Kehidupan di dunia adalah sesuatu yang bersifat sementara. Ini
bermakna, segala isi dunia baik yang berada di bumi mahupun di langit, semuanya
tidak akan ada yang kekal selamanya. Semuanya pasti akan menuju kepada yang
namanya kehancuran. Gunung-ganang yang tersergam indah, bukit-bukau yang
mempesona, bangunan tinggi mencakar langit, semuanya akan hancur dan musnah
apabila tiba waktu dan ketikanya. Termasuk juga seluruh makhluk yang terdiri
daripada haiwan, tumbuhan dan manusia, tentu sekali akan bertemu dengan tarikh
pengakhiran hidup di dunia.
Kiamat adalah suatu istilah yang merujuk kepada masa sesebuah
kehancuran. Dalam Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, kiamat merujuk kepada makna
akhir zaman, iaitu apabila seluruh alam musnah. Dalam bahasa Arab, perkataan
kiamat berasal dari kata "qiam" yang bermaksud bangkit atau
bangun. Selain itu, hari kiamat juga dikenali dengan beberapa perkataan lain
seperti الساعة (hari yang
menentukan), القارعة (ketukan keras), البعث (hari kebangkitan) dan lain-lain. Terdapat
hampir 20 nama lain yang disebutkan di dalam al-Quran sebagai menggambarkan
hari kiamat, yang padanya berlaku segala kehancuran dan kemusnahan.
Hakikat yang harus kita tahu, pada diri umat manusia yang serba
kelemahan dan kekurangan ini terbatas dan terhalang daripada mengetahui bilakah
tarikh berlakunya hari kiamat. Tarikh berlakunya kiamat adalah sesuatu yang
rahsia dan hanya kerahsiaan itu di dalam pengetahuan Allah SWT. Ini sepertimana
firman Nya dalam surah Luqman ayat 24 yang bermaksud :
"Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang
hari Kiamat dan Dialah jua Yang Menurunkan hujan dan Yang Mengetahui dengan
sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu mengandung) dan tiada
seseorang pun yang mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik
atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah
dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi
pengetahuan- Nya."
Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT dengan tegas menyatakan bahawa
sesungguhnya pengetahuan berkenaan kiamat adalah di dalam pengetahuan Nya
sahaja. Tidak ada mana-mana makhluk, baik dari bangsa jin atau manusia, yang
dapat mengetahui akan hal tersebut. Keterbatasan pengetahuan oleh manusia ini
dijelaskan lagi dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Kunci perkara ghaib ada lima. Pertama, Allah SWT saja yang
mengetahui bila tibanya hari Kiamat. Kedua, Dialah yang menurunkan hujan.
Ketiga, Dia juga mengetahui keadaan bayi dalam kandungan. Keempat, seseorang
pun tidak mengetahui apa yang akan dilakukannya esok. Kelima, seorang pun tidak
akan tahu di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya, Allah SWT Maha Mengetahui
lagi Maha Mengawasi."
Hadith ini melalui lisan baginda Nabi SAW telah menjelaskan kepada
kita lima kunci perkara ghaib. Antaranya termasuklah urusan berkaitan perisitiwa
kiamat yang dijanjikan oleh Allah SWT. Oleh itu, Islam tidak menyuruh para
umatnya untuk sibuk menghitung, mengkaji dan membuat ramalan bila akan
berlakunya kiamat. Sebaliknya, kita disuruh dan di tuntut untuk bersiap sedia
melakukan persediaan untuk menghadapinya dengan jalan berusaha mempertingkatkan
amalan soleh selari dengan petunjuk Allah dan Rasul Nya. Lihatlah bagaimana
suruhan Allah kepada baginda Nabi SAW ketika di tanya tentang bila akan
berlakunya kiamat. Hal ini seperti yang tercatat di dalam al-Quran, melalui
surah al-Ahzab ayat 63 yang bermaksud :
“Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari
kiamat; katakanlah: ‘Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi
Allah.’ Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? – boleh jadi masa datangnya
tidak lama lagi.”.
Ini membuktikan bahawasanya baginda Nabi SAW sendiri tidak
mengetahui akan ketetapan tarikh berlakunya kiamat. Secara tidak langsung, hal
ini menjelaskan juga kepada kita bahawa setiap perkara ghaib yang diketahui
oleh Nabi SAW tidak lain datangnya dari perkhabaran oleh Allah SWT. Baginda
Nabi sendiri tidak dapat mengetahui hal yang ghaib melainkan setelah
dikhabarkan oleh Allah SWT. Maka, jelas bagi kita bahawa agama Islam menyuruh
kita untuk sibuk melakukan persediaan dan persiapan amalan soleh yang akan menjadi
bekalan ampuh di negeri akhirat kelak. Kita sama sekali tidak di tuntut untuk
kalut dan sibuk dengan teori itu dan teori ini menghitung bila akan berlakunya
hari kiamat.
Pelbagai hikmah Allah merahsiakan ketetapan tarikh hari kiamat.
Antara lainnya adalah sebagai ujian kepada kita untuk senantiasa memperbaiki
diri tanpa perlu berlengah-lengah lagi. Ini juga akan menguji keimanan kita
untuk menyakini dan mempercayai segala khabar berupa bentuk ghaib yang tidak
boleh disentuh, dilihat atau dirasainya melainkan hanya iman yang membenarkan
segala yang dijanjikan oleh Allah. Selain itu, kerahsiaan hari kiamat juga
adalah suatu motivasi bagi diri manusia untuk berusaha hari demi hari menjadi
hamba yang bertaqwa. Seandainya umat manusia sudah tahu akan tarikhnya, tentu
sekali kita menangguh-nangguh usaha perbaiki diri menunggu saat dekatnya kiamat
baru hendak melakukan taubat.
Pun begitu, meskipun Allah merahsiakan bila akan berlakunya kiamat,
tetapi melalui lisan utusan Nya, dijelaskan beberapa tanda-tanda kiamat kecil
dan besar. Terdapat banyak hadith-hadith yang menceritakan tentang tanda-tanda
yang akan berlaku. Sudah tentu petanda ini bukanlah suatu ramalan atau teori
konspirasi oleh baginda Nabi. Sebaliknya ianya adalah wahyu dari Allah SWT.
Sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
"Jarak antara aku diutuskan dengan tibanya Hari Kiamat adalah
seperti ini." Anas RA berkata: "Rasulullah SAW menggabungkan antara
jari telunjuk dengan jari tengah."
Ini bermaksud antara tanda kiamat semakin dekat adalah apabila
diutuskan Nabi SAW sebagai rasul. Maka setelah sekian lama baginda Nabi wafat,
semakin rapat dan dekat kita dengan hari yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.
Imam al-Qurtubi dalam kitab al-Tazkirah menjelaskan :
"Tanda pertama ialah Rasulullah SAW kerana baginda adalah
rasul akhir zaman. Baginda diutuskan dan tidak akan ada lagi rasul selepasnya
sehingga hari kebangkitan semula."
Selain itu, Imam Ibn Hajar meriwayatkan daripada al-Qurtubi :
"Kesimpulan hadis tersebut menunjukkan Hari Kiamat sudah dekat
dan akan segera datang. Reaksi tersebut menjelaskan pengertian Hari Kiamat
semakin dekat dan tanda-tandanya pun akan terus menyusul sebagaimana firman
Allah SWT: '(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan
yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat
kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut kerana sesungguhnya telah
lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka
dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka apabila saat kiamat itu
datang kepada mereka?'" (Surah
Muhammad 47:18)
Selain itu, antara tanda kiamat lain adalah berdasarkan sebuah
hadith riwayat Muslim, Daripada Huzaifah Bin Asid al-Ghifari berkata :
"Telah muncul Rasulullah SAW di samping kami apabila kami
sedang berbincang. Maka Baginda SAW bertanya: Apa yang kamu bincangkan? Mereka
menjawab: Kami sedang membicarakan perihal al-Sa’ah (hari Kiamat). Lalu Nabi
SAW bersabda : “Sesungguhnya ia (hari Kiamat) tidak akan berlaku melainkan
setelah kamu melihat sebelum daripadanya sepuluh tanda”. “Baginda SAW menyebut
(tanda-tanda tersebut): Asap, Dajjal, al-Dabah, terbitnya matahari dari barat,
turunnya Nabi Isa anak kepada Maryam, Ya’juj dan Ma’juj dan tiga gerhana iaitu
satu gerhana di Timur, satu gerhana di Barat dan satu lagi gerhana di rantau
atau jazirah Arab. Seterusnya, yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman
yang menghalau manusia ke Mahsyar mereka”
Demikianlah beberapa tanda-tanda kiamat yang disampaikan oleh Nabi
SAW berdasarkan apa yang telah dikhabarkan oleh Allah SWT. Apa yang pentingnya
ialah, tidak ada mana-mana makhluk Nya baik yang dianggap sebagai wali keramat,
tok guru, tok syeikh yang boleh tahu akan tarikh bila akan berlakunya kiamat.
Kerana soal ini adalah persoalan ghaib yang terbatas oleh akal manusia untuk
mencapainya. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu akan ketetapan ini. Adapun
berkenaan tanda-tanda kiamat, baginda Nabi SAW menyampaikan dengan apa yang
diturunkan oleh Allah. Maka kita dituntut untuk segera melakukan persediaan dan
bukannya sibuk menghitung bila berlakunya kiamat. Semoga Allah merahmati kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan