Umum mengetahui bahawa hakikat dunia ini yang merupakan tempat yang
dihuni oleh pelbagai jenis makhluk termasuklah makhluk yang dikenali sebagai
jin dan syaitan. Walaupun umat manusia tidak dapat melihat jin dan syaitan
secara nyata, hal ini adalah kerana perbezaan alam yang disebut sebagai zahir
dan batin, telah menghalang umat manusia daripada melihat mereka dengan nyata
kecuali dengan izin Allah SWT. Perbezaan alam ini telah memberikan kelebihan
kepada bangsa jin dan syaitan untuk melihat umat manusia tanpa manusia boleh
melihatnya kembali. Keadaan ini sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah
SWT di dalam al-Quran, menerusi surah al-'Araf ayat 27, firman Nya yang
bermaksud :
“Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang
kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan
syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”
Di dalam Tafsir al-Muyassar, ketika menjelaskan ayat ini
menyebutkan bahawa sesungguhnya syaitan itu serta keturunan dan bangsanya dapat
melihat manusia, sedangkan manusia tidak boleh melihat mereka. Oleh itu,
jaga-jaga dan berhati-hatilah dengan mereka itu. Sesungguhnya Allah telah
menjadikan syaitan-syaitan itu penolong (pembela) bagi orang-orang kafir yang
tidak mengesakan Allah dan tidak membenarkan rasul-rasulNya serta tidak
mengamalkan petunjukNya. Demikianlah bagaimana yang dijelaskan oleh para ulama
menunjukkan hakikatnya bangsa jin dan syaitan boleh melihat umat manusia. Maka
tanpa ragu lagi, sebagai orang beriman pastinya yakin dengan sesungguhnya jin
dan syaitan memiliki keupayaan meihat manusia tanpa manusia boleh melihat
mereka kembali. Ini juga antara sebahagian perkara asas yang menjadi bukti keimanan
mamusia kepada Allah SWT.
Persoalannya, apakah boleh manusia berinteraksi dan bercakap dengan
jin ? Adakah benar dengan apa yang sering dilihat oleh masyarakat berkenaan
sebahagian para perawat Islam mampu berdialog atau bercakap dengan jin dan syaitan
? Bagi menjawab persoalan ini, pertamanya harus kita akui bahawa tidak ada
jalan lain untuk mencari jawapan melainkan merujuk kepada wahyu Allah iaitu
al-Quran dan al-Sunnah. Ini juga kerana ianya termasuk dalam persoalan ghaib
yang tidak diketahui oleh para manusia selain Allah dan rasul Nya. Oleh itu,
al-Quran dan al-Sunnah merupakan satu-satunya sumber sahih yang benar lagi
tepat untuk memahami persoalan berikut. Untuk itu, jika kita menelusuri
al-Quran, terdapat satu kisah dialog antara Nabi Sulaiman AS dan jin Ifrit.
Dialog ini seperti yang dirakamkan oleh Allah dalam surah al-Naml ayat 38-39,
firman Nya yang bermaksud :
"Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya)
: "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa
kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah
diri memeluk Islam?" (38) Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku
akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan
sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah". (39)
Selain itu, di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, terdapat sebuah
kisah yang panjang daripada Ummu Aban, beliau berjumpa Rasulullah SAW dengan
membawa salah seorang anaknya. Lalu beliau berkata yang bermaksud :
"Wahai Rasulullah, aku membawa anakku (atau anak dari saudara
perempuannya) yang tertimpa penyakit gila. Aku bawanya ke sini supaya baginda
berkenan mendoakannya sembuh." Rasulullah SAW bersabda,"Bawalah dia
kemari!" Kemudian aku hampiri dia (anaknya) yang masih di kenderaan. Lalu
aku melepaskan tali pengikatnya (penjelasan: dia mengikat anaknya kerana
dikhuatiri anaknya meronta-ronta dan melarikan diri) dan aku menggantikan
pakaian safarnya dengan memakaikan dua lapis pakaian yang bagus untuknya, lalu
aku menuntun tangannya sehingga kami berada di hadapan Rasulullah SAW.
Baginda bersabda : "Dekatkan dia kepadaku dan palingkan dia
hingga punggungnya menghadapku!" Maka baginda memegang semua sudut
pakaiannya dari atas hingga bawah, lalu baginda memukul punggungnya hingga aku
melihat kedua ketiak putih baginda, lalu baginda bersabda,"Keluarlah
engkau wahai musuh Allah! Keluarlah engkau wahai musuh Allah!" Setelah
itu, anaknya boleh melihat dengan pandangan yang wajar, tidak sebagaimana cara
dia memandang sebelum didoakan Rasulullah SAW.
Lalu Rasulullah SAW menyuruhnya duduk di hadapan baginda. Baginda
mendoakan dan mengusap wajahnya. Setelah Rasulullah SAW mendoakannya, tidak ada
seorang pun daripada rombongan yang ikut menghantarnya kepada Rasulullah SAW
mengenang akan kebaikannya."
Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bagaimana baginda Nabi
SAW telah bercakap dengan jin bertujuan untuk menghalau daripada menggangu anak
tersebut. Selain itu, terdapat juga sebuah kisah lain dimana baginda Nabi SAW
telah diganggu oleh jin Ifrit ketika baginda menunaikan solat. Kisah ini
sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu
Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya Ifrit daripada bangsa jin telah menggangguku semalam
untuk memutuskan solatku. Maka Allah berikan aku kelebihan untuk mengatasinya.
Kemudian, aku hendak mengikatnya di salah satu tiang masjid sehingga waktu
subuh dan kalian semua dapat melihatnya. Lalu aku teringat perkataan Nabi
Sulaiman AS, “Wahai Tuhan, kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak
ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku”. Rauh
berkata : Kemudian Baginda SAW mengusirnya dalam keadaan hina".
Dalam kitab Fath al-Munʻim Syarh Sahih Muslim, Syeikh Musa
Syahin Lasyin menjelaskan bahawa hadith ini menunjukkan wujudnya gangguan
daripada syaitan ketika solat dilaksanakan. Gangguan tersebut dilakukan supaya
seseorang menjadi tidak khusyuk di dalam solatnya. Demikian apa yang telah
disebutkan. Maka berdasarkan kisah ini, ternyata manusia boleh berinteraksi
dengan jin dengan diatas beberapa sebab yang diizinkan oleh Allah SWT.
Berhubung soal interaksi manusia dengan jin ini bukanlah perkara baharu. Dalam
sejarah peradaban manusia, pada zaman dahulu dikalangan masyarakat Mesir Purba,
Yunani dan Rom serta sebilangan orang-orang Islam telah melakukan amalan
memanggil roh atau disebutkan sebagai Tahdirul Arwah. Amalan ini
dilakukan dengan memanggil roh yang telah mati untuk memasuki tubuh orang lain
yang masih hidup. Ritual atau upacara ini dilakukan bertujuan untuk
berinteraksi dengan roh yang telah mati walhal yang bercakap dalam tubuh orang
hidup tersebut bukanlah roh sebenar tetapi jin dan syaitan yang datang untuk
memperdayakan umat manusia.
Demikian hal yang sama berlaku di dunia Barat yang dikenali sebagai
ritual "Spirit of the Coin". Hal yang sama dilakukan untuk
memuja dan menyeru roh orang yang telah mati. Amalan dan ritual seperti ini
secara tidak langsung telah mengundang kehadiran jin dan syaitan untuk berinteraksi
dengan kaum manusia bagi tujuan menambahkan lagi kesesatan para manusia. Apa
yang telah kita nyatakan ini merupakan sebahagian daripada bukti yang
menjelaskan bahwa sesungguhnya manusia mampu atau boleh berinteraksi dan
berhubung dengan jin dan syaitan. Namun dalam pada itu, apa yang lebih mustahak
dan pentingnya adalah setiap apa yang diungkapkan oleh golongan jin dan syaitan
ini perlu lebih berhati-hati untuk menerimanya. Kerana sememangnya tugas jin
ini melakukan tipu daya semata-mata untuk menyesatkan manusia. Semoga Allah
merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan