Setiap manusia adalah berhak untuk memiliki kebahagiaan hidup.
Kebahagiaan yang dirasai akan lebih bermakna bagi seorang insan apabila ianya
dibina diatas nilai keimanan kepada Allah. Maka sesuai dengan naluri manusia,
Allah SWT telah menghiasi pada diri hamba Nya itu keinginan kepada hidup
berpasangan. Bagi memastikan keinginan tersebut menjadi ruang untuk mendapat
pahala, Allah SWT telah mensyariatkan perkahwinan sebagai usaha menghalalkan
hubungan dan menjaga serta memelihara keturunan yang baik. Ini sepertimana
firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 14 yang bermaksud :
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan
kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan
anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda
peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta
kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan
(ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu
Syurga)".
Melalui syariat perkahwinan, Allah SWT memberikan ruang dan peluang
kepada para hamba Nya untuk berkasih sayang, saling mencintai, saling
menghargai antara satu sama lain dan sebagainya. Selain itu, perkahwinan juga
antara bukti-bukti kebesaran Allah. Melalui perkahiwnan juga, secara tidak
langsung ianya juga bertujuan mengajak manusia berfikir akan kebesaran Allah
yang telah menjadikan dua jiwa dari berlainan jantina, bertaut kasih dan sayang
serta saling menyatakan komitmen diatas nama cinta, untuk memelihara ikatan
yang terjalin. Kebesaran Allah yang menjadikan lelaki dan peremupuan disatukan
diatas nama kasih dan sayang. Firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang
bermaksud :
"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia
menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung
dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan
sayang. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda
(kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir."
Oleh yang demikian, perkahwinan adalah suatu manifestasi hidup yang
berakarkan ketauhidan kepada Tuhan yang Maha Besar, dengan segala kekuasaan dan
keagungan Nya. Bagi mencapai maksud kebahagiaan, ketenangan dan kasih-sayang
dalam sesebuah perkahwinan, perasaan cinta suami isteri akan menjadi tulang
belakang kepada keharmonian berumahtangga. Tanpa perasaan cinta, tidak dapat dicapai
oleh manusia dengan apa yang diperkatakan sebagai sakinah ,mawaddah dan rahmah.
Perasaan cinta merupakan suatu anugerah Allah kepada hamba Nya. Kerana cinta,
seorang suami nekad bekerja mencari nafkah untuk memastikan isteri dan
anak-anak hidup senang. Kerana cinta, seorang ibu sanggup memperjudikan
nyawanya untuk memastikan anak yang dikandungnya dapat hidup melihat dunia.
Kerana cinta, manusia sanggup melakukan apa sahaja.
Sesebuah perkahwinan yang didirikan, telah berjaya menyatukan dua
jiwa yang saling mencintai. Pun begitu, perkahwinan bukanlah suatu penamat atau
titik noktah kepada perjalanan sebuah percintaan. Ini kerana, di dalam Islam,
perkahwinan bukan sekadar tempat untuk manusia bersuka ria, tetapi dipenuhi
dengan beban tanggungjawab bersama. Baik suami mahupun isteri, kedua-duanya
perlu memainkan peranan bertanggungjawab memelihara rukun hidup berumahtangga.
Kerana itulah, mendirikan rumahtangga bermakna kita perlu bersedia untuk
memberikan komitmen penuh dalam melayari bahtera perkahwinan. Sesuatu bahtera
itu kadang kala diuji dengan ombak yang menyerang, kemudiannya kembali tenang.
Kemudiannya diserang lagi dan begitulah seterusnya lumrah hidup berkahwin.
Dengan perasaan cinta dan kasih sayang, kerukunan rumahtangga perlu dipastikan
selamat dengan izin Nya.
Perkahwinan merupakan sebuah permulaan kehidupan yang baharu.
Padanya ada hitam dan putih, ada manis dan pahit. Ada ketikanya, senyum terukir
mekar bahagia, dan ada waktunya pula berjurai airmata bertemankan derita.
Ibarat kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit. Alam perkahwinan tidak
pernah menjanjikan kemanisan selamanya. Seperti apa yang ditayangkan dalam
drama dan filem, semuanya adalah fantasi belaka. Realitinya, fasa hidup
berumahtangga ada waktu dan ketikanya kita akan diuji dengan kemanisan dan
ketikanya diuji dengan kepahitan. Pahit manis itulah yang menjadi kenikmatan
dalam sebuah percintaan. Berkahwin juga bukan bermaksud telah tamat cerita
romantis kita bersama pasangan. Walhal, untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga,
perasaan cinta, kasih dan sayang harus sentiasa mekar melayari bahtera
perkahwinan.
Sesebuah perkahwinan yang berjaya bukanlah diukur dengan kemewahan
majlis walimahnya. Tidak pula dinilai dengan siapa dan berapa jumlah tetamunya.
Tidak sama sekali dilihat dengan berapa hantaran dan jumlah mas kahwinnya.
Kejayaan sesebuah perkahwinan letak duduknya adalah kepada kejayaan suami
isteri memainkan peranan bersama menunaikan tanggungjawab seperti yang
digariskan oleh syarak. Tanpa perasaan cinta yang berpanjangan, manakan dapat
melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Perkahwinan di dalam Islam sangat
menuntut kepada soal kebertanggungjawaban. Sehingga dalam sebuah hadith Nabi
SAW, baginda Nabi menekankan soal keutamaan para suami memberikan nafkah kepada
keluarga. Ini sepertimana dalam hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang
bermaksud :
"Satu dinar yang engkau keluarkan di jalan Allah, lalu satu
dinar yang engkau keluarkan untuk memerdekakan seorang budak, lalu satu dinar
yang engkau yang engkau keluarkan untuk satu orang miskin, dibandingkan dengan
satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu maka pahalanya lebih besar
(dari amalan kebaikan yang disebutkan tadi)”
Hadith ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa keutamaan para
suami memberikan nafkah kepada keluarga lebih baik daripada memberikan sedekah
kepada orang lain. Hal ini sekaligus memberikan penekanan kepada para suami
untuk bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian rumahtangga terus dikecapi.
Begitu juga dengan para isteri. Ketaatan kepada suami merupakan kunci
terpenting dalam keharmonian rumahtangga. Sekalipun seorang suami itu, keluar
mencari nafkah dengan penuh perasaan kasih dan sayang terhadap keluarganya,
tetapi si isteri tidak mentaatinya, tidak menghormati dan memuliakan suaminya,
pelayaran percintaan dalam berumahtangga pastinya bertemu dengan jalan buntu,
tidak tergapai pintu kebahagiaan.
Dalam sebuah hadith riwayat al-Tabrani, baginda Nabi SAW
mengingatkan kepada para isteri akan tanggungjwabnya terhadap suami. Sabda Nabi
SAW yang bermaksud :
"Hak suami atas isterinya (tanggungjawab isteri terhadap
suaminya), bahawa isteri tidak boleh meninggalkan hamparan (tilam) suaminya,
hendaklah menerima dengan baik pemberian suaminya, hendaklah taat pada perintah
suaminya, tidak boleh keluar dari rumahnya kecuali dengan izin suaminya, dan
tidak boleh membawa (membenarkan) orang yang dibenci oleh suaminya masuk ke
dalam rumahnya."
Demikianlah sebahagian kecil daripada peranan suami dan isteri
dalam melayari percintaan hidup berumahtangga. Apa yang pentingnya ialah
perkahwinan sesuatu yang menggemberikan. Sesiapa sahaja yang berkahwin,
tentunya terukir senyuman bahagia disulam rasa syukur kepada Nya sambil
menerima ucapan tahniah daripada ramai orang. Perkahwinan juga suatu bukti
komitmen percintaan kita kepada pasangan. Pun begitu, kehidupan kita sebenarnya
baru bermula dengan fasa hidup berumahtangga. Selepas ini, biarlah segala
kemanisan dan kepahitan itu diharungi bersama dengan nilai kekuatan cinta
kepada Nya. Dugaan dan cabaran adalah lumrah kehidupan. Hadapilah dengan penuh
ketenangan dan kematangan. Misi percintaan harus kita lebarkan lagi, dan jangan
biarkan kemanisan bercinta terhenti begitu sahaja. Sesungguhnya percintaan itu
adalah kesenian kehidupan. Maka bercintalah dengan penuh kesenian. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan