Kehidupan ini sesungguhnya telah banyak menemukan kita dengan
manusia yang pelbagai watak-watak yang terdiri daripada pelbagai latar
belakang. Dalam penemuan dengan banyak watak manusia ini, sebahagiaannya ada
yang bagus untuk kita teladani. Sebahagiannya pula adalah harus untuk kita
menjauhinya. Biar siapapun watak yang kita jumpa, baik buruk sesuatu perwatakan
itu mestilah diukur dan dilihat pada neraca dan nilaian berlandaskan panduan
syarak. Begitulah kita dalam menilai yang mana permata dan yang mana pula kaca.
Dalam soal kita bicara tentang watak-watak manusia yang pelbagai
ini, ada yang telah sebati pada dirinya tabiat yang buruk sehingga dianggap
perkara tersebut adalah biasa dalam kehidupan. Sebagai contoh, ungkapan carutan
dan makian kadang dijadikan sebagai bahasa pertuturan harian mereka. Akibatnya,
mencarut dan memaki sudah tidak dilihat lagi sebagai kata-kata kotor dan tidak
berfaedah. Keadaan ini jika tidak dibendung, pastinya akan melahirkan manusia
yang berhati kotor dan nista. Kesannya juga pada diri manusia itu akan lahir
perasaan iri hati, cemburu tidak kena pada tempat, sakit hati dan seumpamanya.
Ironinya, bermula dari pertuturan yang kotor, membuahkan hati
nurani yang sakit sekaligus membuatkan diri ini sentiasa merasa tidak cukup dan
sentiasa mahukan lebih lagi. Ini termasuklah bagi manusia yang hanya mahu
menerima sahaja tanpa ada sedikit pun perasaan mahu memberi. Lebih-lebih lagi
dalam soal memohon dan meminta apa-apa bantuan seperti bantuan zakat, bantuan
kebajikan dan lain-lain. Perasaan hanya mahu menerima bantuan tanpa mahu
memberi atau menyumbang akan menjadikan hidup ini sentiasa berperang dan tidak
pernah sunyi dari persengketaan dan permusuhan dengan orang lain. Barangkali
pada pemahamannya, apa sahaja bantuan yang ada pasti namanya antara yang
terwajib sekali untuk menerimanya.
Umumnya, bukanlah sesuatu yang salah untuk berharap dan menerima
apa-apa bantuan yang ada selagi perkara itu menjadi hak pada dirinya. Tanpa
perlu mengharapkan, jika dirinya berkelayakan untuk menerima bantuan, pastinya
ada untuknya. Namun begitu, pada sebahagian kelompok masyarakat pada hari ini,
ada yang sanggup mencarut, memaki, mengherdik, melabel dan sebagainya dek
kerana dirinya tidak menerima bantuan. Usahkan dalam masyarakat, institusi
keluarga itu sendiri pun boleh runtuh, bergaduh dan memulau sesama adik beradik
dek kerana tidak puas hati dalam soal pembahagian harta dan sebagainya. Inikan
pula dalam konteks masyarakat yang tidak pernah puas dengan apa yang
diterimanya.
Melihat kepada situasi dan realiti yang ada ini, maka benarlah
sabda Junjungan Nabi kita, Muhammad SAW yang membicarakan tentang
ketidakcukupan diri manusia dengan apa yang dimilikinya. Dalam sebuah hadith
riwayat Bukhari dan Muslim, dari Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud :
"Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu
ia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi
mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan Allah menerima
taubat orang-orang yang bertaubat"
Antara punca yang menjadikan diri kita tidak akan pernah merasa
puas dengan apa yang kita miliki adalah kerana gagalnya kita untuk menjadi
hamba Nya yang bersyukur. Seharusnya umat manusia hari ini perlu ditekankan
tentang menjadi manusia yang tahu bersyukur. Realiti ini, kita sendiri dapat
melihat betapa sedikitnya umat manusia yang tahu bersyukur. Sebaliknya,
kebanyakan manusia hari ini ada yang sehingga sanggup membunuh, memutuskan
hubungan silaturrahim, mengherdik dan menghina hanya kerana dirinya tidak
menerima nikmat atau bantuan. Benarlah firman Allah SWT dalam surah Saba' ayat
13 yang bermaksud :
"Sangat sedikit sekali diantara hamba Ku yang mahu
bersyukur"
Ketika mengulas ayat ini, Syeikh As-Sa'di telah menyebutkan dalam
kitab tafsirnya, Tafsir As-Sa'di, beliau menjelaskan bahawa sangat ramai
dikalangan manusia yang tidak mahu bersyukur kepada Allah atas nikmat harta
yang diberi dan juga atas nikmat yang dihilangkan musibah. Demikian nukilan
Syeikh As-Sa'di. Hakikatnya, sifat bersyukur akan menjadikan kita manusia yang
hidup lebih bahagia, tenang dan sentosa. Selain itu, bersyukur juga akan
menjadikan hidup ini lebih bermakna. Hal ini kerana, kita sendiri akan bebas
dan merdeka dari dibelenggu oleh sifat dan perangai iri hati atau sakit hati
apabila melihat orang lain mendapat nikmat. Adalah mustahak untuk kita belajar
menjadi manusia yang bersyukur dengan nikmat dan pemberian dari Nya. Semakin
banyak kita bersyukur, maka pastinya semakin banyak Allah melipat gandakan
nikmat Nya. Sepertimana firman Nya dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud :
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu : Demi
sesungguhnya ! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada
kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah
pedih"
Dalam usaha menjadi manusia yang lebih bersyukur, seharusnya juga kita
perlu memastikan diri ini adalah sebagai memberi dan tidak hanya menerima
semata-mata. Hidup ini tentulah bukan sekadar persoalan menerima, tetapi perlu
dilengkapi dengan sifat memberi. Barulah hidup lebih seimbang dengan saling
menghargai antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, janganlah diasuh diri
ini sekadar mahu menerima tanpa mahu memberi. Untuk memberi, syaratnya adalah
kesanggupan. Tidak perlu menjadi seorang yang kaya, baru boleh memberi. Kerana
memberi itu punyai maknanya yang sangat luas, Ianya bukan sekadar beri harta
benda atau material semata-mata bahkan memberikan ilmu, memberi dengan mengukir
senyuman, memberi dalam erti kata menyampaikan nasihat juga sebahagian daripada
bentuk memberi dalam kehidupan ini. Kita juga perlu meletak jauh sifat bakhil
ini agar kita lebih sedia untuk memberi. Ketahuilah bahawa Islam sangat
memuliakan tangan yang memberi. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari
dan Muslim, dari Hakîm bin Hizam RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Dan
mulailah dari orang yang menjadi tanggunganmu. Dan sebaik-sebaik sedekah adalah
yang dikeluarkan dari orang yang tidak memerlukannya. Barangsiapa menjaga
kehormatan dirinya maka Allâh akan menjaganya dan barangsiapa yang merasa cukup
maka Allâh akan memberikan kecukupan kepadanya.”
Percayalah, hidup ini akan lebih bermakna jika kita menjadi manusia
yang mahu bersyukur. Dengan sifat bersyukur, kita akan menjadi lebih banyak
memberi daripada menerima. Juga dengan bersyukur, kita akan lebih tenang,
saling reda dan tidak sibuk untuk menghina, mengherdik orang yang diberi
nikmat. Hiduplah dengan bermakna. Ini kerana hidup ini adalah sangat singkat
untuk bergaduh, bermasam muka sesama manusia. Usahlah membuang masa dengan
banyaknya penyakit hati. Rawatlah hati yang rosak itu dengan belajar menjadi
manusia yang tahu bersyukur. Lihatlah bagaimana Buya Hamka dalam penulisannya
pernah menyatakan bahawa syukur dan sabar itu umpama sayap.Sayap kanan adalah
syukur dan sayap kiri adalah sabar. Jika jatuh salah satunya maka jatuhlah
hidup kita. Berdasarkan kata-kata Buya Hamka ini, dapat kita fahami bahawa
untuk berusaha menjadi orang yang bersyukur, kita perlulah bersabar agar hidup
ini lebih bermakna. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan