Isnin, 11 September 2023

KONSEP KEPERCAYAAN TUHAN

 

Manusia dan hidup bertuhan adalah sesuatu yang bersifat fitrah. Meskipun segelintir manusia yang mempunyai pemikiran menafikan atau menidakkan kewujudan tuhan, selain mereka menolak akan ilmu metafizik, namun mereka yang dikenali sebagai ateis juga percaya akan sesuatu itu terbentuk atau terjadi dengan sendirinya dengan logik akal dan saintifik. Ini secara tidak langsung menggambarkan kepada kita secara alaminya jiwa dan nurani manusia itu pastinya tidak dapat lari daripada mempercayai dan menyakini sesuatu entiti yang berkuasa. Biar apapun nama fahaman yang dianuti tersebut, hakikat manusiawi yang tidak boleh dinafikan adalah naluri untuk hidup bertuhan dan mempercayai pada sesuatu yang memiliki kekuasaan.

Perbincangan mengenai ketuhanan ini telah sekian lama dibahas dan dibincangkan oleh umat-umat yang terdahulu terutamanya dari kalangan tokoh pemikir dunia Barat dan Islam. Ini seperti yang pernah disebutkan oleh al-Sharastani dalam kitabnya, al-Milal wa Nihal, beliau telah menukilkan ungkapan seorang tokoh falsafah agung Barat, Socrates, yang berpandangan bahwa Tuhan sentiasa ada dalam keadaan Dia sahaja. Apabila manusia cuba mencari sifat Nya dan membicarakan tentang Nya, maka manusia akan mendapati bahasa dan akal terbatas untuk menyifatkan Nya dan menjelaskan hakikat Nya. Selain Socrates, pendukung dan anak muridnya, Plato, juga telah menukilkan pandangannya tentang ketuhanan. Menurut Plato, Tuhan yang digambarkannya sebagai Demeiougos (Sang Pencipta). Beliau beranggapan bahawa dunia yang didiami ini hanyalah bayangan dan tidak kekal. Hanya yang nyata dan kekal ialah Tuhan.




Dalam soal mencari Tuhan, pola pemikiran manusia pastinya berubah-rubah dan berkembang selari dengan peredaran zaman. Maka dengan sebab itu, kita dapat lihat betapa percambahan idea-idea perbahasan mengenai Tuhan menjadi semakin rumit dan sukar untuk difahami. Ini kerana penelitian berdasarkan sudut pandang falsafah adakalanya membuntui kita tanpa kita kembali berpegang kepada ketulenan wahyu umat manusia, al-Quran dan hadith Nabi SAW. Maka dengan demikian, kita dapat melihat bagaimana Islam datang dan dengan kehendak Allah jua, telah mengeluarkan manusia dari menyembah batu berhala ciptaan manusia kepada menyembah Allah, pemilik sebenar segala apa yang ada di langit dan di bumi.

Pada hakikatnya, Islam adalah satu-satunya agama yang diturunkan oleh Allah kepada para hamba Nya. Pun begitu, kewujudan kepelbagaian agama-agama selain Islam adalah berpunca dari pengalaman peribadi individu dan juga kesan dari perbahasan berkenaan ketuhanan yang dibincangkan dari pelbagai sudut, baik dari sudut falsafah, sains, ekonomi, sosial mahupun teknologi, semuanya telah mewujudkan kepercayaan baharu yang disebutkan sebagai agama. Oleh itu, kita juga akan melihat kepelbagaian bentuk kepercayaan ini dibina dan diasaskan berdasarkan kepada perbahasan dan pengalaman yang dialami oleh mereka sendiri. Secara mudah, boleh kita fahami dengan sesungguhnya bahawa selain agama Islam yang diturunkan oleh Allah, kewujudan agama-agama lain adalah manifestasi manusia yang mereka cipta sendiri ajaran baharu berasaskan kepada penelitian dan perbahasan yang dibuat.

Secara asas, konsep ketuhanan boleh dibahagikan kepada tiga bentuk, iaitu Monoteisme, Politeisme dan Ateisme. Perkataan Monoteisme adalah merujuk kepada makna mempercayai Tuhan itu satu atau tunggal. Kepercayaan ini dipegang oleh agama seperti Islam, Yahudi dan Kristian. Istilah Politeisme pula berlawanan maksud dengan Monoteisme. Ianya membawa maksud kepercayaan akan banyaknya Tuhan. Kepercayaan ini amat sinonim dengan agama Hindu. Ini kerana pada kepercayaan orang Hindu, terdapat suatu konsep yang disebut sebagai "Trimurti" yang membawa makna dewa-dewa jelmaan Tuhan dalam tiga bentuk iaitu Brahma, Vishnu dan Siva. Selain itu, istilah Ateisme pula merujuk kepada golongan yang mengingkari akan kewujudan Tuhan. Berasaskan logik akal dan saintifik, mereka percaya bahawa alam ini berlaku dan bergerak dengan sendirinya.




Agama Hindu antara agama tertua di dunia pada asasnya mereka mempercayai akan konsep Tuhan yang satu atau disebut sebagai Monoteisme. Pun begitu, mereka juga turut memiliki kepercayaan bahawa Tuhan itu lebih dari satu berdasarkan konsep Trimurti. Trimurti merujuk kepada tiga watak utama dewa jelmaan Tuhan iaitu Brahma (Maha Pencipta), Vishnu (Maha Melindungi) dan Siva (Maha Pemusnah). Selain itu, dalam amalan kepercayaan mereka juga, terdapat berjuta-juta lagi dewa dengan nama tertentu yang dianggap mempunyai kuasa tersendiri. Malah, menjadi kepercayaan mereka juga bahawa Tuhan boleh menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa. Ini bermaksud, semua boleh jadi Tuhan. Konsep ini disebut sebagai "Panteisme". Kerana itu, kita dapat melihat bagaimana orang Hindu sangat memuliakan lembu kerana pada mereka, lembu itu adalah jelmaan Tuhan yang dikurniakan untuk manusia mengambil banyak manfaat darinya.

Berbeza dengan agama Hindu, agama Budhha yang lahir dari pecahan agama Hindu dibina diatas banyak kepercayaan falsafah, tradisi budaya dan amalan rohani yang sebahagian besarnya dikaitkan dengan ajaran Gautama Buddha. Konsep ketuhanan dalam agama Buddha boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu pertama, mereka yang langsung tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Kedua, mereka yang mempercayai Tuhan tetapi tidak ada konsep yang jelas seperti ajaran Konfusian (Cina) dan ketiganya, mereka yang mempercayai Tuhan dengan konsep yang jelas seperti ajaran Theravada (Siam). Walau bagaimana pun, kebanyakan intipati utama ajaran Buddha adalah lahir dari falsafah hidup dan tradisi ritual rohani.




Agama Yahudi juga antara agama tertua yang mempunyai konsep kepercayaan Tuhan yang tersendiri berdasarkan sepuluh hukum kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa. Bagi orang beragama Yahudi, mereka berpegang kepada konsep Monoteisme, iaitu mempercayai akan kewujudan Tuhan yang satu. Mereka memanggil Tuhan mereka dengan nama Yahweh atau Elloh. Selain itu, mereka juga turut mempercayai bahawa Tuhan telah mengutuskan para Nabi dan Rasul untuk mereka. Persis agama Yahudi, agama Kristian atau disebut Nasrani juga tidak jauh bezanya. Bagi agama Kristian, mereka mempercayai bahawa Tuhan itu satu. Pun begitu, mereka juga percaya kepada konsep Triniti iaitu merujuk kepada tiga bentuk jelmaan Tuhan. Tiga jelmaan tersebut dikenali sebagai Tuhan anak (Jesus), Tuhan Bapa dan Roh Suci.

Bagi agama Islam, Tuhan adalah satu. Pada Nya terkandung segala sifat dan nama yang terpuji lagi mulia dan suci. Bagi Nya juga tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Allah juga tidak memiliki anak, dan yang terpenting sekali, tidak serupa seperti para makhluk Nya. Allah itu Tuhan yang Maha Tinggi, Maha Sempurna dengan sifat dan nama Nya, tiada yang awal dan akhir. Meskipun tidak ternampak secara zahir, namun Allah sangat dekat pada hamba Nya yang benar-benar taat dan patuh. Allah tidak boleh digambarkan dengan melukis atau mengukir bentuk rupa paras. Kerana Allah langsung tidak sama seperti makhluk Nya. Sebab itu, jika kita amati, orang Islam menunaikan solat menyembah Allah dengan mengadap arah kiblat dan bukannya menyembah tunduk dan taat pada Kaabah. Demikian lah Allah, Tuhan untuk seluruh alam. Semoga Allah memberikan kita bimbingan kearah jalan yang lurus lagi diredhai oleh Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan