Sabtu, 5 Ogos 2023

KEDUDUKAN ANJING DALAM ISLAM

 

Sesungguhnya agama Islam merupakan agama yang menuntut penganutnya untuk berlaku belas kasihan kepada sesama makhluk. Perbuatan belas kasihan ini tidak hanya terhad dan terbatas kepada sesama manusia sahaja bahkan kepada kehidupan lain termasuk tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Ini sepertimana yang terkandung di dalam al-Quran, firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 38 yang bermaksud :

"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)".

Menurut Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, Tafsir Ibn Kathir, ketika beliau mengulas ayat ini dengan menyatakan bahawa maksud daripada "umat-umat seperti kamu" di dalam ayat tersebut ialah makhluk-makhluk yang dicipta seperti kamu juga. Demikian ulasan Imam Ibn Kathir bagi menunjukkan kepada kita bahawa binatang dan haiwan juga dianggap umat seperti umat manusia juga. Maka bersifat belas kasihan sesama makhluk juga merangkumi kepada binatang dan haiwan juga. Juga agama Islam sangat menitikberatkan soal berbuat baik kepada binatang sekalipun untuk tujuan membunuh binatang tersebut. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan ke atas semua perkara. Apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan baik. Jika sekiranya kamu menyembelih, maka perelokkanlah sembelihan tersebut. Tajamkanlah alat sembelihan dan rehatkanlah haiwan sembelihan tersebut".




Oleh itu, berbuat baik dan berlaku ihsan kepada binatang adalah tuntutan utama dalam ajaran Islam. Tanpa mengira jenis binatang, Islam menuntut umatnya untuk berlaku ihsan atau berbuat baik kepada binatang. Ini lebih-lebih lagi berbuat baik kepada binatang peliharaan. Pun begitu, dalam agama Islam, terdapat hukum halal dan haram yang menjadi garisan merah yang perlu dipatuhi oleh umat Islam. Ini termasuklah berkenaan hukum membela dan menyentuh anjing. Pada asasnya, hukum membela anjing adalah tidak digalakkan atau sekurang-kurangnya makruh membela tanpa sebab keperluan. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

"Barangsiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing untuk berburu atau mengembala, maka akan dikurangkan daripada pahala hariannya sebanyak satu qirath".

Hadith ini juga menjadi sebahagian hujah dalam mazhab Imam As-Syafie di dalam bab hukum membela anjing sebagai binatang peliharaan di dalam rumah. Juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan patung"

Berdasarkan hadith ini, Abdul Qadir Ahmad 'Ata menerusi karyanya yang bertajuk Haza Halal.wa Haza Haram, beliau menyatakan bahawa antara sebab malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing ialah anjing merupakan binatang yang banyak makan benda-benda kotor serta mempunyai bau yang kurang menyenangkan yang tidak disukai oleh para malaikat. Sebahagian ulama lain pula ada yang berpendapat, bahawa hikmah dilarangnya memelihara anjing di rumah ialah apabila anjing itu menyalak, ia akan menakutkan tetamu yang berkunjung ke rumah.

Selain itu, Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari pula menyatakan bahawa :

"Ungkapan malaikat tidak akan memasuki rumah menunjukkan malaikat secara umum (malaikat rahmat, malaikat hafazah, dan malaikat lainnya)". Akan tetapi pendapat yang dikemukakan oleh Ibnu Wadhdhah, Imam Al-Khathabi, dan yang lainnya mengatakan : "Kecuali malaikat hafazah, mereka tetap memasuki rumah setiap orang kerana tugas mereka adalah mendampingi manusia sehingga tidak pernah berpisah sedetik pun dengan manusia. Sedangkan yang dimaksud dengan malaikat (yang tidak memasuki rumah yang mempunyai anjing) ialah malaikat rahmat (yang suka memohon keampunan untuk manusia) bukan malaikat hafazhah yang menjaga manusia".

Namun begitu, sekiranya terdapat keperluan atau kepentingan untuk membela anjing seperti dengan tujuan untuk menjaga kawasan ataupun dijadikan binatang untuk memburu, maka hukumnya diharuskan. Ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Tsa'labah al-Khasyni berkata :

"Aku pernah bertanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di kawasan berburu, aku berburu dengan anak panahku dan dengan menggunakan anjingku yang terlatih (yang diajar) serta anjingku yang belum terlatih, manakah yang dibolehkan untukku ?" Rasulullah saw menjawab: "apa yang telah engkau buru dengan anak panahmu dan engkau sebut nama Allah sebelumnya, makanlah. Dan yang telah engkau buru dengan anjingmu yang tidak terlatih, lalu kamu sempat menyembelihnya, maka makanlah".




Selain membela anjing, turut dibincangkan juga oleh para ilmuan Islam berkenaan hukum memegang atau menyentuh anjing. Anjing pada jilatannya dianggap najis dalam Islam. Ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Apabila seekor anjing minum di dalam bekas salah seorang kami maka hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan"

Namun begitu, haram memegang anjing semata-mata kerana dianggap najis bukanlah anggapan yang tepat. Ini kerana, jika anggapan ini benar maka sudah tentu kita juga tidak boleh memegang najis anak kita atau najis sesiapa sahaja ketika kita hendak membersihkannya. Lebih tepat adalah para ilmuan Islam berbeza pendapat berkaitan hukum memegang najis tanpa keperluan. Dalam kalangan para ilmuan, ada yang membolehkan memegang najis jika ada keperluan. Dalam keadaan tiada keperluan pula, sebahagian ada yang memakruhkan dan sebahagian lain pula mengharamkan.

Secara umum, para ilmuan Islam bersepakat bahwa menyentuh anjing yang kering tidak dikira najis. Ini kerana menyentuh anjing yang kering tersebut dikira tidak berlaku pemindahan najis kepada si penyentuh. Pun begitu, para ilmuan Islam berbeza pandangan berkenaan memegang anjing yang basah. Dalam kitab al-Fatawa al-Kubra nukilan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah, menyebutkan bahwa pada pandangan mazhab Syafie dan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali ialah anjing pada keseluruhannya adalah najis termasuk bulunya. Pada pandangan mazhab Malik pula, anjing kesemuanya bersih termasuk air liurnya. Manakala pada pandangan mazhab Hanafi dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad pula, bulu anjing itu bersih sementara air liurnya najis. Maka secara mudahnya, majoriti para fuqaha (ahli fekah) iaitu jumhur Mazhab Hanafi, Malik dan salah satu riwayat Mazhab Hanbali berpandangan menyentuh badan anjing tidak najis sekalipun basah. Tetapi pada air liur anjing telah berlaku perbezaan pendapat mengenainya. Demikianlah perbincangan hukum berkaitan dengan membela dan menyentuh anjing.




Umumnya, sekalipun Islam telah menyatakan hukum berkaitan menyentuh dan membela anjing, hal ini tidak sesekali membenarkan sebarang bentuk kezaliman dilakukan terhadap binatang yang bernama anjing. Islam tidak membenci anjing. Sama sekali tidak bermaksud untuk memperendahkan anjing. Bahkan dalam al-Quran melalui surah al-Kahfi diceritakan kisah pemuda al-Kahfi diiringi anjing ketika berjuang menghadapi rejim yang zalim. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 18 yang bermaksud :

“Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.”

Kerana menghilangkan dahaga seekor anjing juga, seorang pelacur dimasukkan ke dalam syurga. Sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu”

Oleh itu, Islam sama sekali tidak bermaksud membenarkan umatnya untuk berlaku zalim kepada anjing. Juga tidak bermaksud memperlekehkan anjing. Semua ini adalah sebahagian peraturan dalam beragama di dalam Islam sebagai tanda dan bukti cinta kepada Allah dengan melakukan ketaatan dan kepatuhan hanya kepada Nya tanpa berbelah bagi. Tanpa perlu mengetahui hikmah disebalik semua peraturan ini, umat Islam diajar untuk menyerah diri kepada Allah SWT kerana Dia lah yang lebih mengetahui akan segala-galanya. Semoga Allah mengampunkan kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan