Putaran bumi mengelilingi matahari silih berganti menatijahkan
detik dan waktu yang berlalu. Masa yang lampau akan tetap dikenang sebagai
sejarah, masa kini peluang menyusun gerak dan langkah manakala masa hadapan
pula sentiasa menjadi hasrat dan arah. Begitulah sistem masa yang telah banyak
mencatur urusan kita hari demi hari sehingga bumi akan menuju kehancuran dan
lebur. Tatkala ketika masa dan detiknya terus istiqamah berterusan berjalan
mengikut aturan, manusia pula ada yang alpa dan leka, masih pada cita-cita dan
angan yang tidak sudah. Ada juga yang bersungguh-sungguh mengutip kebajikan,
tanpa mengira lelah penatnya untuk dibawa pulang ke negeri kekal abadi.
Keseluruhan hidup ini tentunya untuk beribadah kepada Allah. Bagi
mereka yang benar-benar beriman, tidak ada sedikit pun ruang untuk diisi dengan
perkara yang tidak bermanfaat. Sememangnya itulah juga yang harus kita
perjuangkan agar tidak dinodai oleh sisi gelap dunia yang penuh pancaroba ini.
Allah SWT berfirman dalam surah ad-Zariyat ayat 56 yang bermaksud :
"Aku tidak mencipta jin dan manusia melainkan agar mereka
beribadah kepada-Ku"
Pun begitu, hidup ini adalah perjuangan yang tidak berkesudahan
episod. Selagi nyawa masih dikandung badan, selagi itulah usaha dan perjuangan
menjadi orang yang baik harus diteruskan. Hakikatnya, tiada siapa pun
dikalangan kita yang dapat memastikan masa hadapannya berjalan sejajar dengan
apa yang dirancangnya. Oleh yang demikian, keimanan kepada Allah telah mengajar
kita erti tawakkal kepada Nya.
Ungkapan tawakkal menurut Ibnu al-Athir dalam kitab al-Nihayah
fi Gharib al-Hadith, membawa maksud menyerahkan urusan kepada pihak lain
atau menggantungkannya. Ibnu Rajab al-Hanbali pula dalam kitab Jami'
al-'Ulum wa al-Hikam, menyatakan bahawa hakikat tawakkal adalah benarnya
penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih kebaikan dan menolak keburukan
berkaitan urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semu urusan kepada Allah serta
pengukuhan iman bahawa tidak ada yang memberi, menghalang, memudraratkan dan
memberi manfaat kecuali Allah SWT. Demikian ulasan para ilmuan dalam memahami
konteks dan maksud sebenar tentang tawakkal.
Masa hadapan antara yang sering dibicarakan oleh umat dunia.
Masing-masing sebahagiannya ada yang sibuk dengan berteori itu dan ini demi
menjangkakan masa hadapan kelak. Ada pula yang tidak peduli dan tidak mengendah
masa hadapan. Tidak kurang pula ada yang langsung tidak pernah percaya akan
masa hadapan dek kerana putus asa dalam hidup. Sesungguhnya Islam sangat
menuntut para umatnya untuk sentiasa mempedulikan apa yang akan berlaku di masa
hadapan. Ini sebagaimana yang boleh kita lihat sikap para sahabat baginda Nabi
SAW yang sering bertanya akan keadaan masa hadapan. Meskipun generasi para
sahabat Nabi tidak sempat untuk menghadapi keadaan itu, namun baginda Nabi
tetap melayani persoalan para sahabat tentangnya. Antara bukti jelas para
sahabat Nabi SAW peduli akan masa hadapan dapat kita lihat dalam sebuah hadith
riwayat Abu Daud, daripada Thawban R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud
:
“Umat-umat lain akan mengelilingi kamu (iaitu musuh-musuh Islam
akan menyerbu untuk membinasakan kamu) sepertimana mereka yang pelahap
mengelilingi hidangan yang lazat.” Maka seseorang bertanya, adakah jumlah kita
pada masa itu sedikit? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, bahkan jumlah kamu ramai,
tetapi kamu seperti buih air bah yang banyak. Dan sesungguhnya Allah mencabut
kehebatan kamu yang ada di dalam hati musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan
ke dalam hati kamu penyakit al-wahan. Lalu seseorang bertanya, apakah al-wahan
itu, wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah: “Terlalu kasihkan dunia dan takutkan
mati.”
Sebagai contoh lagi, dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada
Abu Darda' RA, bahawa baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi
akan terselamat daripada fitnah dajjal"
Hadith ini memperingatkan kepada umat akhir zaman tentang
pendinding atau cara untuk mengelak daripada terkena fitnah dajjal. Meskipun
para sahabat tidak akan bertemu dengan dajjal, namun mereka tetap beramal
dengan apa yang diajar oleh baginda Nabi SAW. Inilah sikap atau pendirian yang
perlu diamalkan oleh umat Islam iaitulah sentiasa mempeduli akan masa hadapan.
Pun begitu, walau Islam menuntut umatnya untuk mempedulikan masa hadapan dengan
cara mengambil tahu menerusi wahyu-Nya, bukan bermakna selepas itu kita harus
berserah diri dengan tidak melakukan sebarang usaha apa-apa. Mengetahui akan
masa hadapan melalui wahyu Nya, al-Quran dan al-Sunnah, akan menjadikan kita
lebih sibuk melakukan persediaan.
Islam tidak menyuruh kita untuk sekadar tahu dan hanya menunggu
detik dan saatnya. Meskipun dalam hadith, dijelaskan tentang akan munculnya
dajjal yang akan membawa fitnah ke seluruh dunia, Islam tidak menyuruh kita
untuk sekadar berpeluk tubuh dan berserah diri. Sesungguhnya baik buruknya
sesuatu masa hadapan itu sebahagiaannya terletak dan tergantung kepada tindakan
kita pada hari ini. Lakaran yang kita hasilkan pada hari ini tentunya akan
mencerminkan nasib baik buruk kita kelak. Ini bermakna, jika kita tetap
berusaha melakukan kebaikan walau sekecil-kecilnya, tetap usaha itu akan
diperhitungkan oleh Allah dan begitu jugalah sebaliknya. Ini berdasarkan firman
Allah SWT dalam surah az-Zalzalah ayat 7-8 yang bermaksud :
"Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya
akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa yang berbuat kejahatan
sebesar zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)".
Kadang-kala sebahagian masyarakat dilihat terlalu gelabah, resah,
runsing dan takut yang melampau apabila mempelajari peristiwa-peristiwa yang
akan berlaku di masa hadapan. Sedangkan, mempelajari akan hal tersebut tidak
akan menjadikan kita timbul perasaan "terlalu" gelabah, resah, takut
keterlaluan. Sebaliknya akan menambah kekuatan keimanan, mengukuhkan prinsip
tauhid dalam diri serta akan mendorong diri kita untuk sibuk beramal soleh.
Berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan dan bersegera memohon keampunan Tuhan.
Malang sekali, apabila segelintir pak ustaz menghidangkan pengisian di
meja-meja kuliah dan ceramah cerita-cerita "gerun" akhir zaman yang akhirnya
kita tidak lagi melihat kebergantungan kita kepada Allah dengan berusaha
menjadi insan yang lebih baik.
Ketahuilah bahawa masa hadapan adalah rahsia mutlak Allah SWT.
Tiada siapa yang dapat mengetahuinya. Pun begitu, melalui wahyu-Nya, kita dapat
mengetahuinya, paling tidak dengan pengetahuan tersebut, sedikit-sebanyak akan
menjadi pedoman dan panduan hidup umat manusia sebagai persediaan
menghadapinya. Bersikap tawakkal berserah diri tanpa berusaha melakukan apa-apa
adalah sesuatu yang sia-sia. Membazir masa sahaja. Berusahalah dengan bersegera
bertaubat, berlumba-lumba melakukan kebaikan, memohon ampun dan perlindungan
Nya, nescaya tidak ada yang akan rugi. Pada masa sama, oleh kerana masa hadapan
adalah rahsia Allah, janganlah pula ada yang bersikap seperti ahli syurga,
menerakakan orang lain. Begitu pula sebaliknya, bagi mereka yang telah
melampaui batas, tiada penamat untuk bertaubat selagi nyawa masih pada hayat.
Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan