Jumaat, 11 Ogos 2023

KEPERCAYAAN KEHIDUPAN SELEPAS KEMATIAN

 

Umum mengetahui bahawasanya dunia yang sedang kita diami ini adalah bersifat sementara dan akan berlaku kehancuran, kemusnahan yang meliputi segala makhluk yang melata di dunia ini. Hakikat yang mesti kita faham adalah dunia ini tidak ada yang kekal. Semuanya bakal dan akan menuju kepada kemusnahan dan kehancuran. Ini termasuklah seluruh umat manusia akan turut hancur dengan akan berdepan dengan sebuah kematian. Barangkali kita beranggapan bahawa kematian ialah penamatan kehidupan. Walhal, kematian adalah suatu transisi peralihan umat manusia dari alam dunia menuju ke alam akhirat.

Ini sepertimana firman Allah SWT dalam Ali Imran ayat 185 yang bermaksud :

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya".

Sesungguhnya kematian hanyalah sebuah perpindahan manusia dari dunia menuju ke alam lain. Ini bermaksud, selepas kematian di dunia, kita akan memasuki ke suatu alam lain yang disebutkan sebagai alam akhirat. Makanya, setelah mati akan adanya kehidupan selepas itu. Berkaitan berkenaan kepercayaan kehidupan selepas kematian, selain agama Islam, turut ditekankan dan dinyatakan oleh pelbagai agama lain di dunia ini. Setiap agama, masing-masing mempunyai kepercayaan yang tersendiri berkenaan kehidupan selepas kematian. Melalui setiap kepercayan yang ada ini, tentunya kita amat yakin bahawa kematian bukanlah penamat mutlak kepada sebuah kehidupan namun sebaliknya hanyalah sebuah perjalanan untuk menuju alam yang kekal abadi.




Menurut kepercayaan agama Hindu, mereka berpegang kepada konsep "Cyclical Religion" iaitu yang bermaksud kitaran semula. Bagi mereka, setiap individu yang telah meninggal dunia akan dilahirkan semula. Malah, proses kelahiran semula ino atau dikenali sebagai "Reinkarnasi" ini berlaku berdasarkan perlakuan individu tersebut semasa hayatnya. Ini bermakna, jika ketika hidup di dunia, individu tersebut melakukan kebaikan, maka dirinya akan dilahirkan semula dalam keadaan yang lebih baik. Sebaliknya, jika ketika hidup di dunia, individu tersebut melakukan keburukan, maka dirinya akan dilahirkan semula dalam keadaan yang lebih buruk. Selain itu, dalam kepercayaan agama Hindu juga, mereka percaya bahawa mereka akan dilahirkan dalam kasta yang lebih tinggi berbanding kasta mereka ketika di dunia.

Kepercayaan menurut agama Hindu tidak jauh bezanya pula dengan agama Buddha. Dalam kitab utama agama Buddha, Tripitaka (tiga bakul kebijaksanaan), terdapat begitu banyak pengaruh ajaran yang dibawa oleh golongan Brahmana, iaitu golongan cendekiawan yang berpecah dari ajaran Hindu. Oleh kerana ajaran Budhha lahir dan datang daripada pecahan ajaran Hindu, maka kita akan dapati banyak persamaan kepercayaan mereka dengan agama Hindu. Dalam soal kehidupan selepas kematian, mereka berpegang kepada konsep Samsara iaitu suatu konsep membawa maksud kitaran kehidupan secara berulang yang akan berterusan dalam proses kelahiran dan kematian. Begitu juga mereka turut mempercayai konsep "Karma" sepertimana yang digagaskan oleh agama Hindu. Selain itu, terdapat pula satu konsep kepercayaan yang paling tinggi untuk dicapai dalam agama Buddha iaitu konsep "Nirvana".

Nirvana merupakan suatu konsep kebebasan diri daripada nafsu, kejahilan, terhindar daripada penderitaan mahupun kitaran kelahiran semula. Konsep Nirvana ini hampir sama dengan konsep Mokhsa dalam agama Hindu. Menurut mereka, konsep Nirvana terbahagi kepada dua iaitu Nirvana sementara dan Nirvana yang kekal abadi. Peringkat Nirvana sementara boleh dicapai ketika hidup dan sebaliknya nirvana yang kekal abadi hanya boleh dicapai selepas kematian. Peringkat nirvana kekal abadi ini, mereka yang mencapai tahap tersebut akan dapat berdamping dengan Tuhan. Sesetengah Bikhu bermazhab Theravada beranggapan nirvana itu adalah Tuhan mereka. Maka seseorang yang telah mati dan dapat mencapai peringkat nirvana yang kekal abadi ini, akan dapat bertemu dan berdamping dengan Tuhan mereka sendiri.




Bagi agama Islam, kehidupan selepas kematian itu adalah benar dan inilah janji Allah SWT. Setelah manusia mati, dirinya akan berpindah ke alam barzakh (alam kubur) dan akan datanglah para malaikat atas arahan Allah untuk menyoal di alam kubur. Bagi manusia yang beriman, dirinya akan dapat menjawab soalan malaikat dengan tenang dan bagi manusia yang tidak beriman, pastinya akan ketakutan dan gerun apabila ditanya oleh malaikat. Maka setelah itu, seluruh umat manusia akan dihimpunkan untuk dihakimi oleh Allah. Firman Allah dalam surah al-Jatsiyah ayat 26 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menghidupkan kamu, kemudian Dia akan mematikan kamu, setelah itu Dia akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup semula) pada hari kiamat (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu)".

Demikian janji Allah kepada para hamba Nya untuk menghimpunkan umat manusia setelah kematian di dunia. Maka kehidupan setelah kematian adalah suatu alam yang kekal abadi tiada penghujungnya. Dalam pada itu, bagi agama Islam, pada kehidupan setelah kematian itu akan ditegakkan keadilan oleh mahkamah Allah. Segala amal perbuatan baik dan buruk, sama ada nilai perbuatan itu besar atau kecil, baik dalam keadaan tersembunyi atau terang-terangan, semuanya pasti akan dihitung dan dikira oleh Allah SWT. Tidak ada manusia yang akan terlepas pandang. Ketika itu, segala penyesalan tidak berguna lagi. Pengakuan keimanan kepada Allah sudah tidak diterima lagi. Akhirnya, setelah diadili oleh mahkmah Allah, umat manusia akan mendapat tempat akhirnya iaitu sama ada di syurga yang indah atau sebaliknya di neraka yang punah.




Secara asasnya, semua agama mempunyai kepercayaan berkenaan kehidupan setelah kematian. Namun bezanya adalah dari sudut kaedah dan pemahaman. Bagi agama Islam, tidak ada kehidupan di dunia setelah kematian. Islam amat menolak konsep Tanasukh al-Arwah atau disebut sebagai Reinkarnasi. Roh manusia yang telah mati di dunia tidak dapat pulang semula ke dunia. Tidak ada yang namanya kelahiran semula seperti yang dipercayai oleh sesetengah agama lain. Pun begitu, kehidupan setelah kematian adalah suatu ruang untuk umat manusia dibawa ke muka pengadilan yang mutlak, tiada lagi penyelewengan, kezaliman dan sebagainya. Ini kerana mahkamah Allah adalah yang paling adil dan bersifat mutlak. Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 114 yang bermaksud :

"Maka, apakah (pantas) aku mencari selain ALLAH sebagai hakim, padahal Dialah yang menurunkan Kitab (Al-Quran) kepadamu (dengan penjelasan) secara terperinci? Orang-orang yang telah kami anugerahi Kitab Suci mengetahui (bahawa) sesungguhnya (Al-Quran) itu diturunkan dari Tuhanmu dengan benar. Maka, janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu,"

Walau apapun, sebagai mnusia kita seharusnya sentiasa melakukan perubahan untuk menjadi insan yang lebih baik. Kerana yang baik itu tidak pernah sia-sia. Jika tidak dapat pengiktirafan di dunia, pastinya akan dibalas oleh Allah di akhirat kelak. Begitu juga sebaliknya, keburukan itu adalah penyesalan belaka. Jika tidak menyesal di dunia, pastinya tertunduk malu menyesal di hari akhirat. Marilah kita beriltizam untuk sentiasa menyebarkan kebaikan yang diredhai oleh Allah SWT. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan