Khamis, 24 Oktober 2024

MENGENAL HAKIKAT MALAIKAT

 

Ketaatan merupakan suatu sifat yang lahir daripada sikap perhambaan yang luhur dan tulus lagi suci. Perhambaan yang luhur dibuktikan melalui jalan ketaatan dengan melakukan segala perintah dan suruhan dan meninggalkan segala larangan dan tegahan. Sikap perhambaan yang sebenar akan memperlihatkan kepada kita bahawa tiada yang lebih tinggi dan terpenting di alam ini kecuali mengabdikan diri patuh pada arahan yang diperintahkan. Oleh sebab itu, dalam kehidupan seseorang yang beragama Islam, padanya tiada yang lebih besar, lebih agung dan berkuasa selain dari kebesaran, keagungan dan kekuasaan Allah SWT. Maka kerana itu Allah menegaskan di dalam al-Quran tujuan diciptakan jin dan manusia adalah untuk beribadah menyembah hanya kepada Allah SWT.

Selain penciptaan manusia dan jin yang dijadikan bertujuan untuk beribadah kepada Nya, Allah SWT telah menjadikan suatu makhluk yang bernama Malaikat sebagai makhluk yang bersifat taat dan patuh sentiasa kepada Allah. Perkataan "Malaikat" adalah berasal dari bahasa Arab. Menurut ahli bahasa, ungkapan Malaikat merupakan kata jamak (plural) dari perkataan malak (ملك) yang bermaksud kekuatan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan Malaikat merujuk kepada maksud apa sahaja mahkluk yang diciptakan Allah daripada cahaya, sifat dan tabiatnya sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dan tidak pernah melanggar perintah Nya. Berdasarkan definisi yang telah dikemukakan ini, dapat disimpulkan bahawa malaikat adalah makhluk Allah yang memiliki sifat keistimewaan tertentu yang berbeza dengan makhluk lain.




Selain itu, untuk mengenali akan hakikat Malaikat mestilah memhamainya berdasarkan bimbingan wahyu al-Quran dan al-Hadith. Ini kerana hakikat Malaikat terangkum dalam perkara sam'iyyat (perkara ghaib) iaitu yang tidak boleh dirasai dan dicapai oleh pancaindera. Sebelum itu, harus dinyatakan bahawa meyakini dan mempercayai akan kewujudan Malaikat merupakan tuntutan terpenting dan wajib diimani oleh orang Islam. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui fiman Nya dalam surah al-Baqarah ayat 285, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali".

Berdasarkan ayat tersebut, orang Islam wajib beriman dengan mempercayai dan meyakini akan kewujudan Malaikat berserta peranan yang dimainkan oleh mereka. Maka perihal Malaikat merupakan konsep rukun iman yang wajib dipatuhi oleh orang-orang yang beriman. Sesiapa yang tidak mempercayai atau mengingkarinya, maka imannya menjadi rosak kerana menolak perkara dasar dalam kerukunan iman. Seperti yang telah dijelaskan, untuk mengenali hakikat Malaikat, adalah wajib mengenalnya dengan merujuk wahyu al-Quran dan al-Hadith. Tidak ada jalan pintas yang dapat mengkhabarkan perkara yang ghaib kecuali dengan mengambil manfaat dari wahyu Allah. Untuk itu, kita akan melihat beberapa petunjuk dari al-Quran dan al-Hadith bagi mengetahui akan hakikat makhluk istimewa ini yang bernama Malaikat.

Pertama sekali, Allah SWT telah menciptakan Malaikat sebagai makhluk yang istimewa dengan ciri-ciri khas yang berbeza dengan makhluk ciptaan Allah yang lain. Antara keistimewaannya ialah Allah menciptakan Malaikat daripada cahaya. Hakikat ini sebagaimana yang dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Aisyah Ranha, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Malaikat itu diciptakan dari cahaya. Jin diciptakan dari api yang menyala-nyala, sedangkan Adam diciptakan dari apa yang telah dijelaskan kepada kalian."




Maka berdasarkan hadith tersebut, menjelaskan kepada kita sesungguhnya Malaikat dijadikan dengan cahaya. Selain itu, Malaikat juga merupakan makhluk yang sentiasa taat dan patuh kepada arahan Allah, sama sekali tidak menderhakai Allah. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran menerusi surah al-Tahrim ayat 6, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

Berdasarkan wahyu, Malaikat dicipta dengan memiliki sayap. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam surah al-Faathir ayat 1, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi, Yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan (untuk mengurus berbagai macam urusan) yang mempunyai sayap, masing-masing (ada yang) dua, tiga dan empat. Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."

Menurut Imam Ibn Kathir di dalam kitab tafsirnya, beliau menyebutkan bahawa Malaikat yang mempunyai sayap dengannya mereka terbang untuk menyampaikan apa yang diperintahkan kepada mereka dengan cepat. Dalam kalangan mereka ada malaikat yang mempunyai dua sayap, ada yang mempunyai tiga sayap, ada yang mempunyai empat sayap dan ada pula yang lebih daripada itu. Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha kuasa atas segala sesuatu. Demikian penafsiran Ibn Kathir menjelaskan tentang sayap Malaikat. Selain itu, dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Ibn Mas'ud katanya yang bermaksud :

"Bahawa Baginda SAW melihat Jibril, yang memiliki 600 sayap.”

Berdasarkan hujah dan bukti yang dinyatakan ini, jelas sekali bahawa Malaikat bukan sahaja merupakan makhluk yang diciptakan dengan cahaya bahkan juga turut memiliki sayap. Selain itu juga, jumlah bilangan Malaikat sangat banyak dan tidak terkira jumlahnya. Namun begitu, dalam jumlah yang sangat banyak tersebut, wajib orang yang beriman mempercayai dan meyakini akan 10 Malaikat. Jumlah 10 Malaikat tersebut ialah Jibril, Mikail, Izrail, Israfil, Munkar dan Nankir, Raqib dan Atid, Malik dan Ridhuan. Kesemua 10 Malaikat ini wajib di imani oleh orang Islam kerana nama mereka tercatat di dalam al-Quran dan hadith.




Adapun selain itu, wajib juga beriman dengan nama selain 10 Malaikat yang turut disebutkan di dalam al-Quran. Antara nama lain ialah Malaikat Zabaniyyah, Muqarabin, Harut Marut, Hafazah, Rahmah dan Halamatul Arsy. Selain itu, Malaikat juga diberikan keistimewaan oleh Allah, boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk tetapi dalam jasmani yang baik. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Maryam ayat 16-19 yang bermaksud :

"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya : Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa. Ia berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci”.

Selain itu, Malaikat juga diciptakan dengan tidak mempunya nafsu. Ini bermakna Malaikat tidak makan dan minum dan tidak juga berkahwin. Mereka juga tidak berjantina lelaki atau perempuan. Demikianlah sebahagian besar perihal dan hakikat Malaikat menurut bicara wahyu al-Quran dan al-Hadith. Tentu sekali segala hujah dan bukti ini menunjukkan akan segala kekuasaan dan keagungan Allah SWT, sang Maha Pencipta sekalian makhluk. Apa yang pentingnya ialah dalam kita mengenali dan memahami hakikat Malaikat ini, ianya menyaksikan bahawa kehidupan kita ini diawasi dan diperhatikan sentiasa oleh tentera Allah yang terdiri daripada Malaikat. Oleh itu, beriman kepada Malaikat akan menjadikan kita lebih berusaha menjadi hamba Allah yang soleh dengan sedaya upaya melakukan suruhan Nya serta meninggalkan segala larangan Nya. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan