Ahad, 7 Januari 2024

MENGHORMATI ISTERI, BUKAN UNTUK DITAKUTI

 

Penciptaan seorang wanita adalah suatu anugerah terbesar Allah kepada kaum lelaki. Hakikatnya, Allah SWT telah menjadikan manusia itu hidup berpasangan dari jenis manusia itu sendiri. Hidup akan menjadi saling melengkapi antara satu sama lain diatas nama berpasang-pasangan. Seperti kehidupan yang lain, haiwan juga berorientasikan hidup berpasang-pasangan. Oleh itu, secara asasnya, wanita dan lelaki sememangnya dicipta untuk hidup berpasang-pasangan bertujuan melengkapi dan saling menyempurnakan sebuah makna kehidupan. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud :

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir"




Sesungguhnya kewujudan kaum wanita yang dijadikan sebagai pasangan hidup adalah untuk dihormarti, dikasihi dan selainnya yang membawa kepada perkara yang baik. Pun begitu, realiti yang ada pada hari ini, seolah-olah telah wujud satu kempen untuk memberikan gambaran bahawa adalah normal seorang suami takutkan isteri. Keadaan ini secara tidak langsung, masyarakat diajak untuk berfikir bahawa seorang suami yang baik adalah mereka yang perlu takut dan taat pada isteri. Sedangkan para suami adalah seorang pemimpin, ketua keluarga yang mesti berani memimpin bahtera kekeluargaannya. Ini satu fenomena yang tidak sihat dan tidak selari dengan kehendak syariat. Bermula dengan gurauan "beras kita beli", "geng takut bini", kemudian muncul pula kandungan hiburan di pelbagai platform media sosial yang menunjukkan seolah-olah para suami hendaklah takut kepada para isteri.

Hakikatnya, para suami diberikan kedudukan lebih tinggi berbanding para isteri dengan satu kelebihan darjat oleh Allah SWT. Kelebihan yang dikurniakan oleh Allah ini secara tidak langsung menggambarkan betapa tinggi dan mulianya kedudukan seorang suami yang perlu ditaat oleh para isteri. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud :

"Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Dengan kelebihan seorang suami terhadap seorang isteri, maka Allah SWT telah memerintahkan para isteri untuk mentaati suami dalam semua perkara baik menurut syarak. Ini bermakna, para isteri perlulah taat dan patuh kepada suami selagimana perkara tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Arahan untuk para isteri taat kepada suaminya ini bukanlah arahan dari manusia kepada manusia tetapi ianya adalah arahan Allah untuk hamba Nya sesuai dengan kehendak dan tuntutan syarak. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 34 yang bermaksud :

“Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka".




Menurut Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya, Majmu al-Fatawa, beliau telah menyatakan bahawa ayat tersebut menunjukkan wajibnya seorang isteri taat kepada suami dalam hal berbakti kepadanya, ketika bepergian bersamanya dan lain-lain. Demikian apa yang disebutkan oleh Imam Ibnu Taimiyyah. Secara asasnya, Islam memerintahkan agar para isteri taat dan patuh kepada arahan suaminya dan bukan sebaliknya. Selain itu, ketaatan kepada suami juga dilihat sangat mustahak dan begitu besar nilainya. Hattakan, Nabi SAW menyebut dalam sebuah hadtih riwayat Imam Ahmad yang dinilai sahih li ghairihi oleh Syeikh Syu'aib al-Arna'outh, daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Tidak dibenarkan seorang manusia itu untuk sujud kepada manusia. Jika dibenarkan untuk manusia itu sujud kepada manusia nescaya aku akan meminta isteri untuk sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami ke atas isteri itu.”

Mengulas hadith ini, Imam al-Syaukani dalam kitab Tuhfaz al-Ahwazi, beliau menyatakan bahawa makna hadith ini adalah jika dibolehkan sujud kepada manusia nescaya Nabi SAW akan memerintahkan para isteri untuk sujud kepada suaminya. Maka, berdasarkan apa yang diungkapkan oleh Imam al-Syaukani ini, bermaksud para suami seharusnya dipandangan sebagai seorang pemimpin yang ditaati dan bukannya diminta untuk mentaati isterinya. Malangnya, rata-rata masyarakat hari ini dihidangkan dengan kandungan media sosial yang menggambarkan suami mesti takut kepada isteri dengan mentaatinya. Perkara ini dengan jelas tidak selari dengan syariat Islam. Allah SWT tidak pernah memerintahkan para suami untuk wajib taat isteri.

Perlu difahami bahawa, meskipun para suami tidak dituntut untuk taat dan takut pada isteri, Allah SWT menyuruh para suami untuk menyantuni para isteri dengan penuh kebaikan. Ini juga sepertimana yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 13, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)."




Menurut Imam Mujaddid dan ulama besar India, Syah Waliyullah Al Dahlawi, mereka menyebutkan bahawa tiga makna bergaul dengan baik itu ialah menyediakan makanan dan pakaian serta berinteraksi dengan baik. Syeikh Muhammad Abduh ketika menjelaskan lagi maksud berinteraksi dengan baik itu termasuklah dengan cara berbicara dengan baik, mendengar segala keluhan dan masalah isteri, bergurau, memahami perasaan dan mengungkapkan kata-kata romantik. Demikian bagaimana Islam meletakkan kedudukan isteri sebagai harga diri yang mesti dihormati, dikasihi dan disayangi, mengisi setiap ruang jiwanya dengan limpahan dan curahan kasih dan sayang. Meski agama Islam tidak menyuruh suami untuk takut kepada isteri.

Mustahak untuk dijelaskan kepada masyarakat, budaya suami takut isteri ini meskipun barangkali gurauan semata-mata, namun hal tersebut tidak disuruh dalam agama. Perkara seperti ini seharusnya dihentikan agar masyarakat tidak di didik dengan kefahaman yang salah bahawa suami perlu takut isteri. Keberadaan isteri adalah untuk dihormati dan dimuliakan dengan kasih dan sayang. Menjadi kewajipan para isteri sebelum bergerak keluar rumah, mestilah terlebih dahulu meminta izin suaminya sebagai tanda taat. Begitu pun, tidaklah wajib bagi suami meminta izin isterinya untuk keluar ke mana-mana. Namun, termasuk dalam perkara yang baik dan menghormati isterinya jika si suami memberitahu pada si isteri untuk keluar ke mana-mana. Tujuan memberitahu tersebut bukanlah bermaksud perlu meminta izin tetapi perbuatan memberitahu tersebut dikira juga sebagai sebahagian kebaikan si suami terhadap isterinya. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan