Selasa, 22 Oktober 2024

JUDI DAN PERTARUHAN : MENGAPA ISLAM HARAMKAN ?

 

Nilaian material atau disebut sebagai kebendaan seringkali menjadi parameter oleh manusia untuk menentu sahkan makna kepada sebuah kebahagiaan. Pemikiran yang sebegini secara tidak langsung akan memberikan rumusan bahawa semakin banyak atau tinggi nilai kebendaan yang dimiliki bermakna semakin bahagialah kehidupannya. Sebaliknya, semakin sikit atau rendah nilai kebendaan tersebut bermakna semakin kuranglah kebahagiaan hidupnya. Akibat daripada pemikiran songsang seperti ini, manusia mulai kelam mata di dalam mencari, mengaut dan meraih kekayaan kebendaan yang diukur sebagai tanda kebahagiaan. Nafsu yang bergelora turut memainkan peranannya mendorong manusia untuk melakukan apa sahaja demi mencapai kekayaan kebendaan tersebut.

Antara jalan mudah dan pintas yang seringkali diambil oleh mereka yang memburu kekayaan ialah dengan melakukan aktiviti perjudian yang tentu sekali melibatkan unsur pertaruhan. Perkataan judi di dalam bahasa Arab disebut sebagai "al-Maisir" atau "al-Qimar". Daripada dua ungkapan tersebut, ianya membawa maksud permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah. Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan termasuklah yang terkini menggunakan wang. Merujuk kepada kitab al-Mu’jam al-Wasith, perkataan judi difahami sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan dari kedua belah pihak. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat pula, perkataan judi dirujuk sebagai permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan.




Dalam tradisi keilmuan Islam, terdapat pelbagai definisi berkaitan judi diperkatakan untuk memberi gambaran umum kepada maknanya. Misalnya, seperti yang dinukilkan oleh Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya, al-Zawajir 'an Iqtiraf al-Kaba'ir, beliau menjelaskan bahawa judi merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan. Imam al-Mawardi dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir, menjelaskan judi ialah suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan. Selain itu, Ibnu Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni, menyebut bahawa judi ialah pertandingan yang tidak sunyi salah satu daripada keduanya untuk menang atau kalah. Sementara Syeikhul Islam Imam Ibnu Tamiyyah dalam kitabnya, Majmu’ al-Fatawa, mengatakan judi merupakan pengambilan sebahagian daripada harta seseorang, kemudian dipertaruhkan sama ada seorang itu mendapat hasil atau tidak mendapat apa-apa.

Ringkasnya, berdasarkan pelbagai pentakrifan yang dijelaskan, elemen pertaruhan adalah antara yang mengikat kepada konsep perjudian. Ini secara tidak langsung menggambarkan kepada kita bahwa perjudia tertegak apabila wujudnya elemen pertaruhan antara menang atau kalah. Tanpa mengira apa jua perkara yang dipertaruhkan, perjudian tetap jelas konsepnya apabila wujud nilai pertaruhan tersebut. Dalam ajaran Islam, aktiviti perjudian adalah sesuatu yang dihukum sebagai haram. Ini bermaksud orang Islam baik lelaki mahupun perempuan, kaya ataupun miskin, adalah dilarang oleh Allah untuk bermain judi. Hal ini dapat dilihat sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 219 firman Allah SWT yang bermaksud :

"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”

Ketika membahaskan maksud ayat ini, Imam Ibnu Jarir al-Tabari menyebutnya di dalam kitab Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, dengan menjelaskan bahawa meskipun terdapat manfaat daripada keduanya (iaitu arak dan judi) namun dosa keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya. Ini sepertimana yang berlaku kepada orang yang meminum arak dengan merasakan kelazatan yang diteguknya namun akibat dari mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain. Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun dengan berjudi menjadi sebab atau punca seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Demikianlah penfasiran oleh Imam al-Tabari. Selain itu, ketegasan Allah dalam hal ini dapat dilihat bagaimana Allah SWT mencela dan menghina perbuatan berjudi dan menyifatkan perbuatan berjudi tersebut daripada amalan syaitan.




Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud ;

"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya".

Menurut Imam al-Razi dalam kitab tafsirnya, Mafatih al-Ghaib, beliau menyatakan bahawa dosa dan keburukan maisir (judi) dan qimar (pertaruhan) adalah ia boleh membawa kepada permusuhan, mengutuk dan pertelingkahan serta merupakan suatu bentuk mengambil harta orang lain secara batil di samping melalaikan manusia dari mengingati Allah dan mengerjakan solat. Selain itu, Imam Ibnu Tamiyyah menerusi kitabnya, Maj'mu al-Fatawa, beliau menyebut sesungguhnya keburukan judi adalah lebih besar daripada keburukan riba kerana ia meliputi dua keburukan. Pertama, keburukan memakan harta secara haram. Kedua, keburukan perkara lalai yang haram, di mana ia menghalang daripada mengingati Allah, lalai daripada mengerjakan solat serta menimbulkan permusuhan dan kebencian. Disebabkan itulah, diharamkan judi sebelum pengharaman riba.

Larangan dan tegahan untuk umat Islam berjudi turut dinyatakan oleh baginda Rasulullah SAW. Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abdullah bin Amr RA, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Bermain dengan dua mata dadu ini dalam rangka berjudi seperti orang yang makan daging babi. Dan orang yang bermain dengan kedua mata dadu tapi tanpa taruhan, seperti orang yang mencelupkan tangannya di darah babi".




Dalam mengulas mengenai pengharaman judi, al-Marhum Dr. Yusuf al-Qaradhawi menerusi kitabnya, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, menyatakan bahawa setiap permainan yang bertujuan untuk berjudi maka hukumnya haram. Judi ialah permainan yang dilakukan oleh manusia, tidak dapat lari daripadanya untung atau rugi. Ianya juga dinamakan Maisir (yang didapati tanpa usaha dan jerih) yang disebut oleh al-Quran beriringan dengan arak, Anshaab (yang disembelih untuk berhala) dan Azlaam (yang diundi dengan batang kayu untuk menentukan nasib). Dalam hadith lain riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang berkata pada temannya: Marilah kita berjudi/bertaruh! Maka hendaklah dia bersedekah".

Ketika mensyarahkan hadith ini, Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, para ulama menyebut bahawa perintah bersedekah adalah sebagai penghapus kesalahannya pada perkataannya dalam maksiat ini. Al-Khattabi berkata maksudnya bersedekahlah dengan kadar ajakan untuk berjudi/bertaruh tersebut. Kemudian Imam Nawawi berkata yang benar di sisi ahli muhaqqiq – dan ia adalah zahir hadis – bahawa tidaklah dikhususkan dengan kadar tersebut, bahkan bersedekahlah dengan apa yang dia mampu. Demikian ulasan Imam al-Nawawi berkenaan tuntutan hadith tersebut. Maka berdasarkan hujah dari al-Quran dan hadith serta huraian dan penjelasan oleh para ilmuan Islam, dapat kita faham bahawa pengharaman judi dan segala bentuk pertaruhan mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Antara lainnya ialah supaya kita tidak memakan harta melalui jalan salah. Selain itu, perjudian juga boleh membawa kepada pergaduhan, permusuhan dan tidak mustahil sehingga ke tahap sanggup membunuh demi mengaut harta benda. Semoga Allah menjauhkan kita dari tabiat berjudi tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan