Selasa, 24 September 2024

PANDUAN ISLAM MENYAMBUT KELAHIRAN BAYI

 

Memiliki harta sendiri merupakan antara impian dan cita-cita kebanyakkan manusia di dunia ini. Adalah menjadi lumrah kehidupan, harta menjadi sebahagian keperluan untuk kelangsungan demi sebuah kehidupan. Namun begitu, kerana harta juga, manusia boleh berputih mata, hilang pertimbangan dan kewarasan sehingga ada yang sanggup berbunuhan sesama sendiri untuk mendapatkan harta yang dicitakan. Dalam pelbagai jenis harta yang manusia miliki, anak-anak juga merupakan antara harta yang dipinjamkan oleh Allah yang amat bernilai sekali. Memiliki anak adalah nikmat terhebat yang diharapkan oleh kebanyakan mereka yang berkahwin. Anak juga merupakan elemen pelengkap bagi sesebuah rumahtangga yang dibina.

Sesungguhnya anak adalah anugerah oleh Allah kepada hamba Nya yang terpilih. Diatas kehendak Nya jua, Allah berkuasa untuk memberi anak kepada sesiapa sahaja. Allah SWT telah berfirman dalam surah As-Syura ayat 49-50, yang bermaksud :

"Bagi Allah jualah hak memiliki segala yang ada di langit dan di bumi, Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya, Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya, anak-anak lelaki dan perempuan, dan menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya itu mandul. Sesungguhnya Dia maha mengetahui lagi maha berkuasa".




Oleh kerana itu, memiliki zuriat keturunan adalah nikmat istimewa yang terpilih oleh Allah untuk para hamba Nya. Ini kerana anak-anak adalah harta yang begitu bernilai yang bukan sahaja menjadi penyejuk mata di dunia bahkan boleh menjadi saham berguna di akhirat kelak. Sehubungan itu, oleh kerana anak merupakan anugerah terindah dan bermakna, Islam datang dan tampil dengan petunjuk syariat memberikan panduan untuk menyambut kelahiran anak yang merupakan anugerah hebat oleh Allah ini. Islam yang disebut sebagai suatu cara hidup, telah mengajar umatnya daripada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besarnya. Agama Islam juga tidak sekadar membincangkan mengenai panduan menguruskan kematian malah turut membimbing manusia untuk menyambut kelahiran manusia.

Antara perkara yang boleh dilakukan ketika menyambut kelahiran anak ialah dengan melaungkan azan dan iqamah di telinganya. Hal ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, Ubaidillah bin Abu Rafi' meriwayatkan daripada ayahnya, Abu Rafi', bahawa beliau berkata yang bermaksud :

"Aku melihat Rasulullah SAW azan di telinga al-Hasan bin ‘Ali apabila beliau dilahirkan oleh Fatimah dengan azan solat".

Selain hadith riwayat Abu Daud, terdapat ramai lagi yang meriwayatkan hadith ini seperti Imam al-Tirmizi, Imam Ahmad bin Hanbal, al-Hakim dan Imam al-Baihaqi. Berdasarkan hadith ini, para ulama telah berbeza pandangan mengenai status hadith tersebut. Sebahagiannya seperti Imam al-Tirmizi menyatakan status hadith ini sebagai hasan sahih. Sebahagiannya lagi seperti Yahya bin Ma'in, al-Bukhari, Abu Zur'ah al-Razi dan selainnya menyatakan bahawa hadith ini bertaraf da'if (lemah). Ini kerana terdapat perawi yang bernama 'Asim bin Ubaidillah yang dihukum lemah. Pun begitu, keda'ifan hadith tersebut adalah ringan dan hukumya boleh atau harus untuk beramal dengan maksud hadith tersebut. Oleh itu, adalah diharuskan kita melaungkan azan di telinga bayi yang baru lahir sebagai tanda menyambut kedatangannya di dunia ini.




Selain itu, kita juga dituntut untuk melakukan amalan Tahnik atau difahami oleh kebanyakan masyarakat kita sebagai amalan belah mulut. Amalan tahnik ini hukumnya sunat. Ini kerana baginda Nabi SAW pernah melakukan amalan tahnik tersebut. Ini sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Aisyah Ranha, kata beliau yang bermaksud :

”Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah didatangi dengan kanak-kanak. Lalu Baginda memberkati mereka dan mentahnikkan mereka. Kemudian Baginda didatangi dengan seorang kanak-kanak lalu kanak-kanak itu kencing di atas Baginda. Lantas Baginda meminta air dan memercikkan air tersebut ke atas kencing itu. Baginda tidak membasuhnya,”

Dalam perkara ini, Imam al-Nawawi berkata dalam kitabnya, Syarh Sahih Muslim, menjelaskan bahawa berkaitan hukum hakam yang terdapat di dalam hadis ini, terdapatnya hukum sunat mentahnikkan anak yang baru lahir. Di dalam hadith itu juga terdapat hukum sunatnya membawa kanak-kanak menemui orang yang soleh untuk bertabarruk dengan mereka. Demikian apa yang telah dinyatakan oleh al-Nawawi. Berkenaan cara mentahnikkan pula, telah diceritakan oleh Asma' binti Abu Bakr, ketika beliau sedang mengandungkan Abdullah bin Zubair. Kisah ini direkodkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, kata Asma' yang bermaksud :

”Aku keluar dan pada ketika aku dah hampir melahirkan. Aku singgah di Quba dan aku telah melahirkan anak di Quba. Kemudian aku pergi menemui Rasulullah SAW. Lalu aku meletakkan anakku di bilik Baginda. Kemudian Baginda memohon untuk dibawakan tamar. Lantas Baginda mengunyah tamar tersebut kemudian meludah kunyahan tersebut di mulutnya. Benda pertama yang masuk ke tubuhnya ialah air liur Rasulullah SAW. Baginda kemudiannya mentahnikkan dengan sebiji tamar dan memberkatinya. Anak aku adalah bayi yang pertama yang dilahirkan pada zaman Islam (iaitu anak kaum muhajirin yang pertama dilahirkan selepas hijrah).”

Berdasarkan kefahaman hadith ini, cara mentahnikkan bayi yang baru lahir ialah dengan mengunyah buah tamar dan mengambil sedikit dengan hujung jari, lalu digosokkan ke lelangit bayi. Juga boleh digantikan buah tamar dengan madu atau apa-apa sahaja yang manis bertujuan menguatkan urat-urat mulut sebagai persediaan bayi menghisap susu ibunya. Selain bertahnik, juga disunatkan untuk umat Islam yang menyambut kelahiran anak tersebut dengan memberikan nama yang baik. Dalam hal ini, para ulama telah berbeza pendapat berkenaan waktu untuk memberikan nama. Pandangan jumhur (majoriti), para ulama dalam mazhab Syafi'e, Hanafi, Maliki dan Hanbali menyatakan bahawa disunatkan menamakan anak pada hari ketujuh kelahirannya. Manakala sebahagian lain pula berpandangan sunat menamakan anak tersebut pada hari kelahirannya. Maka, tidak menjadi masalah bagi kita untuk menamakan anak pada hari ketujuh atau pada hari kelahirannya. Menamakan anak dengan nama yang baik dan elok dituntut dalam Islam.

Ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Darda' RA, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Kamu sekalian di Hari Kiamat akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka hendaklah kamu memperelokkan nama-nama kamu.”




Dalam soal menyambut kelahiran anak, dituntut juga kepada umat Islam untuk melakukan ibadah aqiqah. Ibadah aqiqah ialah merujuk kepada ibadah penyembelihan binatang ternakan tertentu seperti lembu dan kambing sebagai tanda kesyukuran diatas kelahiran cahaya mata. Hukum pelaksanaan ibadah aqiqah adalah sunat muakkadah (sangat dituntut). Asas pensyariatan ibadah aqiqah ini berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA, katanya yang bermaksud :

"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.

Selain itu, ibadah aqiqah juga disunatkan pada hari ketujuh kelahiran dan pada hari yang sama juga, dituntut untuk mencukur rambut anak tersebut. Perkara ini sepertimana yang sebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Samurah RA, baginda bersabda yang bermaksud :

“Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih aqiqah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”.

Berkenaan penyembelihan binatang ternakan untuk tujuan aqiqah, disunatkan bagi seorang bayi lelaki dengan menyembelih 2 ekor kambing, manakala bagi seorang bayi perempuan dengan menyembelih seekor kambing. In sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”.

Namun begitu, harus diingatkan bahawa ibadah aqiqah bukanlah wajib. Bagi yang berkemampuan, maka lakukanlah. Bagi yang belum berkemampuan, boleh memulainya dengan azam dan usaha untuk melakukannya dan tidak semestinya dibuat pada hari ketujuh kelahiran. Apabila telah bersedia dan mampu serta selagi anak tersebut tidak mencapai umur akil baligh, maka boleh dilakukannya. Inilah panduan Islam dalam menyambut kelahiran bayi yang baru lahir. Sesungguhnya setiap anak itu adalah anugerah Allah kepada kita para hamba Nya. Kitalah sebagai ibubapa bertanggungjawab mencorakkan dirinya menjadi hamba yang baik dan bertaqwa. Maka dengan penuh keinsafan, marilah kita sama-sama memikul tanggungjawab ini dengan beramanah. Semoga Allah mengampuni kita semua.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan