yang baik di hati maka akan baik lah juga pada seluruh jasadnya. Ungakapan yang terbit dari mulut adalah cerminan apa yang ada pada hati seseorang. Oleh itu, bagi sebahagian mereka yang beranggapan mencarut, bercakap kotor dan seumpamanya adalah tabiat kebiasaan sesetengah manusia atau adat kebiasaan seseorang, maka wajiblah mereka bermuhasabah dan memeriksa semula kesihatan hati mereka kerana dibimbangi terdapat kerosakan pada hati mereka. Sikap dan pendirian orang yang beriman itu pada asasnya adalah dengan selalu berwaspada dengan lidah. Ini kerana, lidah adalah satu ciptaan tidak bertulang tetapi boleh menikam lebih pedih dari tusukan pisau.

Dalam pada Islam mengajar umatnya untuk berwaspada dengab lidah, Allah SWT juga sangat benci kepada hamba Nya yang bercakap dan berperangai kotor dan tidak senonoh. Ini berdasarkan pada sebuah hadith riwayat Ahmad, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah tidak menyukai perbuatan yang keji atau Allah membenci orang yang bercakap kotor dan orang yang berperangai kotor."




Betapa hina mereka yang suka bercakap dan berperangai kotor sehingga dibenci oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, penting dan mustahaknya kita untuk memelihara pertuturan agar tidak di didik dengan kebiasaan bercakap kotor. Lebih malang dan parah lagi, apabila yang bercakap kotor itu pula adalah mereka yang berjuang atas nama agama Islam. Inilah malapetaka yang sungguh besar bagi umat ini. Pada zahirnya berpakaian soleh tetapi pada lidahnya penuh kata-kata dusta dan nista, cercaan, maki hamun dan sebagainya. Semuanya dihalalkan atas nama perjuangan. Walhal, agama tidak mengajar sedemikian rupa.

Sebagai orang Islam yang berprinsip, seharusnya menjauhi diri daripada menuturkan perkataan-perkataan berbaur fitnah, cercaan dan seumpamanya. Ini kerana, seseorang yang hidup diatas prinsip Islam yang membawa manifestasi sejahtera itu, pastinya ungkapannya membawa perdamaian dan keamanan. Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, mengingatkan kita untuk bercakap yang baik, jika tidak, adalah lebih baik berdiam diri. Sepertimana yang disabda oleh Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

Juga dalam hadith lain, riwayat al-Tirmidzi, daripada Abdullah Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Seorang mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar".




Demikianlah peringatan penting oleh baginda Nabi SAW berkenaan lidah. Sudah jelas kepada kita bahwa apa yang keluar melalui lidah, maka itulah cerminan pada hatinya. Sekiranya lidah ini sudah terbiasa mencarut, memaki hamun orang, gemar memfitnah, memperlekehkan, mengherdik dan seumpamanya lagi, maka periksalah hati ini dan perbaikilah dengan kembali kepada jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Sesungguhnya tidak ada yang akan kembali kepada Allah dengan tenang dan selamat melainkan dengan hati yang suci dan bersih. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah As-syu'ara' ayat 88 - 89 yang bermaksud :

"(Iaitu) di hari harta dan anak pinak tidak berguna lagi, kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sihat dan sejahtera"

Dengan mengambil sikap untuk insaf dan bermuhasabah, marilah kita sentiasa mengingatkan diri kita bahawa sesuatu yang hak tidak akan bercampur dengan yang batil. Sesuatu yang baik tidak akan berkedudukan sama dengan yang buruk. Kebenaran tetap kebenaran. Tidak ada yang boleh menenggelamkannya dengan kebatilan. Oleh itu, tidak ada istilah mulut jahat tapi hati baik. Kerana tidak mungkin yang benar akan bercampur dengan yang batil dalam satu-satu masa. Waspadalah dengan apa yang kita ungkapkan. Malu lah kita yang mendakwa berjuang atas nama Islam namun mulut tidak mencerminkan wajah Islam yang sebenar. Mudah-mudahan Allah berikan kita kekuatan untuk menghindari dari bercakap perkara yang kotor, jijik lagi tidak bermaruah ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan