Rabu, 9 Oktober 2024

ETIKA DAN MORAL PADA WACANA BARAT DAN ISLAM

 

Kehidupan dan peraturan adalah bersifat saling berkaitan dan melengkapi antara satu sama yang lain. Dengan kehidupan yang ada ini, peraturan antara salah satu medium untuk mendidik dan menjelaskan secara tidak langsung kepada umat manusia berkenaan antara yang betul dan salah, hak dan batil serta baik dan buruk sesuatu perkara. Melalui lunas peraturan yang ada ini, manusia yang berperanan sebagai subjek kepada peraturan tersebut akan dapat menilai antara permata dan kaca. Sebahagian masyarakat mengenali peraturan tersebut dengan nama etika dan moral. Baik atau buruk sesuatu perkara itu seringkali dinilai pada sudut etika dan moral yang dipandang oleh masyarakat sebagai bersifat sejagat.

Perkataan etika adalah berasal dari perkataan Yunani kuno iaitu "Ethos" yang merujuk kepada maksud kebiasaan adat, akhlak, keperibadian dan watak. Ethos juga boleh dimaknakan dengan maksud adat kebiasaan. Dalam bahasa Inggeris, etika bermaksud akhlak, tatasusila dan kesusilaan. Selain itu, etika juga boleh difahami dengan maksud sistem prinsip akhlak dan peraturan-peraturan perilaku. Dalam konteks bahasa Melayu, perkataan etika adalah bermaksud kepercayaan ataupun tanggapan terhadap sesuatu perkara sama ada hal tersebut benar salah atau baik buruk. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, etika boleh difahami sebagai ilmu berkaitan prinsip akhlak dan moral yang menjadi pegangan seseorang atau secara berkumpulan.




Manakala perkataan moral pula berasal dari bahasa Latin iaitu "Moralis" yang merujuk kepada maksud tingkah laku yang sesuai dengan tatasusila dan peraturan masyarakat. Secara umumnya, moral adalah sesuatu yang berkisar tentang tingkah laku dan amalan yang baik atau pegangan berkenaan amalan nilai baik atau buruk sesuatu perbuatan. Msalnya, amalan berbudi bahasa dengan bercakap sopan, mematuhi peraturan jalan raya, menggunakan kemudahan awam dengan baik adalah antara perlakuan bermoral. Maka tidak keterlaluan untuk kita menyimpulkan bahawa bermoral bermaksud memiliki sifat-sifat baik dan terpuji selaras dengan kehendak keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, gabungan dua istilah ini iaitu antara etika dan moral, saling terkait dengan tabiat manusia secara lahiriah mahupun batiniah.

Dalam catatan kehidupan manusia, persoalan etika dan moral ini antara yang tidak akan berkesudahan perbincangannya terutamanya dalam konteks falsafah. Malah persoalan mengenai kedua-duanya ini merupakan salah satu cabang perbahasan falsafah yang disebutkan sebagai aksiologi. Wacana mengenai etika dan moral ini telah dimulai perbahasannya sejak zaman kegemilangan pemikir-pemikir bangsa Yunani Kuno atau Greek. Wacana tersebut turut dikembangkan lagi pada abad ke 16 setelah dunia Barat berhadapan dengan pelbagai kemelut dan krisis kehidupan yang silih ganti dengan pelbagai revolusi seperti revolusi ekonomi, revolusi sosial dan revolusi agama. Zaman kebangkitan Eropah telah mengembalikan semula aktiviti para pemikir-pemikir ini bagi mencari secara tuntas hakikat kehidupan di dunia ini.




Antara yang melopori perbincangan ini ialah Aristotle dengan mengangkat tema etika unggul. Aristotle yang juga merupakan anak murid Plato, dalam mengangkat tema tersebut, beliau melalui karyanya berjudul Ethics, menegaskan bahawa ilmu pembinaan akhlak dalam memastikan amalan pekerti terpuji tersebut perlulah berpaksikan kepada data-data yang ada dalam alam ini melalui kaedah pemerhatian terhadap pola-pola ilmu dan amalan yang ada. Hasil dari pemerhatian tersebut, manusia akan mendapati adanya ciri-ciri sepunya yang boleh dirumuskan sebagai akhlak yang terpuji. Pandangan ini sangat berbeza dengan gurunya, Plato, Bagi Plato sendiri, beliau menyatakan bahawa manusia terlebih dahulu perlu memahami alam metafizik (ghaib) sebelum melihat kepada fenomena alam. Selain itu, Aristotle juga telah membahagikan ilmu kepada dua bahagian. Ilmu intelektual dan ilmu akhlak. Menurutnya, ilmu intelektual boleh didapati dalam bilik darjah namun ilmu akhlak perlu didapati dengan amalan harian yang berterusan.

Selain itu, setelah dunia Barat bangkit dari kegelapan, wacana mengenai etika dan moral tersebut telah dikembang luaskan lagi oleh idea-idea Jeremy Bentham dengan membawa tema Utilitarianisme. Dalam bahasa yang lebih mudah, perkataan "Utilitarianisme" ini boleh difahami sebagai suatu sifat yang membawa manfaat yang paling besar kepada seberapa ramai orang. Bentham melalui karyanya berjudul Utilitarianisme And Distributive Justice, ketika membicarakan soal etika dan moral, beliau menjelaskan bahawa matlamat kehidupan manusia diatas muka bumi ini bertujuan untuk menikmati kebahagiaan yang dapat dinikmati secara emosi dan fizikal. Dalam kerangka falsafah beliau ini, terdapat beberapa golongan dibawah tujuan yang sama iaitu untuk hidup mencapai bahagia, yang dikenali sebagai kumpulan hedonisme, egoisme dan utilitarianisme. Kesemuanya kumpulan ini berpaksikan kepada tema falsafah yang sama iaitu mencapai nikmat kebahagiaan yang boleh dirasai oleh ramai manusia. Padanya, etika dan moral itu diukur pada bagaimana kebahagiaa itu dinikmati.




Dalam dunia pemikiran Islam, Abu Yusuf Ya'qub bin Ishaq as-Sabbah atau dikenali dengan nama al-Kindi, antara individu pertama yang bertanggungjawab memperkenalkan falsafah Yunani ke dalam dunia Islam. Dalam persoalan etika dan moral, al-Kindi melihat etika secara falsafahnya adalah meneladani perbuatan-perbuatan Tuhan selagi mana dapat dijangkau oleh manusia. Ini bermakna, setiap umat manusia haruslah mencontohi perbuatan baik yang ditunjukkan oleh Tuhan supaya berada pada jalan kebenaran. Selain itu, al-Kindi sangat menekankan tentang kepentingan kebijaksanaan dan pengetahuan untuk menjalani kehidupan yang baik. Bagi al-Kindi, beliau percaya bahawa akhlak yang baik berpunca daripada penggunaan akal yang tepat dan pemahaman yang mendalam terhadap kebenaran. Selain al-Kindi, Abu al-Nasr atau tersohor dengan gelaran al-Farabi antara yang terawal membincangkan mengenai etika dan moral. Bagi al-Farabi sendiri, beliau berpandangan bahawa etika sangat berperanan dan memiliki hubungan kuat dengan jiwa, politik dan kebahagiaan.

Hujjatul Islam, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali menerusi karya agungnya, Ihya Ulum al-Din, menjelaskan bahawa etika bermaksud akhlak yang diterjemahkannya sebagai kemantapan jiwa yang menghasilkan perbuatan atau pengamalan dengan mudah tanpa harus direnungkan. Menurutnya lagi, jika kemantapan jiwa itu sudah melekat kuat sehingga menghasilkan amalan yang baik maka ia disebut sebagai akhlak yang baik. Selain itu, bagi Imam al-Ghazali juga, etika digambarkan seperti pelengkap kepada budi pekerti manusia. Hal ini merupakan perkara teras daripada ajaran al-Quran yang memurnikan etika dengan mengutuskan baginda Nabi Muhammad SAW. Pada pandangan al-Ghazali juga, etika yang dimaksudkan sebagai akhlak bukanlah suatu pengetahuan berkaitan baik dan buruk sebaliknya etika adalah satu jiwa yang mantap sehingga menghasilkan amalan yang baik. Hakikatnya, kebahagiaan jiwa akan dapat dicapai dengan amalan akhlak yang baik.

Demikian antara sebahagian perbahasan dan wacana berkaitan etika dan moral yang memperlihatkan kepada kita dua bentuk gagasan pemikiran terbesar antara dunia Barat dan Islam. Apa yang boleh kita pelajari adalah sesebuah pandangan yang dibina tidak akan dapat kita temui penghujungnya andai kita bertuhankan nafsu semata-mata. Sebaliknya, kefahaman agama yang suci ini telah dan sangat memadai sebenarnya untuk kita memahami terma-terma jargon seperti etika dan moral. Segala apa yang dibincangkan ini bukan sekadar berorientasikan teori semata malah Allah SWT dengan segala kebijaksanaan Nya telah mengutuskan kekasih Nya, Nabi Muhammad SAW sebagai teladan terbaik untuk seluruh umat manusia. Dalam dunia Barat, secara teorinya sangat berangkai namun telah gagal dalam praktiknya. Ini kerana segala yang dibincangkan itu tidak lebih sekadar apa yang dirasai oleh manusia yang terbatas akalnya berbanding Islam yang datang syariat Nya dari sang Pencipta manusia. Semoga kita semua dirahmati dan diampuni oleh Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan